Monday, January 9, 2017

KEPENTINGAN NELAYAN DIAMBILKIRA DALAM MEMULIHKAN HAKISAN

KUALA NERUS, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengambil kira kepentingan nelayan dalam memulihkan hakisan di Pantai Kolam, Mengabang Teliput di sini.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kawasan sepanjang 1.5 kilometer itu akan dibaik pulih segera bagi mengelakkan jalan dan kampung berhampiran ditenggelami air laut.

"Hakisan laut (kena atasi), kemudahan kepada nelayan juga kena rancang. Apabila perancangan telah siap nanti Jabatan Pengairan dan Saliran boleh berbincang dengan nelayan di sini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di kawasan pantai itu semalam. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. C Poobalan dan Pengarah Urusan Tulangis Maju Sdn Bhd, Datuk Mohamed Rahim Husin.

Hakisan itu menyebabkan jalan kampung terputus sejak Disember lalu.

Wan Junaidi berkata kerajaan telah melaksanakan benteng pemecah ombak sepanjang 3.5 km bernilai RM73 juta di kawasan berkenan pada 2014 namun hakisan tetap berlaku di kawasan berhampiran.

Beliau berkata JPS akan mengemukakan cadangan untuk projek baharu itu dalam tempoh sebulan.

Projek baharu ini dijangka memerlukan RM80 juta memandangkan kementerian turut merancang untuk membina kawasan pendaratan ikan untuk nelayan, katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment