Sunday, January 1, 2017

KEHADIRAN TPM CERIAKAN MANGSA BANJIR

KUALA BERANG, 1 Jan (Bernama) -- Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke pusat pemindahan banjir Kampung Bukit Tadok, dekat sini lewat petang semalam, sedikit sebanyak menceriakan mangsa yang resah dengan bencana yang menimpa mereka sejak kelmarin..

Mereka melahirkan rasa teruja dapat berjumpa dan bersembang dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam rangka lawatan ke pusat pemindahan banjir di Kelantan dan Terengganu hari ini.

Esah Osman, 61, berkata beliau tidak menjangka berpeluang menemui pemimpin nombor dua negara itu dengan lebih dekat memandangkan sebelum ini hanya berpeluang melihatnya dari jauh.

"Mak cik memang sangat teruja dapat berjumpa dan bersembang dengan Datuk (Seri) Ahmad Zahid hari ini....pernah mak cik lihat dia tapi dari jauh. Masa itu mak cik pergi ke program yang Datuk Ahmad Zahid hadir di Dungun, tapi dia atas pentas.

"Hari ini, Alhamdulillah mak cik boleh jumpa dan bercakap-cakap dengannya dan menteri besar...mereka memang prihatin, sanggup datang dari jauh walaupun kampung mak cik ditenggelami air," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.




Esah berkata walaupun sedih diuji dengan bencana tersebut, ianya sedikit terubat dengan kedatangan pemimpin itu.

"Saat kita susah macam ini, mereka datang beri semangat dan tunjukkan sikap prihatin...walaupun kena tinggal di pusat pemindahan, mak cik dah bersyukur sangat-sangat sebab ia agak selesa," katanya.

Seorang lagi mangsa, Saadiah Yunoh, 78, berkata beliau juga turut teruja dapat bertemu timbalan perdana menteri dan menteri besar.

"Biasanya mak cik hanya tengok (beliau) di televisyen...tapi hari ini dapat tengok depan-depan. Peramah juga orangnya...beliau sapa dan tanya kami mengenai banjir ini.

"Kampung ini memang setiap tahun dilanda banjir dan boleh dikatakan hampir setiap tahun juga mak cik berpindah ke pusat pemindahan...tapi Alhamdulillah, semuanya lengkap dan selesa. Kami warga emas diberi tilam dan khemah untuk lebih selesa," katanya.

Bagi Jamilah Jusoh, 53, yang kehabisan bekalan ubat kencing manis dan darah tinggi berkata beliau bernasib baik kerana pegawai dan anggota kesihatan sentiasa ada di pusat pemindahan.

"Semalam masa air mulai naik, saya agak risau sebab kehabisan bekalan ubatan...mujurlah hari ini kakitangan kesihatan datang buat pemeriksaan, dapatlah saya ambil ubat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment