Friday, July 7, 2017

PROGRAM MAGIC ENGLISH BERI MANFAAT KEPADA 125 ORANG WANITA


KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) -- Seramai 125 wanita, termasuk usahawan dan pelajar, bakal mendapat manfaat hasil pelaksanaan Program Magic English anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Terengganu.


Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata program dengan kerjasama Bahasa Inggeris 1 Malaysia seliaan Kementerian Kewangan itu bertujuan memberi peluang kepada wanita menguasai bahasa utama dunia itu.

"Sebaik sahaja diiklankan, kita menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada golongan wanita di negeri ini yang membuktikan komitmen mereka untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

"Kelas pertama akan bermula esok dengan penyertaan 25 orang seterusnya baki peserta akan menyertai bengkel Magic English untuk usahawan dan untuk orang awam," katanya kepada Bernama hari ini.

Program Magic English turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Usahawan Wanita Terengganu bagi memastikan golongan usahawan tidak ketinggalan dalam menguasai bahasa itu serta boleh meningkatkan lagi pemasaran untuk produk mereka.

Saharuddin berkata program tiga kelas seminggu yang bermula bulan ini hingga Oktober itu akan diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu.

"Istimewanya program ini ialah kelas Bahasa Inggeris dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, bagi meningkatkan keyakinan diri dan sosio ekonomi wanita, yang mana ia akan membantu peserta menguasai bahasa itu dengan lebih mudah dan pantas," katanya.

Beliau berkata, kerajaan berharap agar golongan wanita dapat meningkatkan taraf hidup mereka setelah menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana dalam era globalisasi ini, penguasaan bahasa itu merupakan bonus bagi melangkah lebih jauh terutama dalam bidang perniagaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment