Friday, May 11, 2018

MB TERENGGANU PERTAMA YANG ADA PhD




MARANG, 11 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon semua pihak agar menegur membantu dan membimbingnya serta barisan exco kerajaan negeri yang baharu, sekiranya tersilap dalam melaksanakan amanah memimpin negeri.









Beliau berkata kemenangan PAS di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini hanyalah langkah pertama dalam pergerakan parti itu manakala langkah yang lebih besar adalah bagaimana untuk mengisi kemenangan tersebut, sesuai dengan amanah dan perintah Allah serta Nabi Muhammad saw.




"Matlamat kita, untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan kita redha kepada Allah dan begitulah Allah redha dengan kita. Saya sendiri datang sebagai orang kampung, tidak pernah terfikir akan diberi amanah tersangat berat ini.




"Saya pernah menjadi setiausaha cawangan parti di negeri yang PAS tidak kuat, sebab itulah bimbingan dan panduan daripada semua sangat-sangat diperlukan," katanya dalam ucapan sulungnya selepas Kuliah Dhuha Masjid Rusila di sini, hari ini.




Beliau telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu yang baharu, malam tadi.




Ahmad Samsuri, 48, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, memenangi PRU14 dengan 13,851 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, yang meraih 7,823 undi dan calon PKR Zarawi Sulong (729 undi).




Beliau merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS sejak 2008 dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selain bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa.




Beliau berkata jawatan Menteri Besar, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Anggota Dewan Negara, ADUN dan ketua parti pada pelbagai peringkat adalah amanah berat yang tidak mampu dipikul tanpa kerjasama dan bantuan daripada semua.




"Kita harus letak strategi, cara, kaedah yang sesuai dengan amanah yang diperintahkan Allah dan dengan itu ada beberapa perkara yang ingin dilaksanakan, selain memenuhi manifesto PAS yang dirangka," katanya.




Ahmad Shamsuri berkata antaranya adalah membina hidup rakyat dengan membangun jati diri, berkhidmat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan latar belakang berkonsepkan adil untuk semua, mencari jalan penyelesaian atas kelemahan salah urus pentadbiran lepas dan perkongsian ekonomi dengan rakyat.




"Kita ingin membawa Terengganu sebagai model yang bersih, maju dan berkat serta sejahtera. Akhirnya, kita akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan kembali royalti minyak Terengganu dan hasil daripada telaga minyak Bertam yang ditiadakan daripada kewangan kerajaan negeri sebelum ini," katanya.




-- BERNAMA




No comments:

Post a Comment