Wednesday, July 19, 2017

MAIDAM BANTU PEMBEDAHAN ANAK MUALAF

KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada keluarga seorang mualaf bagi tujuan pembedahan anaknya, Safia Nadia Salim, sembilan bulan, yang menghidap penyakit saluran hempedu tersumbat (biliary atresia).


Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail kepada Salim Salleh, 48, dan isterinya Maria Nguyen Abdullah, 28, dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata sumbangan itu diharap mampu meringankan beban kewangan keluarga tersebut untuk membolehkan anak mereka dibedah di Shanghai, China tidak lama lagi.

"Saya difahamkan banyak kes seperti dialami Safia Nadia yang berusia sembilan bulan ini boleh sembuh seperti sediakala selepas menjalani rawatan di China.

"Kita berharap pembedahan hati bayi istimewa ini, hasil daripada pendermaan organ (hati) oleh ibunya berjalan lancar dan kedua-duanya akan selamat, insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Salim ketika ditemui pemberita melahirkan kesyukurannya dengan sumbangan MAIDAM itu memandangkan pendapatannya sebagai jurubahasa sambilan di mahkamah adalah tidak menentu.

Beliau yang tinggal di Kampung Rhu Renggeh, Marang, berkata hanya mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,000 setiap bulan sebagai jurubahasa sambilan di Mahkamah Kuala Terengganu.

"Saya juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 namun peningkatan kos sara hidup ketika ini menyebabkan jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menampung kos perubatan Safia Nadia.

"Kos pembedahan anak saya adalah sebanyak RM350,000 dan ia adalah antara kadar termurah berbanding kos pembedahan di negara jiran.

"Alhamdulillah, berkat pertolongan banyak pihak, kami sekeluarga akhirnya dapat mengumpulkan wang tersebut dan berharap pembedahan ini akan berjalan lancar," katanya yang akan berlepas ke Shanghai pada Ahad ini.

Selain MAIDAM, Salim turut menerima bantuan kewangan daripada kedutaan Malaysia di China, Badan Bukan Kerajaan dan Tabung Darul Iman.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment