KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Persekitaran deretan bangunan rumah kedai lama di sekitar Jalan Banggol di sini kembali ceria apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan usaha sama pihak swasta memberi sentuhan baharu dengan lukisan mural berwarna-warni sekali gus menghidupkan semula kawasan itu yang suram sebelum ini.
Projek lukisan yang memfokuskan elemen Wajah Tradisional Terengganu itu dihasilkan dalam masa sebulan bermula bulan Ramadan yang lalu menerusi gabungan empat pelukis muda berbakat besar bernama Red Rebe.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata projek lukisan mural itu adalah sebahagian program Seni Hias Bandar yang dilaksanakan MBKT dalam beberapa fasa sebagai usaha meningkatkan sektor pelancongan negeri ini sejak 2015.
"Projek itu mendapat sambutan daripada pihak swasta dan sehingga kini jumlah tajaan yang diterima hingga adalah sebanyak RM313,000.
"Penajaan itu merangkumi empat fasa dengan yang pertama membabitkan lukisan karikatur pemain bola sepak legenda Terengganu di dinding luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SINS) dengan kos sebanyak RM24,000 manakala fasa dua di lokasi sama bernilai RM12,000 dan fasa tiga yang melibatkan lukisan mural batik serta songket pada dinding luar Kompleks Parkir Pasar Kedai Payang (RM200,000).
"Kerja-kerja memperindahkan deretan bangunan kedai lama di Jalan Banggol di sini menerusi lukisan bertemakan Wajah Tradisional Terengganu itu pula melibatkan kos penajaan RM77,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan dan melawat deretan premis perniagaan lama yang kelihatan lebih ceria dengan dihiasi lukisan mural berwarna-warni di Jalan Banggol di sini hari ini.
Mohd Jidin berkata program ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda menterjemahkan bakat lukisan mereka di bangunan lama dengan cara berhemah, malah ia juga sekali gus memberi peluang kepada orang ramai, institusi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan untuk bekerjasama menyumbang memperindahkan bandar raya Kuala Terengganu.
"Kerajaan negeri akan terus memperhebatkan inisiatif mencantikkan bandar raya melalui hiasan lukisan mural yang segar dan ceria itu di samping memastikan lebih banyak pihak dapat menyalurkan bantuan serta tajaan dari semasa ke semasa.
"Selain menyediakan lebih banyak kemudahan kepada orang ramai, kita juga akan memperbaharui lebih banyak bangunan yang sudah usang dengan menggunakan konsep sama.
"Bagaimanapun, bagi bangunan yang mempunyai sejarah tersendiri, kerajaan negeri akan mengekalkan konsepnya dan hanya memperbaiki mana-mana struktur yang rosak," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment