Monday, January 16, 2017

EPIC TANDATANGANI MOU DENGAN CMC ENGINEERING UNTUK TEROKA BIDANG ECRL

KUALA NERUS, 15 Jan (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan CMC Engineering Sdn Bhd bagi meneroka peluang perniagaan dalam projek pembangunan Keretapi Pantai Timur (ECRL).



Pengerusi Syarikat Kumpulan EPIC, Datuk Tengku Muhamad Tengku Mahamut berkata MoU itu adalah inisiatif yang bertujuan untuk mengembang dan mempelbagaikan lagi cabang perniagaan syarikat tersebut.

"Bertepatan masa dengan projek keretapi ECRL yang telah di lancarkan, EPIC melihat potensi dan peluang bagi memberi perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem keretapi khasnya di negeri Terengganu nanti.

"Secara lebih meluas, projek ini akan turut sama melengkapkan sektor pengangkutan dalam negeri dengan pembangunan infrastruktur kemudahan awam yang bakal memberi kelebihan kos yang kompetitif terutamanya melibatkan jenis kargo dalam kuantiti yang besar," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang menyaksikan MoU tersebut.

Tengku Muhamad berkata manfaat lain yang bakal diperoleh daripada projek itu termasuklah pertumbuhan pesat bagi bandar-bandar kecil di sepanjang laluan serta ia akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMC Engineering Sdn Bhd, Hazwan Alif Abdul Rahman berkata projek ECRL akan membuka satu lembaran baharu dari sudut perkilangan, pembuatan, inovasi dan urbanisasi serta merancakkan industri hiliran yang terlibat seperti perumahan dan pelancongan.

"Sebagai syarikat tempatan yang telah 21 tahun berkecimpung dalam industri rel negara dan antarabangsa, CMC Engineering melihat ECRL sebagai satu pemangkin yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi khususnya di Terengganu," katanya.

Menurut Hazwan Alif, syarikat itu juga sentiasa melihat sebarang penerokaan secara holistik dan menyeluruh, selain mendukung aspirasi nasional bagi mewujudkan persekitaran politik, ekonomi dan sosial yang lebih adil dan berkredibiliti.

"CMC Engineering juga terbuka untuk berkongsi teknologi, kepakaran dan pengalaman bagi memaksimumkan keberuntungan dan keberhasilan kerajaan negeri daripada limpahan projek ECRL ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment