Thursday, May 31, 2018

KERAJAAN AKAN CARI JALAN TARIK PELANCONG KE TAMAN TAMADUN ISLAM

KUALA BERANG, 1 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan meningkatkan lagi keupayaan beberapa produk pelancongan yang kurang berdaya maju bagi menambah hasil pulangan sektor pelancongan tersebut kepada ekonomi negeri.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antaranya ialah Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang sebelum ini dikatakan 'bermasalah' dan kurang mendapat perhatian pengunjung.

"Bila kami ambil alih kerajaan, kami akui ada masalah terhadap projek demikian?tetapi bukan masanya kami nak menuding jari kepada sesiapa."

"Kita kena cari jalan bagaimana untuk menjadikan projek yang kurang berdaya maju, kurang mendatangkan aktiviti ekonomi kepada projek sedia ada kepada yang mendatangkan hasil - pertamanya kepada masyarakat sekitar, pengusaha pelancong dan kepentingan kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Masjid Al Amin Kampung Buluh, Kuala Berang, di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A.Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Anggota Dewan Undangan Kuala Berang Dr Mamad Puteh.

ROSOL WAHID LAYAK KETUAI UMNO TERENGGANU



BESUT 30 Mei -Ahli Parlimen Besut , Datuk Seri Idris Jusoh tidak lagi berhasrat untuk menerajui UMNO negeri ketika terdapat cadangan pihak bertentu agar beliau kembali berperanan memberi nafas baharu kepada parti.


Menurut Idris yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu, beliau sudah memikul tanggungjawab berkenaan selama lapan tahun bermula tahun 2000 hingga 2008, dan dalam siatuasi kini adalah wajar kalangan lebih muda mengambil alih.


“Saya bersedia membantu UMNO negeri ini tetapi sekadar menjadi penasihat (dalam memulihkan moral ahli dan imej parti) ,” katanya selepas menghadiri mesyuarat agung cawangan UMNO Seberang Jertih, malam tadi.

Dalam mesyuarat itu Idris dipilih semula selaku ketua cawangan dan menolak desas-desus beliau tidak mahu menjadi pemimpin.

Terdapat juga desas-desus sebelum ini bahawa beliau diminta memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sejak seminggu apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menemuinya.

Beliau yakin UMNO masih diterima rakyat dan akan kembali bangkit selepas dipulihkan menerusi persidangan cawangan, mesyuarat agung bahagian dan perhimpunan agung.

“Apa yang saya perhatikan sekarang persidangan cawangan berjalan lancar, malah ahli bersemangat menghadiri persidangan walaupun masih terkejut dengan kekalahan,” katanya.

Idris berkata, kini masa paling sesuai untuk mengenal pasti siapa ahli UMNO yang setia dan menjadi musuh dalam selimut selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, UMNO perlu melakukan pembersihan bagi memastikan perjuangan alaf baharu dapat diteruskan dengan semangat lebih tinggi dan dokongan mereka yang benar-benar mengutamakan parti.

Ulasan saya, jika Idris enggan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baharu maka saya rasa ahli parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang pernah menjadi Setiausaha Perhubungan Idris wajar jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno yang baru.

Tiga DUN tewas dalam parlimen Hulu Terengganu tetapi Rosol menang bertanding kerusi parlimen membuktikan bahawa beliau ada aura tersendiri. Maka beliau yang ada pengalaman ketika BN kalah dari 1999-2004 wajar mengepalai Umno Terengganu.




Tuesday, May 29, 2018

RAFIZI DIMINTA BERHENTI PERLEKEH MANA MANA PIHAK

KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) -- Berhenti perlekeh mana-mana pihak dan tumpu kepada program pembinaan semula negara seperti yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Datuk Razali Idris.

Beliau berkata, pada masa ini rakyat ingin melihat keutuhan, kesepakatan serta unsur kesatuan dalam pimpinan kerajaan yang didukung oleh pelbagai parti komponen PH.

"Disebabkan itu sesiapa pun diharap tidak berlagak, angkuh dan mendabik dada dengan memperlekeh sumbangan pihak lain yang turut sama menyumbang kepada kejayaan PH pada PRU14 lalu," katanya.

