KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan sejumlah RM2.95 bilion untuk pembayaran kepada 506,909 penerima faedah Perkeso yang layak sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, sepanjang tempoh itu juga Perkeso mencatatkan lebih 400,000 majikan yang aktif membuat caruman melibatkan 6.4 juta pekerja yang telah berdaftar dengan Perkeso.
"Bagi negeri Terengganu, sejumlah 106,689 pekerja daripada 8,254 majikan aktif telah direkodkan dan daripada jumlah itu 1,300 orang menerima faedah sehingga Oktober tahun lepas," katanya.
Beliau berkata demikian pada malam penghargaan Perkeso bersama Media 2017 yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Terengganu Nora Yaacob.
Ismail dalam pada itu berkata, Perkeso juga akan mewujudkan skim perlindungan keselamatan sosial untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan geran kewangan khas kerajaan sebanyak RM60 juta untuk memulakan pelaksanaan skim itu pada pembentangan Bajet 2017 Oktober lalu.
Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso katanya kini sedang mengambil tindakan yang berkaitan, bagi membolehkan rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen yang dijangka pada Mac ini supaya ia dapat dikuatkuasakan untuk pelaksanaan mulai 1 Jun depan.
Pada majlis itu Perkeso mengeluarkan bayaran RM113,000 kepada lima orang penerima faedah Perkeso akibat kemalangan semasa bekerja.
Seorang daripada mereka Mohd Izan Abdul Rashid, 52, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang ketika ditemui berkata beliau menerima faedah Perkeso kerana hilang upaya kekal berjumlah RM10,000 akibat kemalangan semasa bekerja pada Oktober 2015.
"Semasa sedang bekerja membuat rumah, saya telah terjatuh dari bahagian atas setinggi 6.09 meter, sehingga tidak dapat bergerak sejak kejadian itu.
"Saya bersyukur kerana majikan saya telah mendaftar saya dengan Perkeso. Selain RM10,000 yang saya peroleh malam ini, saya juga akan dibayar setiap bulan melalui akaun bank," katanya yang mempunyai empat anak berumur 12 hingga 23 tahun.
No comments:
Post a Comment