Thursday, July 13, 2017

PANTAI BATU BURUK DIWARTAKAN KAWASAN LARANGAN MEROKOK

KUALA TERENGGANU, 13 Julai (Bernama) -- Pantai Batu Buruk yang mempunyai keluasan kira-kira 49 hektar telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok pertama bagi kawasan pelancongan di negara ini bermula 1 Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Mohammad Omar berkata pewartaan itu adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017, Taman-Taman Awam di seluruh Malaysia dan Taman Negara dan mereka yang melanggarnya akan dikenakan kompaun.

"Dalam masa tiga bulan ini kita masih menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan iaitu penguat kuasa akan memberi amaran terlabih dahulu kepada pengunjung yang didapati merokok di kawasan ini.

"Selepas daripada tempoh tiga bulan ini pengunjung yang merokok akan dikenakan kompaun," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan pelekat peringatan Kawasan Dilarang Merokok sekitar kawasan Pantai Batu Buruk di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pihak Kementerian Kesihatan menjalankan penguatkuasaan pendidikan bermula 15 Feb lalu di semua kawasan taman-taman awam di seluruh negara dan tamat pada 31 Mei lepas.

Katanya, dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan itu, penguat kuasa Jabatan Kesihatan Terengganu telah mengeluarkan 560 amaran kepada perokok menerusi 154 operasi yang dijalankan di seluruh negeri.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment