Wednesday, May 2, 2018

KAK NUN CALON SURA YANG BUKA KELAS TRENGKAS PERTAMA DI TERENGGANU

DUNGUN, 2 Mei (Bernama) -- Pada tahun 1970-an, kebanyakan remaja perempuan yang berusia antara 17 hingga 19 tahun sudahpun berkahwin dan memiliki keluarga sendiri, namun calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Datuk Zainun Abu Bakar memilih untuk membantu masyarakat.

Ramai yang tidak tahu bahawa Zainun atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Kak Nun adalah wanita pertama di Terengganu yang membuka kelas khas untuk kursus penulisan trengkas pada tahun 1974.

Wanita berusia 65 tahun itu berkata sebaik tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 1972, beliau mula mengikuti kursus tersebut di Institut Trengkas Kebangsaan yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata ketika itu, tidak ramai yang menyedari kepentingan menguasai penulisan trengkas ini untuk memudahkan laluan mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.

"Sebab itu, bila habis belajar, Kak Nun balik ke Dungun dan mulakan perniagaan pertama iaitu Institut Perdagangan Malaysia dengan fokus utama ialah mewujudkan kelas trengkas untuk membantu lebih ramai golongan muda menguasai kemahiran tersebut....kebetulan pula industri minyak dan gas baru hendak berkembang di Kerteh, Kemaman pada masa itu yang memerlukan ramai pekerja dengan kemahiran tertentu.

"Alhamdulillah, selama hampir 20 tahun kelas trengkas dibuka, Kak Nun mempunyai hampir 10,000 pelajar iaitu pelajar lelaki kebanyakannya menyertai sektor perbankan dan kerajaan manakala pelajar perempuan pula diterima masuk dalam bidang kesetiausahaan dan pentadbiran pejabat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain Zainun, BN Terengganu turut mempertaruhkan seorang lagi calon wanita di DUN Bukit Payong di Parlimen Marang iaitu Toh Puan Zaitun Mat Amin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau yang telah menabur bakti kepada masyarakat sejak 44 tahun lalu, tetap gigih mahu terus menyumbang kepada penduduk dan bertekad mahu terus membantu lebih ramai rakyat kawasan DUN Sura sekiranya menang dalam PRU14 ini.

"Kak Nun aktif berpolitik sejak berusia 19 tahun. Minat untuk membantu orang ramai, terutama yang dalam kesusahan sentiasa membara dalam jiwa apatah lagi yang membabitkan bidang pendidikan...sebab itu Kak Nun tidak kenakan bayaran kepada pelajar yang berasal daripada keluarga miskin. Harapan Kak Nun biarlah ilmu kemahiran itu menjadi saham akhirat untuk Kak Nun.

"Melalui Pergerakan Wanita UMNO Dungun, Kak Nun berpeluang merasai denyut nadi rakyat iaitu tumpuan kami ialah ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan keluarga miskin," katanya yang mempunyai Diploma Bahasa Inggeris (Komunikasi Perniagaan) dan Eksekutif Sains Kesetiausahaan dari Stamford College.

Bendahari Wanita UMNO Negeri, yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun itu berkata aktiviti turun padang mendekati masyarakat setiap kali ada kematian dan musibah atau hadir ke kenduri-kendara bukanlah satu perkara asing bagi dirinya.

"Ia memang rutin harian Kak Nun untuk terus berdamping dengan rakyat. Sebelum ini pun, beberapa PRU lepas, Kak Nun memang kerja kuat berkempen untuk memastikan kemenangan calon BN dan alhamdulillah kali ini, mereka yang lain termasuk pemimpin veteran pula menyokong Kak Nun untuk menang di Sura," katanya.

Isteri kepada kontraktor Abdullah Abdul Latif ini berkata antara manifestonya untuk pengundi DUN Sura ialah menyediakan lebih banyak perumahan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda selain menyediakan tiga kenderaan wakaf untuk kegunaan mereka.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai calon BN untuk merampas semula kerusi DUN Sura yang kini dikuasai pembangkang, ibu kepada tiga anak ini berkata gerak kerja yang diatur sejak menjadi Pegawai Penyelaras DUN itu pada 2015 memberi satu kelebihan buatnya.

"Kami sudah kenal pasti bacaan sikap lebih 24,761 pengundi dalam DUN Sura ini iaitu lebih 21,000 adalah pengundi Melayu, 2,000 pengundi Cina dan 89 pengundi India.

"Insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada BN kali ini berdasarkan pendekatan kita bersama pengundi yang telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment