Thursday, January 19, 2017

OPERASI CARI PELAJAR LEMAS DIPERLUAS KE SEMPADAN KELANTAN



KUALA TERENGGANU, 19 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menjejaki seorang pelajar yang dilaporkan hilang di Pantai Bukit Keluang, Besut sejak Jumaat lepas diperluaskan sehingga ke sempadan Kelantan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Azlimin Mat Noor berkata, operasi yang kini memasuki hari keenam melibatkan radius pencarian sejauh 60 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Kita telah melakukan pencarian melibatkan kawasan pesisir pantai, rondaan di laut, selaman dan pelbagai teknik namun usaha mengesan mangsa masih gagal.

"Selain itu kita turut memperluaskan pencarian di kawasan Pulau Perhentian dan Pulau Susu Dara," katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, di sini hari ini.

Sabtu lalu, dua pelajar, Nik Mohd Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, dan Mohammad Izzat Haikal Alias, 12, dari Kampung Raja, Besut, dilaporkan lemas ketika mandi bersama empat lagi rakan mereka dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Bagaimanapun mayat Nik Muhamad Haikal Fitri ditemukan 200 meter dari pantai berkenaan keesokannya.

Azlimin berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk penduduk kampung dan menggunakan teknologi 'dron' untuk mengesan pelajar terbabit.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment