Tuesday, January 17, 2017

RAWATAN TRADISIONAL UNTUK PULIHKAN LIYA



KEMAMAN - Keluarga gadis cantik yang melecur di wajah akibat tersembam ke dalam minyak panas merancang untuk turut sama mencuba kaedah rawatan tradisional agar Che Hasnor Marlia Che Mat, 22, yang manja dengan panggilan Liya kembali pulih seperti sedia kala.

Abang mangsa, Che Affendi Che Mat, 29, berkata, kaedah rawatan kampung yang ingin dicuba itu adalah sebagai ikhtiar selepas adiknya yang juga satu-satu adik perempuannya dibenarkan keluar daripada hospital.

Katanya, bagaimanapun, tumpuan dia sekeluarga ketika ini lebih kepada perkembangan Liya yang kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Setakat ini kami hanya ihat perkembangannya dulu, soal pembedahan atau yang berkaitan dengannya kami belum fikirkan lagi.

"Cuma kalau dibenarkan balik ke rumah nanti, kalau boleh ikhtiar cara kampung kami akan cuba. Tapi sebelum itu pun kami akan dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu," katanya.


Katanya yang juga pemandu lori tangki Kemaman Bitumen Company (KBC) di Teluk Kalong, setakat ini sel-sel kulit mati di wajah adiknya itu sudah tertanggal kerana setiap hari, wajah adiknya itu dicuci antara sekali atau dua kali.

"Dari kecederaan yang dialami, doktor cakap mungkin Liya terpaksa berada di hospital agak lama," katanya.

Liya melecur keseseluruhan wajahnya selepas tiba-tiba pitam dan muka tersembam ke dalam kuali mengandungi minyak panas ketika sedang menggoreng kuih dalam kejadian di tempat kerjanya di sebuah kedai makan pada jam 8 pagi, 7 Januari lalu.

Dalam kejadian di Yellow Town, Chukai itu, Liya bernasib baik kerana secara kebetulan taukenya berada bersebelahannya dan sempat menariknya dari dalam kuali ketika kejadian malang itu terjadi.

No comments:

Post a Comment