Tuesday, July 4, 2017

KEBAKARAN DI PENGADANG BARU TARIK PERHATIAN MB

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Tragedi yang menimpa sebuah keluarga yang kehilangan seorang anggota keluarga dalam kebakaran rumah di Pengadang Baru di sini semalam mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membina
semula kediaman keluarga berkenaan dalam masa terdekat selepas siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selesai.

"Siasatan dijangka siap pada Jumaat ini dan selepas itu kita akan lakukan kerja-kerja pembersihan, merobohkan kediaman lama untuk bina kembali rumah baharu.

"Seterusnya proses pembinaan akan dilaksanakan dan ia bergantung pada kontraktor? mungkin dalam masa seminggu boleh disiapkan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di lokasi kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 4 petang semalam di Jalan Kepong, Pengadang Baru, Siti Munirah Abu Bakar, 31, maut akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bomba Terengganu Sharikan Bustaman berkata setakat ini siasatan sudah 40 peratus selesai dan dijangka siap sepenuhnya empat hari lagi.

"Kita masih giat mengumpul bukti yang boleh dikaitkan dengan kebakaran berkenaan untuk dihantar ke makmal untuk penilaian dan siasatan lanjut.

"Kita juga kini mengehadkan orang ramai mendekati kawasan itu bagi menggelakkan bahan bukti hilang," katanya.

-- BERNAMA





No comments:

Post a Comment