Tuesday, July 25, 2017

HARGA GAMAT RM120 SATU KG PUNCA NELAYAN TANGKAP GAMAT

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) -- Semua pihak terutama komuniti setempat perlu bekerjasama dalam membanteras pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut di perairan Terengganu kerana kegagalan mengatasi masalah itu akan merugikan negeri dan negara dalam jangka masa panjang.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata kerajaan negeri juga perlu mengenal pasti kawasan-kawasan sensitif yang mempunyai
khazanah dasar laut berharga termasuk terumbu karang dan hidupan marin yang lain.

"Terengganu mempunyai banyak pulau dan ada antaranya tidak mempunyai pengawalan khusus kerana tidak berpenghuni.

Di sini pentingnya pemetaan terperinci mengenai apakah yang ada di perairan Terengganu atau di pulau-pulau tertentu, contohnya terdapat kawasan pembiakan gamat, penyu atau sumber makanan marin yang perlu dilindungi dengan lebih ketat bagi melindungi khazanah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pencerobohan nelayan asing yang menangkap gamat di perairan Terengganu sejak akhir-akhir ini.

Harga gamat yang tinggi hingga mencecah RM120 sekilogram menyebabkan ada nelayan asing dan segelintir nelayan tempatan menangkap gamat walaupun ia tidak dibenarkan di perairan Terengganu.

Mengulas lanjut, Nor Aeini berkata UMT bersedia berkongsi kepakaran saintis universiti dalam penyediaan peta dan data berkaitan bagi memudahkan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi membanteras masalah itu.

"Kita tahu banyak agensi penguatkuasaan dan pemantauan di laut ketika ini namun kekuatan tenaga mereka juga agak terhad. Sebab itu golongan nelayan tempatan sendiri perlu proaktif dalam melaporkan pencerobohan seumpama itu agar penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh.

"Nelayan sekarang juga dilengkapi dengan teknologi komunikasi yang canggih beserta sistem navigasi yang lengkap untuk memudahkan mereka membantu kerajaan dalam isu ini," katanya.

Terdahulu, beliau mewakili UMT untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment