Tuesday, January 24, 2017

TERENGGANU SEDIAKAN RM3 JUTA DANA RAYA CINA

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri menyediakan peruntukan hampir RM3 juta tahun ini sebagai bantuan khas kepada kaum Cina di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 3,200 penerima adalah mereka yang tinggal di Kuala Terengganu dan layak memohon termasuklah warga emas, golongan miskin dan ibu tunggal.

"Dana raya Cina ini adalah sepertimana juga pada perayaan Deepavali dan perayaan lain, kerajaan negeri juga membuka peluang kepada anak-anak perantau yang mengundi di negeri Terengganu.

"Ada antaranya yang tinggal di Lembah Klang, kita masih buka peluang kepada mereka yang belum mendapat dana-dana yang disediakan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga emas yang tinggal di sekitar kampung Cina, di sini semalam.


Mengikut rekod, Terengganu mempunyai kira-kira 6,500 orang kaum itu dan dana yang diperuntukkan ialah sebanyak RM400 setiap seorang bagi kategori warga emas, miskin dan orang kurang upaya manakala RM300 bagi kategori lain yang layak.

Sementara itu, kampung Cina yang majoriti penduduknya adalah kaum Cina merupakan antara penempatan bersejarah di sini dan mempunyai 25 warga emas berusia 80 sehingga 104 tahun.

Antaranya Ting Heng Jin, 104, yang pernah bekerja sebagai tukang dobi di Istana Badariah ketika pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Selain itu, Chang Yep Koon, 100, seorang peniaga; Wee Kwee Siew, 95, suri rumah dan Wee Beng Chin, 90, pesara guru, masih menetap di kampung itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment