Wednesday, July 5, 2017

KAMPUNG DADONG POPULAR DENGAN JAGUNG BIJIAN

KEMAMAN, 5 Julai (Bernama) -- Projek Perintis Jagung Bijirin yang ditanam di Kampung Dadong, dekat sini berjaya mencapai sasaran dengan anggaran tuaian kira-kira 200 tan metrik daripada 30 hektar jagung yang ditanam sejak akhir Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia merupakan satu kejayaan besar kepada industri pertanian negara kerana sasaran itu berjaya melepasi piawaian antarabangsa bagi penanaman jagung bijian iaitu lima tan metrik per hektar.

"Ia sekali gus berjaya mengubah persepsi dan memberi keyakinan kepada penanam jagung bijian khususnya di kampung ini bahawa penanaman jagung bijian boleh dilaksanakan di kawasan tanah sawah (di luar jelapang padi)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penuaian jagung bijian kali kedua di kampung itu di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengarah Pertanian Terengganu, Mohd Nasir Warris.

Penanam jagung bijian ini diusahakan oleh penduduk kampung itu sejak tahun lepas dan disambung Mac tahun ini selepas tuaian pertama tidak berjaya mencapai sasaran daripada 13 hektar jagung yang ditanam ekoran pelbagai masalah seperti plot ditenggelami air dan serangan makhluk perosak.

Jabatan Pertanian kemudiannya mengambil pelbagai langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah itu dan jagung berkenaan akhirnya berjaya dituai selepas kira-kira tiga bulan ia ditanam semula.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata rentetan daripada kejayaan projek perintis ini, katanya kementerian bercadang untuk menjadikan projek jagung Kampung Dadong sebagai dasar untuk menjadikan jagung bijian yang dijadikan makanan utama bagi ternakan sebagai satu industri.

"Bayangkan setiap tahun pengusaha ternakan terpaksa mengimport makanan ternakan hampir empat juta tan setahun dengan nilai RM3.1 bilion dari negara luar seperti Argentina dan Brazil.

"Jika kita hasilkan sendiri makanan ternakan berapa banyak belanja yang dapat dijimatkan dan hasilnya akan memberi pulangan yang besar kepada ekonomi negara,\" katanya.

Rentetan itu katanya, projek perintis itu akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain yang dikenal pasti berpotensi dan penambahan kepada tanaman sedia ada.

Kawasan terlibat seperti di Johor sebanyak 10 hektar, Melaka (10 hektar), Pahang (69 hektar), Perak (35 hektar), Kedah (176 hektar), Perlis (50 hektar), Sabah (72 hektar) dan Sarawak (20 hektar).

"Peruntukan sebanyak RM10 juta telah diagihkan bagi perluasan projek iaitu untuk pembangunan tanaman sebanyak RM5 juta, mekanisasi dan automasi (RM2 juta), pengawalan kualiti jagung (RM2.5 juta) dan penyelidikan serta pembangunan varieti jagung (RM0.5 juta)," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment