Saturday, July 15, 2017

MULAI 14 OGOS SEMUA PLAZA TOL LPT GUNA TOUCH N GO

TEMERLOH, 14 Julai (Bernama) -- Berkuatkuasa 12 tengah hari 14 Ogos depan, semua 19 plaza tol di laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 sepanjang 357.9 kilometer akan melaksanakan kutipan tol elektronik (ETC) sepenuhnya.


Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Noor Azmi Ghazali berkata, bermula dari tarikh itu juga, semua 177 plaza tol di 31 lebuh raya di seluruh negara tidak lagi menggunakan tunai sebagai transaksi.

"Pelancaran sepenuhnya sistem ETC ini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas 15 hingga 20 peratus yang secara langsung turut membantu mengurangkan kemalangan dan pencemaran alam sekitar.

"Ini kerana transaksi secara Touch 'n Go untuk sebuah kereta hanya mengambil masa enam saat, manakala SmartTAG tiga saat sedangkan sebuah lorong tunai ambil masa 15 saat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Kutipan Tol Secara Elektronik bagi LPT 1 dan 2 di Hentian Rehat dan Rawat ( R&R ) Temerloh (Timur) di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Salleh, Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, dan Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd Husni Md Yusof.

Menurut Noor Azmi 19 plaza tol berkenaan iaitu sembilan terletak di LPT1 dan 10 di LPT2 kini telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem berkenaan pada 14 Ogos nanti.

"Semua plaza tol di LPT1 dan LPT2 akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch 'n Go di lorong beroperasi 24 jam.

"Syarikat konsesi LPT1 iaitu Anih Berhad dan LPT2 (LPT2 Sdn Bhd) juga sudah pastikan kakitangan akan ditempatkan di lorong bagi membantu pengguna jika mereka menghadapi masalah ketika melaksanakan transaksi pembayaran tol elektronik.

"LPT1 turut menyediakan kaunter penjualan kad Touch ‘n Go dan khidmat tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 15 jam setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 10 malam," katanya.

Selain itu Anih Berhad turut menyediakan kiosk tambah nilai dan pembelian kad Touch 'n Go menerusi konsep layan diri di R&R Temerloh dan Gambang

Dalam masa yang sama beliau turut memberi jaminan pelaksanaan sistem ETC itu tidak akan menjejaskan pekerjaan 316 jurutol yang berkerja di kedua-dua lebuh raya berkenaan.

"Di LPT1 kita mempunyai seramai 189 orang jurutol, manakala di LPT2 seramai 127 orang, namun kita beri jaminan tidak akan berlaku pembuangan pekerja.

"Kesemua mereka ini masih diperlukan untuk menentukan kelancaran operasi selain akan disalurkan untuk tugas-tugasan lain," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment