Saturday, July 22, 2017

PEMBANGKANG CENDERUNG BUAT TUDUHAN PALSU


BESUT, 21 Julai (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembangkang dilihat cenderung membuat tuduhan palsu terhadap kepemimpinan negara semata-mata bertujuan mensabotaj ekonomi negara.

Beliau berkata pakatan pembangkang yang kini diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad juga sering memutarbelitkan kenyataan berhubung kejayaan negara di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN)
kerana cemburu dengan perpaduan anggota UMNO yang tidak berganjak daripada menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri dan presiden parti.

"Kini Dr Mahathir mula tercabar dengan kemampuan kepimpinan Najib, pertumbuhan ekonomi negara pada tahap lima peratus pada suku tahun pertama tahun ini membuktikan tindakan kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib berada pada landasan yang betul, " katanya.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Puteri UMNO Bahagian Besut di Jertih di sini, Jumaat.

Justeru, beliau meminta anggota UMNO terutama golongan muda supaya tidak mudah termakan hasutan pembangkang yang terdiri daripada bekas pemimin UMNO yang kini bersama pakatan pembangkang.

Sementara itu ketika merasmikan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Besut pada sebelah paginya, Idris meminta anggota pergerakan itu terus bergerak bersama kepimpinan serta menjadi mata dan telinga parti terhadap serangan pembangkang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment