Wednesday, January 11, 2017

TERENGGANU SETUJU SEGERAKAN PERUNTUKAN RM16 JUTA BAIKI RUMAH MANGSA BANJIR

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Terengganu  bersetuju menyegerakan peruntukan RM16 juta untuk membaiki dan membina rumah baharu dengan keutamaan diberi kepada mangsa banjir di seluruh negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata setiap tahun, RM32 juta diperuntukkan bagi membaiki dan membina rumah baharu di kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan RM1 juta untuk setiap DUN.

"Biasanya ia akan diagih berperingkat untuk dua fasa membabitkan fasa pertama RM500,000 pada Februari dan RM500,000 lagi untuk fasa kedua pada akhir tahun bagi kesemua 32 DUN.

"Namun bagi mempercepatkan proses baik pulih dan menyediakan rumah baharu kepada mangsa banjir, peruntukan ini diagihkan lebih awal berbanding kebiasaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini semalam.
.

Sebanyak RM11,000 diperuntukkan bagi membaik pulih rumah, manakala maksimum peruntukan untuk pembinaan rumah baharu ialah RM40,000.

Ahmad Razif berkata kebiasaannya peruntukan membaik pulih dan membina rumah baharu terbuka kepada keluarga yang memerlukan, namun kali ini keutamaan diberi kepada mangsa banjir.

Mengenai bantuan kewangan RM1,000 kepada mangsa banjir melibatkan RM500 dari kerajaan pusat dan RM500 menerusi kerajaan negeri, Ahmad Razif berkata beliau masih menunggu jumlah rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sedang dikemas kini agar tiada isu berbangkit pada masa hadapan.

"Setakat ini, data diperoleh untuk tempoh 31 Dis 2016 hingga 9 Jan lepas melibatkan 21,218 mangsa daripada 6,055 keluarga yang ditempatkan di 209 pusat pemindahan di lapan daerah.

"Apabila proses kemas kini selesai, bantuan kewangan akan diagih secepat mungkin untuk setiap keluarga yang terlibat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment