Monday, January 23, 2017

KEMAMAN BUKA PUSAT PEMINDAHAN BANJIR UNTUK PESAKIT BERISIKO TINGGI

KEMAMAN, 23 Jan (Bernama) -- Pengurusan Bencana Daerah Kemaman menubuhkan Pusat Pemindahan Transit Khas Mangsa Banjir untuk menempatkan mangsa banjir yang berisiko tinggi.

Pengerusinya, Rosman Roslan berkata pusat pemindahan khas yang dibuka di Dewan Sekolah Menengah Agama Al Falah, Chukai itu dapat menempatkan sekurang-kurangnya 30 pesakit dalam satu-satu masa.

"Pusat ini kita buka sejak Sabtu lalu untuk menempatkan mangsa banjir yang juga pesakit berisiko tinggi dan memerlukan rawatan seperti ibu mengandung, ibu berpantang dan pesakit yang lumpuh.

"Pusat ini dilengkai dengan tilam, katil, meja serta kerusi dan konsepnya seperti bilik rawatan di hospital," katanya kepada Bernama di sini semalam.


Rosman berkata pusat tersebut juga dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan juga agensi lain yang turut terlibat dalam pengurusan bencana daerah tersebut.

"Di sini, doktor dan jururawat akan datang untuk merawat pesakit dan pusat ini juga sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada pesakit dan mengurangkan kesesakan di hospital.

"Kita telah kenal pasti pesakit yang juga mangsa banjir yang terlibat lebih awal dan mereka juga dipindahkan lebih awal sebelum air naik mendadak di kawasan rumah mereka bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan," katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat itu merupakan transformasi menerusi Model Kemaman Siapsiaga dalam memastikan mangsa banjir khususnya pesakit berada dalam keadaan selesa di pusat pemindahan.

Seorang mangsa banjir, Hasnida Hashim, 32, dari Kampung Seberang Tayor yang baru sahaja melahirkan anak 10 hari lalu bersyukur apabila ditempatkan di pusat yang sangat selesa untuk ibu berpantang sepertinya.

"Rumah saya tidak dinaiki air, tetapi kawasan kampung saya dinaiki air dan memang tak ada jalan nak keluar kalau banjir, saya agak risau kerana bayi saya, Hanan Sofiya demam kuning.

"Jadi, jururawat telah menelefon dan beritahu agar saya berpindah, mereka yang datang dan bantu saya berpindah ke pusat pemindahan khas ini," katanya.

Sebaik tiba di pusat pemindahan khas itu, Hasnida seakan tidak percaya kerana pusat itu dilengkapi kemudahan yang sangat selesa seperti di hospital.

"Semuanya lengkap di sini, saya hanya bawa kelengkapan diri dan bayi sahaja. Makanan untuk ibu berpantang pun disediakan, memang sangat selesa, saya bersyukur dan berterima kasih," katanya.

Hasnida berkata bayi perempuannya itu turut menerima rawatan pemeriksaan rutin dua hari sekali di pusat pemindahan khas itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment