Sunday, May 13, 2018

AHMAD SAID BIMBANG MASA DEPAN PENDUDUK KEMAMAN

KEMAMAN, 13 Mei (Bernama) -- Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan sebahagian besar anggotanya merasakan parti tersebut telah berada di penghujung jalan dan sukar untuk bangkit semula selepas rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata pengunduran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dianggap terlewat kerana bekas perdana menteri itu sebenarnya sudah maklum kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN sebelum PRU14.

"Pengunduran Najib dari parti adalah satu tindakan yang agak lewat kerana kita dapati setelah beliau melihat suasana politik di Malaysia ketika itu beliau sepatutnya mengambil keputusan mengundurkan diri lebih awal sebelum pilihan raya.

"Sebab Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri kini) telah mengeluarkan kenyataan sekiranya Najib tidak mengundurkan diri bermakna BN akan kalah dan kita nampak itu yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika mengulas pengunduran Najib dari parti di kediamannya di Telok Kalong, di sini hari ini.

"Bila ada tanda-tanda penentangan dan orang tak perlukan sepatutnya biar kita berundur lebih awal... sekarang nasi dah jadi bubur bukan mudah untuk bangkit kembali setelah apa yang berlaku," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman.


Ahmad berkata UMNO Bahagian Kemaman bimbang mengenai masa depan penduduk Kemaman terutama penyokong-penyokong BN apabila beliau sahaja menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, pada PRU14, 9 Mei lalu.

Katanya, beliau kini memikirkan daripada mana sumber atau peruntukan yang dapat diberikan kepada rakyat Kemaman selepas BN kini bukan lagi kerajaan yang memerintah.

"Dulu pada tahun 1999 kita kalah pada kerajaan negeri (PAS) tetapi kerajaan pusat masih kita (BN) yang memerintah dan kerajaan pusat masih menyalurkan peruntukan dan sebagainya (kepada rakyat Terengganu dan Kemaman).

"Tapi hari ini kita kalah dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat (Pakatan Harapan) ... di mana tempat untuk kita bergantung untuk mendapatkan peruntukan," katanya.

No comments:

Post a Comment