KUALA TERENGGANU, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan teguran daripada semua pihak dalam menjalankan tanggungjawap yang diamanahkan.
Ahmad Samsuri, 48, yang merupakan Menteri Besar ke-15 menganggap permulaan tugasnya hari ini bukan sahaja untuk kebaikan di dunia tetapi juga di akhirat.
"Perasaan saya bercampur baur, ada rasa gembira, teruja untuk memulakan tugas sebagai Menteri Besar namun sudah tentu ada perasaan takut tidak dapat melaksanakan amanah ini dengan sempurna kerana kita perlu menjawabnya di akhirat kelak," katanya
"Sekiranya kami laksanakan dengan baik dan betul, maka ikutlah, namun sekiranya kami lakukan kesilapan dan kesalahan, maka tegurlah supaya kami boleh jalankan kewajipan dengan sempurna.
"Ini kerana apa yang paling penting ialah rakyat sebagai penerima objektif paling besar dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat hajat bersama kakitangan Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan terus menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat kerana ia penting untuk pembangunan negeri.
Katanya, isu tersebut sudah lama diperjuangkan oleh PAS bukan sahaja di peringkat kepimpinan negeri malah di peringkat pusat.
"Tuntutan terhadap royalti minyak adalah antara komitmen berterusan yang akan terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri. Persoalan royalti adalah persoalan penting kepada negeri Terengganu.
"Tetapi kami akan lakukan dengan cara berhemah dan akan adakan perbincangan lebih lanjut selepas ini," katanya.
Mengenai lantikan pegawai kerajaan negeri, Ahmad Samsuri berkata ia akan dibincangkan kemudian selepas menilai dari pelbagai sudut dan keperluan.
Sementara itu, lantikan exco dan portfolio kerajaan negeri akan ditentukan Rabu ini selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment