Thursday, January 26, 2017

APM TERENGGANU TEMPATKAN PARAMEDIK DAN AMBULAN DI LPT2

KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu menempatkan pasukan paramedik dan ambulans di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Lt Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata Op LPT2 itu, yang melibatkan 20 petugas paramedik, dijalankan dalam dua fasa dengan fasa pertama bermula hari ini hingga 29 Jan dan fasa kedua bermula 2 Feb hingga 5 Feb.

"Kita akan tempatkan pasukan paramedik dan ambulans di susur keluar Tol Bukit Besi, Dungun dan susur keluar Tol Cheneh, Kemaman bagi membantu mereka yang berada dalam kecemasan dan kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Op LPT2, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menjalankan Op Selamat dan Op Bantu.

"Op Selamat yang pertama kali diadakan di LPT2 melibatkan kerjasama pihak polis dan bomba di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing dan Ajil," katanya.

Op Bantu pula dijalankan di jalan negeri dan jalan persekutuan bagi memberi bantuan kepada pengguna ketika kecemasan seperti pengguna mengalami masalah kekurangan petrol atau teknikal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment