Thursday, May 31, 2018

KERAJAAN AKAN CARI JALAN TARIK PELANCONG KE TAMAN TAMADUN ISLAM

KUALA BERANG, 1 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan meningkatkan lagi keupayaan beberapa produk pelancongan yang kurang berdaya maju bagi menambah hasil pulangan sektor pelancongan tersebut kepada ekonomi negeri.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antaranya ialah Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang sebelum ini dikatakan 'bermasalah' dan kurang mendapat perhatian pengunjung.

"Bila kami ambil alih kerajaan, kami akui ada masalah terhadap projek demikian?tetapi bukan masanya kami nak menuding jari kepada sesiapa."

"Kita kena cari jalan bagaimana untuk menjadikan projek yang kurang berdaya maju, kurang mendatangkan aktiviti ekonomi kepada projek sedia ada kepada yang mendatangkan hasil - pertamanya kepada masyarakat sekitar, pengusaha pelancong dan kepentingan kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Masjid Al Amin Kampung Buluh, Kuala Berang, di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A.Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Anggota Dewan Undangan Kuala Berang Dr Mamad Puteh.

No comments:

Post a Comment