Tuesday, January 10, 2017

PMINT SQUARE MULA BEROPERASI MEI INI

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- PMINT Square, sebuah pusat perniagaan di tengah bandar raya ini yang dilengkapi dengan pelbagai komponen termasuk pejabat kerajaan, hotel, ruang niaga dan juga pusat hiburan akan beroperasi sepenuhnya Mei ini.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beberapa komponen terakhir seperti PB Hotel, panggung wayang dan pusat boling kini sedang dalam proses akhir pembinaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai Februari ini.

"Berlaku sedikit kelewatan dalam pembinaan PB Hotel yang sepatutnya ia dijangka siap Februari depan, namun disebabkan terdapat beberapa masalah teknikal, ia hanya dapat disiapkan pada bulan April.

"Buat masa ini saya difahamkan aras bawah akan dibuka pada bulan Februari bagi tujuan tempahan bilik hotel dan promosi kepada para pelancong yang akan berkunjung ke negeri ini.

"Komponen lain seperti pusat boling dijangka dibuka pada bulan depan dan 'cinemaplex' pula akan mula beroperasi pada bulan April," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke bangunan itu di sini Selasa.

Sementara itu, beliau berkata kelewatan operasi PMINT Square tidak menjejaskan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 kerana prasarana berkenaan dibina dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan negeri ini dalam jangka masa panjang.

"Kita guna tagline 'Visit Beautiful Terengganu' untuk TMT 2017 yang memfokuskan kepada tempat-tempat menarik di sekitar negeri ini seperti kawasan peranginan, budaya, program-program menarik dan makanan kita kepada pelancong.

"Kemudahan-kemudahan seperti PMINT Square, hotel-hotel bertaraf lima hingga enam bintang yang sedang dibina dan akan dibina adalah satu bentuk program jangka panjang untuk meningkatkan sektor pelancongan yang akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment