Monday, July 31, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JULAI 2017

Lima berita mengenai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mendapat rating tertinggi bagi bulan Julai 2017 dengan posting Majlis sumbang saran MB mendapat  sambutan yang disiarkan pada 6 Julai menduduki tempat pertama bagi bulan Julai 2017.

10 rating tertinggi adalah seperti berikut:-

1. Majlis sumbang saran MB mendapat sambutan (6 julai) - 582 hits
2. 5,900 tanah lot kosong akan diiklankan (3 julai)
3. Razif terus berjiwa besar (8 julai)
4. Di sebalik berita kematian Saleem, MB tetap ziarahi penyanyi Suci Dalam Debu (9 julai)
5. Umno Terengganu pastikan tiada anggota sayap tercicir anggotai JKKK (28 julai)
6. SMA Alfalah sekolah pertama terima sumbangan Yayasan Bank Rakyat (18 julai)
7. PRU sepatutnya diadakan di bulan Syawal (16 julai)
8. MB hadiri majlis hariraya Wisma Darul Iman (5 julai)
9. Kg Dadong popular dengan jagung bijian (5 julai)
10. PM ada kaedah pilih calon (21 julai)

Sunday, July 30, 2017

PERLUASKAN TANAMAN JAGUNG BIJIAN UNTUK TERNAKAN




TEMERLOH 30 Julai (Bernama) --Tanaman jagung bijian untuk makanan haiwan ternakan akan diperluaskan dalam usaha mengurangkan kebergantungan import terhadap bahan berkenaan, kata Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Malaysia perlu mengambil inisiatif mengeluarkan sendiri makanan ternakan itu bagi menangani masalah kenaikan harga bahan itu di pasaran.

" Berdasarkan rekod, setiap tahun Malaysia mengimport RM3.2 billion makanan ternakan bagi memenuhi keperluan industri ternakan dan perikanan yang semakin berkembang di negara ini.

"Jumlah import besar itu dapat dikurangkan jika kita mampu mengeluarkan sendiri bahan makanan ternakan itu di dalam negara bagi menampung keperluan penternak dan ternak air," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-36 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kawasan Temerloh di Dewan Tun Abdul Razak hari ini..

Menurutnya Malaysia tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan jagung bijian
untuk ternakan kerana tanah negara adalah sesuai dan subur untuk komoditi itu.

Saturday, July 29, 2017

SIASAT MAHATHIR SEKARANG JIKA PEMBANGKANG MEMPERJUANGKAN KEADILAN

SETIU, 29 Julai (Bernama) -- Pakatan pembangkang perlu memulakan siasatan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang jika mereka benar-benar memperjuangkan keadilan dan bukan menunggu sehingga selepas pilihan raya umum ke-14, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


"Apa yang menjadi tanda tanya kenapa nak tunggu menang pilihan raya? Sudah nampak ada percanggahan, kalau menang siasat, kalau kalah sepakat, itu tidak masuk akal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Setiu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bersetuju menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat tuduhan terhadap Dr Mahathir sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata, ia hanya dapat dilakukan sekiranya Pakatan Harapan berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas berkata ia berbeza dengan kerajaan BN yang menjalankan siasatan terhadap sesuatu isu seperti 1MDB yang melalui pelbagai siasatan sebelum ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata pihaknya menerima maklum balas positif jentera di peringkat bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) terhadap manual PRU14.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Manual PRU14 berkata manual berkenaan menumpukan kepada gerakan lebih tersusun dan bersasar berbanding gerak kerja pada PRU13 lalu.

Mengenai calon pada PRU14, Hishammuddin mengingatkan wakil rakyat UMNO dan BN untuk turun padang membantu rakyat bagi dipilih semula sebagai calon.

Katanya, pemilihan calon merupakan hak Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak melalui metadologi tertentu yang terbukti pada pilihan raya negeri Sarawak, pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu.

"Saya setuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) supaya kita tidak perlu melobi, yang penting kita turun padang dan majoriti rakyat terima, jadi pimpinan tertinggi tahu kita boleh dicalonkan semula," katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 28, 2017

WANITA TERAJUI KEPIMPINAN MASJID DI SINGAPURA

PUTRAJAYA: Oleh kerana penduduk Islam hanya 15 peratus di Singapura maka agak sukar untuk dapatkan dana untuk bina masjid baru di negara tersebut.

"Dasar kerajaan yang sekular menyebabkan kerajaan mengambil pendekatan berkecuali tidak memberi keistimewaan kepada mana mana agama yang dianuti oleh masyarakat Singapura," kata Dr Suhaimi Mustar ketika membentangkan kertas kerja Pengurusan masjid sebagai pusat komuniti di Singapura dalam simposium tarekat tasawuf nusantara 2017 di Masjid Putra di sini hari ini.

Katanya, pada tahun 1975 dengan bantuan kerajaan, Dana Pembangunan Masjid (MBF) telah ditubuhkan untuk mengutip dana daripada pekerja Islam melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (CPF) sebagai satu mekanisma untuk membina masjid baharu di kawasan perumahan.

Sehingga 2017, terdapat 71 buah masjid di seluruh pulau Singapura.

Katanya lagi sejak tahun 1982, masjid masjid di Singapura telah meluaskan kegiatannya sebagai pusat nasihat keluarga, pusat khidmat maklumat, pusat latihan akademi dan dakwah dan pusat bantuan bagi orang susah dan anak yatim.

katanya lagi, sekarang wanita juga diberi peranan menerajui kepimpinan masjid yang selama ini didominasi oleh kaum lelaki.


UMNO TERENGGANU PASTIKAN TIADA PEMIMPIN SAYAP YANG TERCICIR ANGGOTAI JKKK

DUNGUN, 28 Julai (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu akan memastikan tiada anggota jawatankuasa pergerakan tiga sayap parti itu tercicir daripada menjadi anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sudah menjadi kelaziman bagi anggota jawatankuasa pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri menganggotai JKKK di kampung masing-masing untuk memudahkan mereka melakukan kerja-kerja parti di peringkat akar umbi.

"Namun, jika masih ada yang tidak menjadi anggota JKKK, ia merupakan kes terpencil kerana sebahagian besar daripada JKKK memang terdiri daripada pemimpin-pemimpin sayap parti.

"Kita akan tengok semula jika ada yang tercicir mungkin boleh jadi ingatan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Dungun di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Din Adam dan timbalannya Roslee Daud serta Ketua Puteri UMNO bahagian itu, Arlina Rosli.

Terdahulu, Arlina dalam ucapannya berkata masih ada pemimpin sayap parti itu yang tidak menganggotai JKKK dan ia menyukarkan mereka mendalami masalah orang kampung dengan lebih terperinci.

"Ada juga yang kita terlepas pandang program tertentu dan ini pastinya sedikit sebanyak mengganggu gerak kerja pemimpin puteri di peringkat akar umbi," katanya.

Ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Puteri itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan semula Tabung Perumahan Negeri dalam Bajet 2018.

Beliau berkata tabung perumahan itu pernah dilaksanakan kira-kira empat tahun lepas dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membantu rakyat Terengganu mendapatkan pembiayaan membina rumah sendiri.

"Kerajaan negeri akan meneruskan semula bantuan menerusi tabung itu untuk bajet tahun depan di mana keutamaan akan diberi kepada golongan yang tidak mempunyai slip gaji, tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap dan belum memiliki rumah sendiri," katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri telah mencadangkan kepada kerajaan pusat untuk pembayaran semula wang pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT 2) dalam beberapa mekanisme.

"Antaranya, kita mohon bayar dahulu RM740 juta dalam bentuk projek pembinaan rumah mampu milik di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu," katanya yang menjangkakan kira-kira 10,000 rumah mampu milik mampu dibina dengan pembayaran berkenaan.

-- BERNAMA

Thursday, July 27, 2017

RUMAH BOT TASIK KENYIR DAPAT SAMBUTAN

KUALA BERANG, 27 Julai (Bernama) -- Sambutan hangat terhadap perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir membuatkan pengusahanya berlumba-lumba meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menarik pelanggan.


Pelbagai inisiatif dirancang bagi menambat hati orang ramai menggunakan khidmat rumah bot masing-masing tidak kira pada cuti hujung minggu, cuti umum, cuti sekolah atau pada waktu bekerja.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Mohd Rafi Abd Wahab berkata ketika ini terdapat 54 buah rumah bot yang berdaftar dengan persatuan dan aktif menyediakan perkhidmatan dengan pakej-pakej yang menarik.

Katanya ada dalam kalangan pemilik bot tersebut mempunyai lebih daripada sebuah bot bagi menampung permintaan para pelancong yang berkunjung ke tasik berkenaan bagi berehat sambil mengelilingi beberapa buah pulau yang terdapat di lokasi tersebut.

"Pada hujung minggu hampir semua bot akan beroperasi dan kebanyakan pengunjung akan memilih pakej tiga hari dua malam untuk meneroka dan menikmati keindahan di pelusuk tasik tersebut.

"Pelbagai pakej menarik ditawarkan bagi setiap house bot, ada juga pakej selama dua hari satu malam dengan membawa pelancong ke Santuari Kelah dan sebagainya," katanya kepada Bernama.

Bagi pemilik Pesona House Boat, Kamaruddin Razali berkata sejak dua tahun mengusahakan perkhidmatan itu, sambutan yang diterimanya amat menggalakkan terutama pada hujung minggu.

Justeru itu anak kelahiran Kampung Paloh, Kuala Terengganu ini telah membina sebuah lagi rumah bot yang bernilai kira-kira RM 300,000 bagi menampung permintaan yang semakin memberangsangkan.

"Setakat ini proses pembinaan masih dijalankan dan kita menjangkakan akhir bulan Ogos ini bot kedua tersebut akan siap sepenuhnya sebelum memulakan operasi.

"Reka bentuk rumah bot yang baru ini sedikit berlainan dari yang pertama dengan meterial yang terkini. Pesona House Boat menyediakan sebanyak enam buah bilik manakala bagi bot kedua nanti sebanyak dua lagi bilik akan ditambah dengan menjadikan sebanyak lapan bilik,"katanya.

Jelasnya selain itu botnya yang mampu memuatkan 20 penumpang dalam satu masa juga ada menyediakan bilik bertaraf 'VIP' yang akan dilengkapi penghawa dingin dan kemudahan tandas di dalam kamar.

Bot yang menampilkan konsep keluarga dan mengutamakan keselesaan pelanggan menawarkan harga serendah RM1,800 hingga RM 2,000 bagi satu malam.

Manakala bagi pakej lengkap tiga hari dua malam termasuk pakej makanan serta tiket ke Santuari Kelah menawarkan harga sehingga RM4,500.

"Kebiasaannya pada hujung minggu memang kita tidak menang tangan untuk tempahan menggunakan rumah bot berbanding hari biasa," katanya.

--BERNAMA

Wednesday, July 26, 2017

NAFAS PERLUKAN LADANG JAGUNG SELUAS 14,000 HEKTAR

PASIR PUTEH, 26 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memerlukan ladang jagung seluas 14,000 hektar bagi menampung permintaan kilang memproses makanan ternakan ayam, lembu, kambing dan ikan di Johor.

Pengerusinya, Datuk Seri Saipol Bahari Suib berkata pihaknya menyasarkan pengeluaran 8,000 tan metrik jagung sebulan dari ladang itu.

"Setakat ini ladang jagung yang ada hanyalah 1,000 hektar di Segamat, di Johor.

"Nafas akan memperluas penanaman jagung ke negeri-negeri Pantai Timur bagi menampung keperluan yang masih belum mencukupi,"katanya ketika berucap merasmikan program Gelombang Tani Nasional, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) peringkat Jajahan Pasir Puteh di Bendang Cherang Rotan, di sini hari ini.

Majlis yang disertai lebih 500 petani itu turut dihadiri anggota Pengerusi Lembaga Pengarah KADA Datuk Zawawi Othman.

Saipol Bahari berkata bagi Kelantan, pihaknya telah mengenal pasti Bachok dan Pasir Puteh sebagai kawasan berpotensi untuk mengusahakan tanaman jagung.

"Nafas menerusi anak syarikatnya akan membantu petani dalam menyediaan benih dan membersihkan kawasan yang akan diusahakan.

"Nafas juga memberi jaminan untuk membeli hasil tanaman tersebut dengan harga berpatutan,"katanya.

Saipol Bahari berkata 345,000 tan metrik bahan itu diimport setiap tahun, dijadikan bahan makanan untuk ayam ternakan.

-- BERNAMA

HAFLAH ZIKIR PERDANA SEDUNIA CETUSAN IDEA DR ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) menganjurkan Haflah Zikir Perdana Sedunia selama lima hari bermula hari ini di UTM, Jalan Semarak di sini.

Menurut Yang Dipertua PERTAMA, Datuk Haji As'ari Ibrahim, PERTAMA yang ditubuhkan pada 11 September 2015 bergerak berlandaskan kepada visi dan misi PERTAMA.

"Pengajuran Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017 adalah cetusan idea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengangkat penganjuran ini ke tahap antarabangsa,"katanya dalam buku cenderahati Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017.

Beliau berharap penganjuran haflah kali ni dapat mencetuskan pergerakan kebangkitan ketamadunan Islam di mana setiap program yang dianjurkan mempunyai tujuan dan hasrat tertentu.

Di antara visi dan misi PERTAMA ialah membina satu pergerakan yang berasaskan ilmu dan amalan Islam mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan beraqidah Asya'irah dan Maturidiah.ian.


Selain itu ia bertujuan untuk mengarusperdanakan perana tarekat dan tasawuf dalam membangunkan negara. Ia juga membela dan membetulkan salah anggapan tentang tarekat tasawuf berdasarkan kajian ilmiah dan kesahihan hujah dari Al Quran, Sunnah, Ijma' Ulama dan Qias dan memastikan kesuciaan.

Visi dan misi lain penubuhan PERTAMA ialah merapatkan silaturrahim antara ahli ahli kumpulan pengamal tarekat serta mewujudkan kerjasama dengan pihak berwajib agama dan agensi kerajaan yang lain di peringkat negeri dan negara.

Malah ia juga mengadakan aktiviti kebajikan untuk masyarakat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya dan menubuhkan tabung kebajikan bila mana wujud keperluan.



Tuesday, July 25, 2017

HARGA GAMAT RM120 SATU KG PUNCA NELAYAN TANGKAP GAMAT

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) -- Semua pihak terutama komuniti setempat perlu bekerjasama dalam membanteras pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut di perairan Terengganu kerana kegagalan mengatasi masalah itu akan merugikan negeri dan negara dalam jangka masa panjang.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata kerajaan negeri juga perlu mengenal pasti kawasan-kawasan sensitif yang mempunyai
khazanah dasar laut berharga termasuk terumbu karang dan hidupan marin yang lain.

"Terengganu mempunyai banyak pulau dan ada antaranya tidak mempunyai pengawalan khusus kerana tidak berpenghuni.

Di sini pentingnya pemetaan terperinci mengenai apakah yang ada di perairan Terengganu atau di pulau-pulau tertentu, contohnya terdapat kawasan pembiakan gamat, penyu atau sumber makanan marin yang perlu dilindungi dengan lebih ketat bagi melindungi khazanah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pencerobohan nelayan asing yang menangkap gamat di perairan Terengganu sejak akhir-akhir ini.

Harga gamat yang tinggi hingga mencecah RM120 sekilogram menyebabkan ada nelayan asing dan segelintir nelayan tempatan menangkap gamat walaupun ia tidak dibenarkan di perairan Terengganu.

Mengulas lanjut, Nor Aeini berkata UMT bersedia berkongsi kepakaran saintis universiti dalam penyediaan peta dan data berkaitan bagi memudahkan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi membanteras masalah itu.

"Kita tahu banyak agensi penguatkuasaan dan pemantauan di laut ketika ini namun kekuatan tenaga mereka juga agak terhad. Sebab itu golongan nelayan tempatan sendiri perlu proaktif dalam melaporkan pencerobohan seumpama itu agar penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh.

"Nelayan sekarang juga dilengkapi dengan teknologi komunikasi yang canggih beserta sistem navigasi yang lengkap untuk memudahkan mereka membantu kerajaan dalam isu ini," katanya.

Terdahulu, beliau mewakili UMT untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini.

-- BERNAMA

Monday, July 24, 2017

PUAD ALU ALUKAN KESEDIAAN MAHATHIR BERDEPAN DENGAN SESIAPA SAHAJA


KUALA NERUS, 24 Julai (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Puad Zarkashi menyifatkan kesediaan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berdepan dengan sesiapa sahaja dari pihak kerajaan dalam forum 'Nothing To Hide' merupakan satu penghargaan baginya.

Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata forum itu merupakan platform terbaik baginya bersemuka dengan bekas perdana menteri untuk merungkai pelbagai persoalan berkaitan isu politik dan semasa.

"Saya difahamkan Tun Dr Mahathir semalam bersetuju untuk berdebat dengan sesiapa sahaja dalam forum berkenaan. Ini satu peluang terbaik untuk saya bersemuka dengan beliau dalam satu forum.

"Jadi tidak, kami berbalas-balas kenyataan di dalam media sosial', saya pun banyak benda yang mahu dibangkitkan kepada beliau (Dr Mahathir)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri JASA Terengganu di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Puad sebelum ini menyatakan kesediaan beliau menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi berdepan dengan Dr Mahathir dalam forum anjuran Armada PPBM itu yang dijadualkan berlangsung Ogos depan.

-- BERNAMA

Sunday, July 23, 2017

KUDA LAUT DAN BELANGKAS AKAN JADI DAYA TARIKAN BAHARU PELANCONGAN


SETIU, 23 Julai (Bernama) -- Dua projek penyelidikan translasional yang dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal mengubah landskap sosio ekonomi penduduk di sekitar Tanah Bencah Setiu di sini serta menjadi daya tarikan baharu pelancongan.

Dua projek tersebut ialah membangunkan populasi kuda laut dan belangkas sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan masyarakat pesisir pantai, sekaligus membantu kerajaan negeri dalam memulihara habitat fizikal marin.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata buat permulaan, 100 keluarga akan terlibat dalam projek pemeliharaan kuda laut dan 205 penduduk dari 14 kampung pula akan terlibat dalam projek lestari belangkas tersebut.

"Sekiranya projek ini diusahakan dengan baik dan konsisten, ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada komuniti terlibat serta mempopularkan lagi Tanah Bencah Setiu ini sebagai lokasi industri pelancongan dengan dua produk utamanya iaitu kuda laut dan belangkas.

"Saya berharap kedua-dua projek ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung agar matlamat penyelidikan dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka dan memulihara eko sistem semulajadi kawasan ini berjaya,"katanya kepada pemberita selepas melancarkan kedua-dua projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar; Pengarah Projek Translasional Kuda Laut, Profesor Dr Mohd Effendy Abd Wahid serta Pengarah Projek Translasional Belangkas, Profesor Madya Dr Noraznawati Ismail.

Idris berkata kementerian telah menyalurkan geran penyelidikan sebanyak RM6.7 juta untuk projek translasional UMT supaya universiti dapat memindahkan kepakaran dan ilmu kepada komuniti.

Beliau berkata, kementerian berbangga dengan peranan universiti tempatan yang sentiasa terkehadapan dalam berkongsi pengetahuan, kepakaran serta 'melahirkan' sesuatu produk yang mesra alam serta menjadi 'pencetus' perubahan sosioekonomi komuniti ke arah kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, Dr Mohd Effendy berkata melalui projek kuda laut, setiap 100 keluarga akan diberi 100 ekor kuda laut untuk dibela selama tiga bulan secara percuma dan separuh dari hasilnya akan dijual semula kepada UMT manakala separuh lagi dilepaskan ke santuari kuda laut di Setiu.

"Kami akan membimbing penduduk terlibat dari awal kitaran hidup kuda laut sehingga mereka mampu membiakkannya sendiri namun untuk buat permulaan, mereka hanya boleh menjual kuda laut ini kepada UMT sahaja dan menambah harga seekor kuda laut boleh mencecah RM100 untuk industri hiasan di kalangan pengusaha akuarium dan sebagai ubatan tradisional untuk masyarakat Cina.

Bagi belangkas pula, Dr Noraznawati berkata penduduk kampung diberi peluang menangkap belangkas yang telah dilepaskan ke habitat asal pada hari ini untuk dijual kepada UMT bagi pengambilan darah belangkas untuk kegunaan perubatan.

-- BERNAMA

Saturday, July 22, 2017

PEMBANGKANG CENDERUNG BUAT TUDUHAN PALSU


BESUT, 21 Julai (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembangkang dilihat cenderung membuat tuduhan palsu terhadap kepemimpinan negara semata-mata bertujuan mensabotaj ekonomi negara.

Beliau berkata pakatan pembangkang yang kini diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad juga sering memutarbelitkan kenyataan berhubung kejayaan negara di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN)
kerana cemburu dengan perpaduan anggota UMNO yang tidak berganjak daripada menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri dan presiden parti.

"Kini Dr Mahathir mula tercabar dengan kemampuan kepimpinan Najib, pertumbuhan ekonomi negara pada tahap lima peratus pada suku tahun pertama tahun ini membuktikan tindakan kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib berada pada landasan yang betul, " katanya.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Puteri UMNO Bahagian Besut di Jertih di sini, Jumaat.

Justeru, beliau meminta anggota UMNO terutama golongan muda supaya tidak mudah termakan hasutan pembangkang yang terdiri daripada bekas pemimin UMNO yang kini bersama pakatan pembangkang.

Sementara itu ketika merasmikan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Besut pada sebelah paginya, Idris meminta anggota pergerakan itu terus bergerak bersama kepimpinan serta menjadi mata dan telinga parti terhadap serangan pembangkang.

-- BERNAMA

Friday, July 21, 2017

PM ADA KAEDAH PILIH CALON

KUALA BERANG, 21 Julai (Bernama) -- Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengingatkan anggota pergerakan itu supaya tidak mempersoalkan tetapi sebaliknya menghormati calon dipilih pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sudah ada kaedah dan metadologi untuk memilih calon sesuai dan tidak mahu adanya lagi berlaku kes
cah keting' bagi mana-mana calon.

"Sama ada orang baharu, lama, berpengalaman, berpelajaran atau tidak sekalipun biarlah pucuk pimpinan UMNO yang tentukan.

"Tiada makna bagi Puteri jika kalah dalam pilihan raya kerana mereka sudah tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk jailani Johari merangkap Ketua Bahagian Hulu Terengganu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu Rozita Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap Ketua Wanita UMNO Terengganu, Datuk Fatimah Hamat.'

Mas Ermieyati turut mengingatkan anggota pergerakan itu agar menyelesaikan masalah dalaman parti sekiranya ada sebelum PRU14 diadakan.

"Yang penting di Parlimen Hulu Terengganu ini, kita ingin tawan kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di mana kali terakhir kita menang adalah pada tahun 1982 sudah hampir 37 tahun dan sekaligus mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen ini," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, July 20, 2017

RISDA HASILKAN MAKANAN HAIWAN TERNAKAN

DUNGUN, 20 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) melalui syarikat miliknya, RISDA Estates Durian Mas di sini, berjaya menghasilkan makanan haiwan ternakan sebanyak lima tan metrik sehari sejak Mei lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan kilang berkenaan merupakan pendekatan RISDA Estates mendapatkan sumber pendapatan terbaharu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pekebun kecil.

"Kewujudan kilang ini akan meningkatkan industri makanan ternakan di Malaysia sekali gus memudahkan golongan penternak di Terengganu mendapatkan makanan ternakan pada harga yang kompetitif.

"Hasil pengeluaran kilang ini mampu menampung keperluan dalaman mereka dan ia akan diperbesarkan secara berperingkat-peringkat agar produk itu mampu dijual kepada pihak luar," katanya selepas merasmikan kilang makanan ternakan di Durian Mas semalam








Turut hadir ialah Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin,Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam dan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dollah.

Ismail Sabri berkata, kilang makanan ternakan yang dilengkapi mesin berteknologi tinggi itu mampu menghasilkan 130 tan metrik makanan ternakan sebulan.

Beliau juga menyambut baik usaha RISDA Terengganu memulakan projek penanaman buah tin sebagai projek baharu yang mampu meningkatkan sumber pendapatan pekebun kecil di negeri ini.

"Saya dimaklumkan harga satu kilogram buah tin mentah ialah RM80. Satu pokok pula boleh mengeluarkan lapan kilogram buah tin segar.

"Jika projek perintis ini berjaya, ia boleh diperluaskan kepada pekebun kecil kerana selain projek menternak kelulut, tanaman sampingan lain atau ternakan ayam kecil-kecilan, penanaman buah tin juga mampu memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil di negara ini," katanya.

Pada majlis sama juga, beliau turut merasmikan kilang sawit RISDA Estates Durian Mas yang mampu mengeluarkan 40,000 tan metrik minyak sawit mentah setahun.

Kilang itu beroperasi pada 1982, namun mula diurus sepenuhnya oleh RISDA Estates pada 2006 dengan keuntungan terkumpul RM19 juta melalui perniagaan melibatkan pemprosesan buah kelapa sawit, jualan minyak sawit mentah dan isirong.

Menteri itu berkata, kilang sawit RISDA Durian Mas dibina dengan tujuan menjana pendapatan melalui kerja-kerja pemprosesan buah tandan sawit yang dikeluarkan ladang RISDA dan pembekal dari luar Terengganu.



"RISDA Estates juga bertanggungjawab menguruskan tiga kilang sawit milik RISDA, iaitu di Durian Mas, di Keratong, Pahang dan di Sungai Ambat, Johor.

"Selain itu RISDA Estates menguruskan 24 ladang RISDA di seluruh negara dengan keluasan 47,590.05 hektar yang meliputi 35,127.29 hektar ladang sawit matang dan 4,229.24 hektar ladang sawit muda serta 309.43 hektar ladang getah muda," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, July 19, 2017

MAIDAM BANTU PEMBEDAHAN ANAK MUALAF

KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada keluarga seorang mualaf bagi tujuan pembedahan anaknya, Safia Nadia Salim, sembilan bulan, yang menghidap penyakit saluran hempedu tersumbat (biliary atresia).


Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail kepada Salim Salleh, 48, dan isterinya Maria Nguyen Abdullah, 28, dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata sumbangan itu diharap mampu meringankan beban kewangan keluarga tersebut untuk membolehkan anak mereka dibedah di Shanghai, China tidak lama lagi.

"Saya difahamkan banyak kes seperti dialami Safia Nadia yang berusia sembilan bulan ini boleh sembuh seperti sediakala selepas menjalani rawatan di China.

"Kita berharap pembedahan hati bayi istimewa ini, hasil daripada pendermaan organ (hati) oleh ibunya berjalan lancar dan kedua-duanya akan selamat, insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Salim ketika ditemui pemberita melahirkan kesyukurannya dengan sumbangan MAIDAM itu memandangkan pendapatannya sebagai jurubahasa sambilan di mahkamah adalah tidak menentu.

Beliau yang tinggal di Kampung Rhu Renggeh, Marang, berkata hanya mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,000 setiap bulan sebagai jurubahasa sambilan di Mahkamah Kuala Terengganu.

"Saya juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 namun peningkatan kos sara hidup ketika ini menyebabkan jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menampung kos perubatan Safia Nadia.

"Kos pembedahan anak saya adalah sebanyak RM350,000 dan ia adalah antara kadar termurah berbanding kos pembedahan di negara jiran.

"Alhamdulillah, berkat pertolongan banyak pihak, kami sekeluarga akhirnya dapat mengumpulkan wang tersebut dan berharap pembedahan ini akan berjalan lancar," katanya yang akan berlepas ke Shanghai pada Ahad ini.

Selain MAIDAM, Salim turut menerima bantuan kewangan daripada kedutaan Malaysia di China, Badan Bukan Kerajaan dan Tabung Darul Iman.

-- BERNAMA

Tuesday, July 18, 2017

SMA AL FALAH SEKOLAH PERTAMA TERIMA SUMBANGAN YAYASAN BANK RAKYAT

KEMAMAN, 16 Julai (Bernama) -- Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah Kemaman, Terengganu menjadi sekolah pertama di pantai Timur menerima sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengurus Besarnya Norashikin Shaharuddin berkata pihaknya telah menyumbang RM17,000 bagi membangunkan 'Serambi Corner' di sekolah berkenaan.

"Ini adalah sekolah kedua dipilih di seluruh negara selepas Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1), Putrajaya...selepas ini kami akan menuju ke Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur yang mana ketiga-ketiga sekolah angkat ini akan dibekalkan dengan kaunter bersama tiga unit komputer dan bahan bacaan.

"Dengan sumbangan ini, kita berharap ia akan meningkatkan pencapaian akademik sekolah ini sekali gus merapatkan jurang digital dan pelajar terutamanya akan lebih efektif dalam penggunaan ICT bagi pembelajaran,"katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah Angkat 'Pledge Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner' di sini, hari ini.

'Serambi Corner' yang diilhamkan daripada Perpustakaan SIR kendalian YBR merupakan kemudahan perpustakaan dengan capaian digital disediakan di sekolah terpilih dengan pihak YBR menyediakan sudut IT.

Norashikin berkata, YBR kini dalam usaha untuk menambah jumlah sekolah angkat dan mengembangkannya ke luar bandar bagi memastikan ia dapat dirasai di seluruh negara, terutama sekali pada peringkat akar umbi.

Setakat ini Perpustakaan SIR mengandungi 80 peratus buku digital dan selebihnya ialah bahan bacaan fizikal yang juga tidak boleh diakses tanpa menjadi ahli terlebih dahulu dengan bayaran RM10 bagi pelajar setahun dan RM6 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

"Bagi mereka yang tidak menjadi ahli, bayaran yang dikenakan hanyalah RM20 setahun dan ia masih dikategorikan berpatutan berbanding dengan kuantiti bahan bacaan yang akan mereka perolehi dalam perpustakaan tersebut. Sesiapa yang ingin menjadi ahli boleh berbuat demikian secara online (dalam talian) di http://elibrary.yayasanbankrakyat.com.my.

"Kita telah membuat perjanjian persefahaman (MoU) bersama Perpustakaan Negara dan konsortium perpustakaan yang mengandungi perpustakaan universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan lain-lain bagi mereka yang menginginkan carian bahan bacaan yang lebih meluas,"katanya.

Selain itu, YBR juga mengalu-galukan mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan bahan bacaan fizikal seperti buku, majalah ilmiah dan komik pendidikan kerana buku ini yang akan dibawa untuk program sebegini pada masa akan datang.

"Kami memerlukan buku-buku mewarna kerana kami banyak membuat program bersama anak-anak gelandangan. Dengan ada kepelbagaian buku-buku mewarna ini, kanak-kanak juga lebih seronok untuk mewarna.

"Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menyumbang buku tersebut di Menara Berkembar Bank Rakyat dan bagi luar kawasan Kuala Lumpur, kami dalam usaha untuk meletakkan tabung buku ini di cawangan-cawangan bank kami,"katanya.

Turut ditemui Pengetua SMA Al-Falah, Mohd Rani Muda yang mengucapkan terima kasih kerana memilih dan menjadikan sekolahnya sebagai perintis di pantai Timur.

"Saya yakin ia akan memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah ini. Dengan adanya kemudahan telefon pintar sekarang, Perpustakaan SIR semakin mudah diakses pelajar-pelajar dalam memudahkan mereka mencari maklumat tambahan yang kini, hanya di hujung jari,"katanya.

-- BERNAMA

Monday, July 17, 2017

TAHNIAH KEPADA POLIS YANG TOLAK RASUAH

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis Julai lepas.

Tertuduh, Mohd Nazri Mohd Noor, 46, meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Tertuduh dituduh secara rasuah menawarkan suapan berjumlah RM5,000 dengan memberikan kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta nombor pin kepada Kpl Hadi Hasan dari Balai Polis Pasir Puteh, sebagai dorongan untuk melepaskan dia dan rakannya, Md Akbardarr Md Ridzan, 31, yang ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan senjata buatan sendiri.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut dalam sebuah kenderaan kereta peronda polis semasa dalam perjalanan ke Balai Polis Pasir Puteh pada 12.45 tengah hari, 5 Julai lepas.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Nik Noor Nazri Nik Soh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Shahidah Muslimah Roslan.

Mahkamah menawarkan jaminan RM5,000 dengan sebutan semula kes itu ditetapkan pada 20 Ogos.

-- BERNAMA

Sunday, July 16, 2017

PRU SEPATUTNYA DIADAKAN DI BULAN SYAWAL



KUALA TERENGGANU: Hari ini genap 23 Syawal. Tinggal 7 hari lagi Syawal akan berlabuh tetapi musim rumah terbuka belum selesai lagi. Malah minggu depan dijangka masih ada sambutan hari raya diadakan oleh pelbagai agensi.

Bukan sahaja ibu pejabat Umno mengadakan rumah terbuka aidil fitri malah peringkat perhubungan Umno negeri, parlimen, DUN, peti daerah mengundi (PDM) dan JKKK pun tidak ketinggalan.

Berdasarkan sambutan orang ramai menghadiri majlis rumah terbuka, sepatutnya PRU diadakan di bulan Syawal. Saya yakin jika ia diadakan sekarang BN akan menang besar kerana rakyat yang hadiri majlis tersebut terhutang budi dengan penganjur rumah terbuka.

Oleh itu seperti kata orang putih, this is the right time untuk bubar parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Di Kuala Terengganu malam tadi di majlis sambutan aidilfitri PERMATA, Razif kekal sebagai selebriti politik yang diminta orang ramai untuk selfie dengan beliau (gambar atas).

Malah jika gambar di  bawah dapat bercakap sudah tentu ia berkata kesepakatan yang ditunjukkan oleh pemimpin di atas mampu memenangkan BN Terengganu dengan lebih cemerlang lagi pada PRU akan datang. Semoga mereka yang digugurkan sebagai calon nanti dapat membantu calon baharu menang bergaya. Janganlah merajuk jika tidak terpilih sebagai calon. Sebaliknya mereka wajinb bekerja keras membantu kemenangan calon baharu.

Saturday, July 15, 2017

MULAI 14 OGOS SEMUA PLAZA TOL LPT GUNA TOUCH N GO

TEMERLOH, 14 Julai (Bernama) -- Berkuatkuasa 12 tengah hari 14 Ogos depan, semua 19 plaza tol di laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 sepanjang 357.9 kilometer akan melaksanakan kutipan tol elektronik (ETC) sepenuhnya.


Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Noor Azmi Ghazali berkata, bermula dari tarikh itu juga, semua 177 plaza tol di 31 lebuh raya di seluruh negara tidak lagi menggunakan tunai sebagai transaksi.

"Pelancaran sepenuhnya sistem ETC ini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas 15 hingga 20 peratus yang secara langsung turut membantu mengurangkan kemalangan dan pencemaran alam sekitar.

"Ini kerana transaksi secara Touch 'n Go untuk sebuah kereta hanya mengambil masa enam saat, manakala SmartTAG tiga saat sedangkan sebuah lorong tunai ambil masa 15 saat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Kutipan Tol Secara Elektronik bagi LPT 1 dan 2 di Hentian Rehat dan Rawat ( R&R ) Temerloh (Timur) di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Salleh, Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, dan Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd Husni Md Yusof.

Menurut Noor Azmi 19 plaza tol berkenaan iaitu sembilan terletak di LPT1 dan 10 di LPT2 kini telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem berkenaan pada 14 Ogos nanti.

"Semua plaza tol di LPT1 dan LPT2 akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch 'n Go di lorong beroperasi 24 jam.

"Syarikat konsesi LPT1 iaitu Anih Berhad dan LPT2 (LPT2 Sdn Bhd) juga sudah pastikan kakitangan akan ditempatkan di lorong bagi membantu pengguna jika mereka menghadapi masalah ketika melaksanakan transaksi pembayaran tol elektronik.

"LPT1 turut menyediakan kaunter penjualan kad Touch ‘n Go dan khidmat tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 15 jam setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 10 malam," katanya.

Selain itu Anih Berhad turut menyediakan kiosk tambah nilai dan pembelian kad Touch 'n Go menerusi konsep layan diri di R&R Temerloh dan Gambang

Dalam masa yang sama beliau turut memberi jaminan pelaksanaan sistem ETC itu tidak akan menjejaskan pekerjaan 316 jurutol yang berkerja di kedua-dua lebuh raya berkenaan.

"Di LPT1 kita mempunyai seramai 189 orang jurutol, manakala di LPT2 seramai 127 orang, namun kita beri jaminan tidak akan berlaku pembuangan pekerja.

"Kesemua mereka ini masih diperlukan untuk menentukan kelancaran operasi selain akan disalurkan untuk tugas-tugasan lain," katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 14, 2017

MANGSA PENIPUAN NIAGA DALAM TALIAN HARUS TAMPIL MUDAHKAN SIASATAN

KUALA BERANG, 14 Julai (Bernama) -- Mangsa penipuan urus niaga dalam talian harus tampil ke hadapan bagi memudahkan proses siasatan terhadap laman jual beli yang didapati menipu pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kebanyakan pengguna yang menjadi mangsa malu untuk muncul dan melaporkan penipuan itu kepada pihak berkuasa.

"Segera laporkan sebarang penipuan terus kepada polis agar ia memudahkan usaha polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sebarang (perkara) teknikal ke atas laman-laman yang menipu ini.

Untuk isu begini, kita akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kesalahan di atas akta yang berkaitan penipuan dalam talian. SKMM hanya akan bertindak apabila sesuatu kes dirujuk secara bertulis kepada kita," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Pengajian Tahsin Al-Quran Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Jailani merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata terbaharu kini dua laman yang telah disekat di bawah permintaan polis.

Kata beliau, untuk sesebuah laman jual beli dalam talian beroperasi haruslah mengikut dan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang mula dikuatkuasakan KPDNKK pada 1 Julai 2013.

"Pastikan untuk membeli apa jenis produk, alat, kenderaan sebagainya dalam talian..penjual telah berdaftar terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana ia akan memudahkan polis, KPDNKK untuk melakukan siasatan jika berlakunya sebarang kes penipuan," katanya.

Menurut laporan akhbar tempatan, sehingga kini dianggarkan sebanyak 30,000 aduan diterima sejak tahun lepas oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung penipuan di portal jualan dalam talian.

-- BERNAMA

Thursday, July 13, 2017

PANTAI BATU BURUK DIWARTAKAN KAWASAN LARANGAN MEROKOK

KUALA TERENGGANU, 13 Julai (Bernama) -- Pantai Batu Buruk yang mempunyai keluasan kira-kira 49 hektar telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok pertama bagi kawasan pelancongan di negara ini bermula 1 Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Mohammad Omar berkata pewartaan itu adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017, Taman-Taman Awam di seluruh Malaysia dan Taman Negara dan mereka yang melanggarnya akan dikenakan kompaun.

"Dalam masa tiga bulan ini kita masih menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan iaitu penguat kuasa akan memberi amaran terlabih dahulu kepada pengunjung yang didapati merokok di kawasan ini.

"Selepas daripada tempoh tiga bulan ini pengunjung yang merokok akan dikenakan kompaun," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan pelekat peringatan Kawasan Dilarang Merokok sekitar kawasan Pantai Batu Buruk di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pihak Kementerian Kesihatan menjalankan penguatkuasaan pendidikan bermula 15 Feb lalu di semua kawasan taman-taman awam di seluruh negara dan tamat pada 31 Mei lepas.

Katanya, dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan itu, penguat kuasa Jabatan Kesihatan Terengganu telah mengeluarkan 560 amaran kepada perokok menerusi 154 operasi yang dijalankan di seluruh negeri.

-- BERNAMA

Wednesday, July 12, 2017

MB SAMBUT KONVOI JELAJAH 1JIWA BERNAMA


KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Ketibaan Konvoi Jelajah 1Jiwa Bernama di Terengganu semalam

Turut sama menyambut konvoi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan & Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Turut menyambut ketibaan konvoi 15 buah motosikal berkuasa tinggi itu ialah Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah @ Engah dan sembilan petugas yang lain.

Konvoi berkenaan memulakan perjalanan mereka dari Kota Bharu, Kelantan pada 9 pagi tadi dan konvoi yang menggunakan laluan pantai itu mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke Kuala Terengganu.

Ahmad Razif yang teruja dengan ketibaan konvoi itu meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra dengan 15 peserta konvoi dan 10 kru sambil bertanyakan pengalaman mereka sepanjang perjalanan yang sudah masuk hari kelima hari ini.

"Saya ucapkan tahniah kepada Bernama kerana berjaya menganjurkan konvoi sempena sambutan ulang tahun yang ke-50. Begitu lama Bernama menaburkan khidmat kepada masyarakat dan industri penyiaran berita dalam negara.

"Saya difahamkan konvoi ini bukan sahaja singgah di setiap pejabat biro negeri, malah peserta konvoi turut turun padang bertemu anggota veteran yang telah banyak menabur jasa untuk Bernama dan masyarakat umumnya," katanya kepada pemberita selepas pelepasan konvoi tersebut ke Pahang.

Ahmad Razif juga kagum dengan semangat peserta konvoi yang mengharungi perjalanan jauh menempuhi pelbagai cabaran dalam memastikan matlamat mereka memperkenalkan Bernama kepada rakyat Malaysia tercapai.

"Paling menyentuh sanubari ialah peserta konvoi turut menyampaikan sumbangan kepada veteran yang berkhidmat dengan agensi berita ini. Ia membuktikan keprihatinan sosial Bernama terhadap petugas mereka.

Saya berharap perjalanan konvoi ini akan tiba ke destinasi mereka dengan selamat dan sihat tubuh badan," katanya yang turut mencuba menunggang motosikal berkuasa tinggi itu.

Sementara itu, Chef De Mission, Amrizan Madian berkata beliau terharu dengan sambutan mesra yang diberi pimpinan tertinggi Terengganu kepada semua peserta konvoi.

"Dalam kesibukan Menteri Besar yang mempunyai jadual begitu padat, beliau masih sempat meluangkan masa untuk meraikan konvoi Bernama hari ini dan sokongan ini memberi kami motivasi untuk meneruskan perjalanan dengan lebih bersemangat.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Biro Bernama Terengganu yang menyediakan pelbagai hidangan lazat untuk kami termasuk nasi dagang, akok dan keropok lekor yang menjadi identiti warisan negeri ini," katanya.

Setiap hari, konvoi ini dijadualkan melalui perjalanan sejauh 200 hingga 300 kilometer dan setakat ini, mereka sampai ke setiap destinasi mengikut tempoh yang ditetapkan.

Amrizan berkata sebaik melalui jalan pantai bermula dari Penarik di Setiu, peserta konvoi mula memperlahankan kelajuan motosikal masing-masing untuk menikmati keindahan panorama Laut China Selatan.

"Cuaca sepanjang hari ini juga begitu tenang dan tidak terlalu panas. Doakan kami semua selamat dan terhindar daripada sebarang musibah sepanjang konvoi ini," katanya.

-- BERNAMA


diberi sambutan meriah oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman di sini.

Tuesday, July 11, 2017

TIADA PEMILIHAN, MESYUARAT UMNO DI TERENGGANU TETAP BERKOBAR KOBAR

KUALA NERUS, 11 Julai (Bernama) -- Seluruh anggota dan perwakilan UMNO di Terengganu kini bersiap sedia untuk berkongsi buah fikiran demi kebaikan parti pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang bermula minggu depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, yang juga Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata sehingga kini tiada sebarang masalah dan isu dalaman dibangkitkan.

"Kita tiada masalah untuk mengadakan mesyuarat dan baru-baru ini kita telahpun selesai
mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan amat menggembiarakan apabila mendapat maklumat bahawa sebahagian besar atau 98 peratus cawangan kita berjaya mengadakan mesyuarat."

"Cuma ada beberapa cawangan yang tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana sebahagian ahli Puteri telah beralih menjadi ahli Wanita yang menyebabkan bilangan ahli sesetengah cawangan tidak cukup, jadi tidak boleh mengadakan mesyuarat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Pelancongan Negeri di sini hari ini.

Tambahnya, menerusi mesyuarat itu juga, didapati sokongan dan semangat anggota terhadap parti semakin berkobar-kobar meskipun tiada sebarang pemilihan berlangsung.

"Selalunya dalam mesyuarat yang ada pemilihan akan menjadikan ia lebih gamat tetapi kali ini ia sama sahaja. Dengan semangat dan tanpa sebarang isu, ahli-ahli UMNO juga begitu bersemangat malah kita dapat lihat sokongan luar biasa ahli terhadap kerajaan. Tiada isu politik dan dalaman, jika pilihan raya (umum diadakan) esok sekalipun kita telah bersedia sebenarnya," katanya.

Persidangan Perwakilan UMNO di negeri ini dijadual bermula secara berperingkat pada 14 Julai sehingga 25 Ogos.

Monday, July 10, 2017

KEDAI LAMA DI JALAN BANGGOL KEMBALI CERIA

KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Persekitaran deretan bangunan rumah kedai lama di sekitar Jalan Banggol di sini kembali ceria apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan usaha sama pihak swasta memberi sentuhan baharu dengan lukisan mural berwarna-warni sekali gus menghidupkan semula kawasan itu yang suram sebelum ini.


Projek lukisan yang memfokuskan elemen Wajah Tradisional Terengganu itu dihasilkan dalam masa sebulan bermula bulan Ramadan yang lalu menerusi gabungan empat pelukis muda berbakat besar bernama Red Rebe.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata projek lukisan mural itu adalah sebahagian program Seni Hias Bandar yang dilaksanakan MBKT dalam beberapa fasa sebagai usaha meningkatkan sektor pelancongan negeri ini sejak 2015.

"Projek itu mendapat sambutan daripada pihak swasta dan sehingga kini jumlah tajaan yang diterima hingga adalah sebanyak RM313,000.

"Penajaan itu merangkumi empat fasa dengan yang pertama membabitkan lukisan karikatur pemain bola sepak legenda Terengganu di dinding luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SINS) dengan kos sebanyak RM24,000 manakala fasa dua di lokasi sama bernilai RM12,000 dan fasa tiga yang melibatkan lukisan mural batik serta songket pada dinding luar Kompleks Parkir Pasar Kedai Payang (RM200,000).

"Kerja-kerja memperindahkan deretan bangunan kedai lama di Jalan Banggol di sini menerusi lukisan bertemakan Wajah Tradisional Terengganu itu pula melibatkan kos penajaan RM77,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan dan melawat deretan premis perniagaan lama yang kelihatan lebih ceria dengan dihiasi lukisan mural berwarna-warni di Jalan Banggol di sini hari ini.

Mohd Jidin berkata program ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda menterjemahkan bakat lukisan mereka di bangunan lama dengan cara berhemah, malah ia juga sekali gus memberi peluang kepada orang ramai, institusi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan untuk bekerjasama menyumbang memperindahkan bandar raya Kuala Terengganu.

"Kerajaan negeri akan terus memperhebatkan inisiatif mencantikkan bandar raya melalui hiasan lukisan mural yang segar dan ceria itu di samping memastikan lebih banyak pihak dapat menyalurkan bantuan serta tajaan dari semasa ke semasa.

"Selain menyediakan lebih banyak kemudahan kepada orang ramai, kita juga akan memperbaharui lebih banyak bangunan yang sudah usang dengan menggunakan konsep sama.

"Bagaimanapun, bagi bangunan yang mempunyai sejarah tersendiri, kerajaan negeri akan mengekalkan konsepnya dan hanya memperbaiki mana-mana struktur yang rosak," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, July 9, 2017

DI SEBALIK BERITA KEMATIAN SALEEM , MB TETAP ZIARAHI PENYANYI SUCI DALAM DEBU



KUALA LUMPUR: Pagi semalam sekali lagi dalam whatsapp group berita kematian penyanyi Iklim, Saleem tersebar namun ia tidak menghalang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk menziarahi penyanyi yang berasal dari Setiu itu.

Di saat saat Saleem sedang dirawat sepatutnya netizen mendoakan beliau cepat sembuh sebaliknya netizen yang tidak bertanggung jawab menyebarkan berita kematian beliau.


Razif dan isterinya To’ Puan Hajjah Halina Zakaria melawat vokalis kumpulan Iklim Saleem di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tengah hari semalam.

Saleem yang dimasukan ke hospital tersebut minggu lalu (selasa) kerana deman panas yang berlarutan dan keadaan terkini beliau semasa ziarah Ahmad Razif dalam keadaan stabil tapi masih lemah.

Beliau yang mengalami demam hampir sebulan lalu namun keadaannya semakin teruk sejak dua hari sebelum beliau dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut pihak hospital, Saleem telah dijangkiti kuman dalam paru-paru yang telah menyebabkan beliau deman berpanjangan.

Razif berdoa supaya penyanyi popular 80an itu cepat sembuh.

Saturday, July 8, 2017

RAZIF TERUS BERJIWA BESAR

KUALA LUMPUR: Semua orang tahu betapa marahnya ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sehingga beliau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dalam sidang Dewan Undangan Negeri dua tahun lepas.

Namun demikian bekas menteri besar itu akhirnya membuat u turn dengan menyokong semula kepimpinan Ahmad Razif. Mereka dikatakan berdamai kerana jika Ahmad Said bertegas dengan penyokonngya menjatuhkan Razif, BN Terengganu dikhuatiri tumbang.

Dalam pada itu Ahmad Razif terus menunjukkan jiwa besarnya pada petang Khamis lalu dengan menziarahi anak Ahmad Said, Alif yang sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Apabila gambar gambar lawatan itu dimuatkan dalam Facebook, ternyata netizen memuji sikap Razif yang tidak berdendam. Syabas Razif!


Friday, July 7, 2017

PROGRAM MAGIC ENGLISH BERI MANFAAT KEPADA 125 ORANG WANITA


KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) -- Seramai 125 wanita, termasuk usahawan dan pelajar, bakal mendapat manfaat hasil pelaksanaan Program Magic English anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Terengganu.


Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata program dengan kerjasama Bahasa Inggeris 1 Malaysia seliaan Kementerian Kewangan itu bertujuan memberi peluang kepada wanita menguasai bahasa utama dunia itu.

"Sebaik sahaja diiklankan, kita menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada golongan wanita di negeri ini yang membuktikan komitmen mereka untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

"Kelas pertama akan bermula esok dengan penyertaan 25 orang seterusnya baki peserta akan menyertai bengkel Magic English untuk usahawan dan untuk orang awam," katanya kepada Bernama hari ini.

Program Magic English turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Usahawan Wanita Terengganu bagi memastikan golongan usahawan tidak ketinggalan dalam menguasai bahasa itu serta boleh meningkatkan lagi pemasaran untuk produk mereka.

Saharuddin berkata program tiga kelas seminggu yang bermula bulan ini hingga Oktober itu akan diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu.

"Istimewanya program ini ialah kelas Bahasa Inggeris dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, bagi meningkatkan keyakinan diri dan sosio ekonomi wanita, yang mana ia akan membantu peserta menguasai bahasa itu dengan lebih mudah dan pantas," katanya.

Beliau berkata, kerajaan berharap agar golongan wanita dapat meningkatkan taraf hidup mereka setelah menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana dalam era globalisasi ini, penguasaan bahasa itu merupakan bonus bagi melangkah lebih jauh terutama dalam bidang perniagaan.

-- BERNAMA

Thursday, July 6, 2017

MAJLIS SUMBANG SARAN MB MENDAPAT SAMBUTAN

KUALA LUMPUR: Malam tadi bertempat di sebuah hotel terkemuka di sini  rakyat Terengganu yang berada di perantauan mendengar istilah Sumbang Saran buat kali pertama dalam hidup mereka yang bermaksud contribute and propose the ideas.

Usaha kerajaan negeri mendapat maklum balas dari NGO NGO anak anak Terengganu yang berada di Kuala Lumpur merupakan satu usaha yang wajar diberi pujian. Kalau dahulu hanya PESAT mewakili persatuan anak Terengganu di Lembah Klang  tetapi malam tadi banyak NGO anak perantauan dijemput oleh Menteri Besar untuk beri idea kepada kerajaan negeri seperti KITER, KOSMET, KADIM, SETARA, SETIU DI PERANTAUAN, PAKAR, KELAB SUKAN, BERKAT, PERANTAU 11, PERMATA, KAPB, BESUT MAJU, T-MESA, PERANTAU TELUK PASU dan PTD.

Dalam ucapannya Datuk Seri Razif Abdul Rahman meminta semua NGO anak Terengganu yang ada di Lembah Klang bersatu menggembeling idea demi kebaikan rakyat Terengganu, Sayangilah negeri Terengganu, tegas beliau.

Menteri Besar memberi peluang kepadasemua wakil NGO "sumbang saran" semua idea untuk dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Pemangku Presiden PESAT, Sham Aziz mencadangkan kerajaan mengadakan pre dailog belanjawan dengan semua NGO di Lembah Klang sebelum pembentangan bajet 2018.

Razif bersetuju dengan cadangan ini dan mengarahkan pegawainya memilih tarikh yang sesuai untuk pre dailog bajet tersebut. Malam tadi



 Menteri Besar turut menyampaikan bantuan pentadbiran kepada semua NGO sebanyak RM5,000 kecuali PESAT sebagai persatuan induk mendapat bantuan sebanyak RM10,000.

Wednesday, July 5, 2017

MB HADIRI MAJLIS HARI RAYA WISMA DARUL IMAN



KUALA TERENGGANU 5 Julai - Kehangatan lebaran masih dirasai dengan majlis sambutan di sana sini bagi mengeratkan hubungan dan kemesraan.



Hari ini pusat pentadbiran negeri, Wisma Darul Iman di sini turut diadakan majlis serupa dengan kehadiran kira-kira 7,000 orang, kebanyakannya penjawat awam bersama barisan kepemimpinan dan pentadbiran negeri.


Majlis sambutan diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang sebelum itu menghadiri majlis di Jabatan Pendidikan negeri.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan barisan Exco kerajaan negeri.


Pelbagai juadah menarik disediakan untuk para tetamu termasuk nasi dagang, lemang, rendang, sate dan beraneka kuih-muih selain durian yang turut mencuri tumpuan ramai.


KAMPUNG DADONG POPULAR DENGAN JAGUNG BIJIAN

KEMAMAN, 5 Julai (Bernama) -- Projek Perintis Jagung Bijirin yang ditanam di Kampung Dadong, dekat sini berjaya mencapai sasaran dengan anggaran tuaian kira-kira 200 tan metrik daripada 30 hektar jagung yang ditanam sejak akhir Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia merupakan satu kejayaan besar kepada industri pertanian negara kerana sasaran itu berjaya melepasi piawaian antarabangsa bagi penanaman jagung bijian iaitu lima tan metrik per hektar.

"Ia sekali gus berjaya mengubah persepsi dan memberi keyakinan kepada penanam jagung bijian khususnya di kampung ini bahawa penanaman jagung bijian boleh dilaksanakan di kawasan tanah sawah (di luar jelapang padi)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penuaian jagung bijian kali kedua di kampung itu di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengarah Pertanian Terengganu, Mohd Nasir Warris.

Penanam jagung bijian ini diusahakan oleh penduduk kampung itu sejak tahun lepas dan disambung Mac tahun ini selepas tuaian pertama tidak berjaya mencapai sasaran daripada 13 hektar jagung yang ditanam ekoran pelbagai masalah seperti plot ditenggelami air dan serangan makhluk perosak.

Jabatan Pertanian kemudiannya mengambil pelbagai langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah itu dan jagung berkenaan akhirnya berjaya dituai selepas kira-kira tiga bulan ia ditanam semula.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata rentetan daripada kejayaan projek perintis ini, katanya kementerian bercadang untuk menjadikan projek jagung Kampung Dadong sebagai dasar untuk menjadikan jagung bijian yang dijadikan makanan utama bagi ternakan sebagai satu industri.

"Bayangkan setiap tahun pengusaha ternakan terpaksa mengimport makanan ternakan hampir empat juta tan setahun dengan nilai RM3.1 bilion dari negara luar seperti Argentina dan Brazil.

"Jika kita hasilkan sendiri makanan ternakan berapa banyak belanja yang dapat dijimatkan dan hasilnya akan memberi pulangan yang besar kepada ekonomi negara,\" katanya.

Rentetan itu katanya, projek perintis itu akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain yang dikenal pasti berpotensi dan penambahan kepada tanaman sedia ada.

Kawasan terlibat seperti di Johor sebanyak 10 hektar, Melaka (10 hektar), Pahang (69 hektar), Perak (35 hektar), Kedah (176 hektar), Perlis (50 hektar), Sabah (72 hektar) dan Sarawak (20 hektar).

"Peruntukan sebanyak RM10 juta telah diagihkan bagi perluasan projek iaitu untuk pembangunan tanaman sebanyak RM5 juta, mekanisasi dan automasi (RM2 juta), pengawalan kualiti jagung (RM2.5 juta) dan penyelidikan serta pembangunan varieti jagung (RM0.5 juta)," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, July 4, 2017

KEBAKARAN DI PENGADANG BARU TARIK PERHATIAN MB

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Tragedi yang menimpa sebuah keluarga yang kehilangan seorang anggota keluarga dalam kebakaran rumah di Pengadang Baru di sini semalam mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membina
semula kediaman keluarga berkenaan dalam masa terdekat selepas siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selesai.

"Siasatan dijangka siap pada Jumaat ini dan selepas itu kita akan lakukan kerja-kerja pembersihan, merobohkan kediaman lama untuk bina kembali rumah baharu.

"Seterusnya proses pembinaan akan dilaksanakan dan ia bergantung pada kontraktor? mungkin dalam masa seminggu boleh disiapkan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di lokasi kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 4 petang semalam di Jalan Kepong, Pengadang Baru, Siti Munirah Abu Bakar, 31, maut akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bomba Terengganu Sharikan Bustaman berkata setakat ini siasatan sudah 40 peratus selesai dan dijangka siap sepenuhnya empat hari lagi.

"Kita masih giat mengumpul bukti yang boleh dikaitkan dengan kebakaran berkenaan untuk dihantar ke makmal untuk penilaian dan siasatan lanjut.

"Kita juga kini mengehadkan orang ramai mendekati kawasan itu bagi menggelakkan bahan bukti hilang," katanya.

-- BERNAMA