Razali memberi reaksi kepada kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa bahawa kemenangan PH pada PRU14 bukan disebabkan populariti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi faktor Cukai Barang dan Perkhidmatan ( GST) dan isu kenaikan kos sara hidup.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Razali menegaskan sekarang adalah masa untuk bina semula negara seperti yang terkandung dalam moto Invoke, pusat penyelidikan tidak bermatlamatkan untung yang dikendalikan oleh Rafizi

Monday, May 28, 2018

MAJLIS IFTAR EPIC MERIAH





KEMAMAN: Eastern Pacific Industrial Corporation  (EPIC) malam tadi meraikan 520 orang pelajar anak yatim dan miskin daripada 13 buah sekolah di sekitar daerah Kemaman dalam majlis iftar Ramadhan di Dewan Serbaguna KSB.

Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat turut hadiri majlis tersebut yang dihadiri 1,400 orang tetamu.

Dalam ucapannya, Hanafiah yang pertama kali menghadiri majlis EPIC selepas PAS membentuk kerajaan negeri pada 9 Mei lalu memuji langkah EPIC memberi sumbangan kepada para pelajar miskin berjumlah RM52,000.

Bagi Pengerusi EPIC pula, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut dalam ucapannya berkata majlis iftar tersebut dapat memberi penghayatan kepada kakitangan dan jemputan bahawa betapa pentingnya mempunyai perasaan kasih sayang dan kesedaran memberi pertolongan.

Sebelum berbuka puasa para jemputan disediakan dengan ceramah agama, bacaan yasin serta tahlil dan selawat. Kumpulan Sedrain turut menyerikan majlis dengan nasyid, qhasidah dan alunan zikrullah.


Sunday, May 27, 2018

TIADA KAKITANGAN LANTIKAN POLITIK DIBERHENTIKAN DI BULAN RAMADHAN

KUALA NERUS, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan desas-desus kononnya kerajaan negeri akan menamatkan perkhidmatan kesemua 900 kakitangan lantikan politik di Terengganu ketika pentadbiran Barisan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata desas-desus itu tidak tepat kerana tidak semua yang akan ditamatkan perkhidmatan dan kerajaan negeri kini sedang meneliti secara terperinci kedudukan mereka.

Ahmad Samsuri berkata memang akan berlaku pensturukturan terhadap kakitangan di beberapa organisasi kerajaan negeri namun ia bergantung kepada beberapa kategori.

"Memang akan ada yang terlibat dengan penstrukturan ini ada yang dipindahkan ke perkhidmatan yang lain, ada yang letak jawatan dan ada yang tamat kontrak."

"Kita ambil langkah paling cermat dalam hal ini, kita tidak naik (jadi kerajaan) dan terus tamatkan semua (lantikan politik) begitu sahaja, paling tidak pun sekarang ini, apa yang berlaku ialah tidak ada sesiapa yang diberhentikan pada bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran maklumat di media sosial kononnya kesemua 900 kakitangan lantikan kontrak pada era pemerintahan BN Terengganu akan ditamatkan tidak lama lagi.

Saturday, May 26, 2018

BILA BN SUDAH KALAH SEMUA PEMIMPIN LARI



KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengambil keputusan untuk tidak bertanding sebarang jawatan di semua peringkat dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada akhir bulan ini dan bulan depan.

Beliau, yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah, berkata keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pemimpin lain untuk memimpin Umno ke arah transformasi yang menyeluruh.

"Saya juga akan tamat tempoh memimpin Pergerakan Puteri Umno Malaysia untuk diserahkan baton kepimpinan kepada pemimpin Puteri (Umno) yang lain.

"Dengan ini juga saya juga berharap ramai pimpinan Umno lama akan memberi ruang pada muka baharu untuk memimpin parti dan sayap Umno,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata pada masa ini beliau meletakkan fokus terhadap memberikan khidmat bakti kepada masyarakat Masjid Tanah yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili mereka.

Pada 22 Mei lepas, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pemilihan parti peringkat cawangan diadakan daripada 19 Mei hingga 10 Jun, pemilihan ketua sayap pada 23 Jun, manakala pemilihan Majlis Tertinggi Umno pada 30 Jun.

Semalam ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Shabery Cheek melepaskan jawatan ketua cawangan dan dijangka tidak akan mempertahankan jawatan timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman pada 30 Jun.

Ulasan saya, bila Umno kalah teruk di peringkat pusat, semua pemimpin mahu letak jawatan. Dari satu segi amat bagus kerana mereka bertanggungjawab dengan kekalahan BN di peringkat negeri dan sewajarlah mereka memberi laluan kepada orang muda. 

Ada yang berhujah mereka sudah ditolak orang rakyat maka wajarlah mereka berundur. Tetapi dari segi lain pula, kenapa di saat saat Umno susah sekarang semua pemimpin mahu lari kepala.

Adakah kerana mereka tiada wang lagi mahu membina Umno Bahagian? Dahulu mereka membangunkan Umno Bahagian kerana mereka ada peruntukan sebagai menteri dan timbalan menteri  dan ada taukeh yang boleh membantu Umno. 

Sekarang Umno sudah kalah di peringkat pusat maka semua taukeh sudah lari. Kenapa mereka tak sanggup menggadaikan harta peribadi mereka sama ada jual tanah dan rumah demi membina semula Umno?

Mampukah golongan muda membina Umno dalam suasana mereka tiada wang? Kalau Umno mahu kembali kepada Semangat 1946 maka semua ahli perlu berkorban wang ringgit untuk Umno. Maka pemilihan Umno kali ini biar Umno betul betul bersih tiada lagi calon ketua bahagian menghulur wang kepada perwakilan untuk dapatkan tempat dalam bahagian. Sanggupkah perwakilan memilih pemimpin yang bersih?


Friday, May 25, 2018

BERI PELUANG GOLONGAN MUDA TERAJUI CAWANGAN UMNO

KEMAMAN, 25 Mei (Bernama) -- Bekas Anggota Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengundur diri sebagai ketua UMNO cawangan Gong Chengal semalam.

Kini jawatan tersebut dipangku timbalannya, Datuk Mustaffa Ab Rahman.

Ahmad Shabery berkata tindakan itu adalah bagi memberi peluang golongan muda menerajui UMNO cawangan itu seterusnya membuka ruang kepada mereka menjadi pelapis untuk mengambil alih kepimpinan parti.

"Saya sendiri sebagai ketua cawangan berundur diri dan kita telah membina barisan pelapis untuk mengambil alih."

"Buat sementara waktu timbalan yang akan memimpin tetapi naib timbalan kita beri pada orang muda... Kita nak lihat lebih ramai wajah-wajah muda di peringkat kampung, (memimpin parti)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Agung UMNO Cawangan dan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda Gong Chengal kali ke-28 tahun 2018 di sini semalam.

Thursday, May 24, 2018

MUKHRIZ MAHU PENJAWAT AWAM BANTU WUJUDKAN KEDAH BAHARU

ALOR SETAR, 24 Mei (Bernama)-- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mahu penjawat awam kerajaan negeri agar bersama membantu beliau dalam mewujudkan sebuah Kedah Baharu, selaras dengan semangat Malaysia Baharu di peringkat persekutuan.

Beliau berkata ini bertepatan dengan harapan dan impian rakyat untuk melihat perubahan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Menjadi Menteri Besar sebanyak dua kali memberikan saya satu perspektif yang lebih menyeluruh mengenai keikhlasan dan kesetiaan warga pentadbir dalam menjalankan tanggungjawab kita bersama demi negeri Kedah yang kita sayangi ini.

Sudah tiba masanya untuk kita membina suatu budaya yang baharu. Budaya pemangkin kepada kejayaan. Budaya yang tidak lagi sarat dengan amalan-amalan lapuk yang membelenggu kita daripada mencapai kejayaan hidup," katanya ketika menyampaikan amanat di hadapan lebih 3,000 penjawat awam pada program Bicara Integriti di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam titahnya sebelum ini juga menekankan mengenai peri pentingnya setiap aktiviti yang hendak dilaksanakan dirancang dengan teliti agar manfaatnya dapat dinikmati dan dikecapi oleh rakyat.

Wednesday, May 23, 2018

MINGGU HADAPAN AGENSI MANA PULA AKAN DIBUBARKAN?

PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Antara yang akan dibubarkan ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN), dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

"Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

"Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya fikir kita pun ada kepintaran," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan memansuhkan agensi dan insitusi terbabit dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut yang memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion, dengan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kerajaan terdahulu.

Mengulas pembubaran SPAD, Dr Mahathir berkata tugas suruhanjaya itu akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan.

Mengenai rasional pemansuhan MPN dan JKKKP pula, beliau berkata kedua-dua institusi itu dipengaruhi unsur-unsur politik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan. Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu," katanya.




Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran. Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu," katanya.

Ditanya mengenai projek seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan Lebuhraya Pan Borneo, Perdana Menteri berkata: "Kita sedang mengkaji mana satu kita batalkan, mana satu diteruskan, mana satu saya akan tangguhkan sehingga satu tarikh yang akan datang."

Dr Mahathir berkata langkah memansuhkan institusi dan mengkaji semula projek-projek terbabit dibuat sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan melibatkan nilai berbilion ringgit.

"Kita sudah kenal pasti banyak perbelanjaan dalam bajet yang lama, projek yang lama yang boleh kita kurangkan, jumlahnya berbilion juga tetapi tidak dapat beri secara terperinci.

"Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur ada yang mungkin kita hentikan ada juga mungkin kita adakan rundingan semula untuk kurangkan kos setakat kita mampu bayar sahaja," katanya. -- BERNAMA


Tuesday, May 22, 2018

JALUR LEBAR DUA KALI LEBIH PANTAS PADA SEPARUH HARGA





KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Gobind Singh Deo berkata beliau akan berusaha mewujudkan sistem jalur lebar yang 'double the speed, half the price' (dua kali lebih pantas pada separuh harga) bagi kemudahan rakyat.

Beliau berkata pada masa ini, ramai yang membuat aduan berkenaan kualiti jalur lebar di Malaysia yang jauh berbeza dengan negara-negara maju.

Gobind yang memulakan hari pertamanya bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini, berkata pihaknya akan melihat pelbagai aspek termasuk masalah yang dihadapi syarikat telekomunikasi dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

"Kalau kita lihat jalur lebar di negara lain, perkhidmatan yang diberikan itu taraf berbeza dengan apa yang kita (Malaysia) ada, jadi tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mencontohi sistem-sistem lain yang ada di luar negara. Itu adalah satu perkara yang saya akan cuba, juga sebahagian daripada pelan 100 hari," katanya dalam rancangan Bicara Khas yang disiarkan secara langsung oleh RTM, malam ini.

Justeru kata beliau, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat telekomunikasi untuk membincangkan perkara tersebut.

Gobind berkata beliau juga komited untuk menjamin kebebasan media dalam melaporkan berita dan membuat kritikan kepada kerajaan.

Beliau berkata laporan berita dengan tepat tanpa berat sebelah mampu mencorak pemikiran masyarakat, sekali gus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

"Dalam Pakatan Harapan (PH) memang kita bersandarkan kepada gelombang kita mahu menegakkan sistem kebebasan lebih kepada semua pihak dan satu aspek yang penting ialah media," katanya.

Gobind berkata rakyat negara ini juga telah matang untuk menonton program perdebatan di kaca televisyen bagi mendapat maklumat dan memahami sesuatu isu yang timbul.

"Kalau kita nak adakan satu debat, perbahasan, saya rasa tidak ada masalah, kita sebenarnya setiap hari ada perdebatan walaupun di kedai kopi," katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Puchong yang terkenal kelantangannya di Dewan Rakyat itu turut mengalu-alukan kritikan terhadap kerajaan PH oleh pihak pembangkang ketika di Parlimen.


"Saya harap mereka diberikan ruang sepenuhnya untuk berbahas di Parlimen dan bawa isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, kritik kerajaan kita sebagaimana perlu, kita tidak seharusnya mempunyai speaker yang menyekat pembangkang membawa isu-isu dan itu perbezaan kita dengan kerajaan terdahulu," katanya.

-- BERNAMA

BAHRI KEMBALI BERTUGAS UNTUK NEGARA



KUALA LUMPUR:Bekas  Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BOK SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin melapor diri di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Beliau melapor diri selepas dipanggil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Rabu minggu lepas untuk menyertai semula suruhanjaya itu.

Katanya, tawaran itu diterima sebagai amanah dan tanggungjawab kepada negara.

"Saya diminta membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC International (SRC) Sdn Bhd yang sudah selesai sebelum saya memohon untuk bersara awal.

"Mohon kerjasama orang ramai menyalur sebarang maklumat berkaitan individu yang menerima sebahagian wang haram yang dilencongkan daripada dana SRC yang tidak terkira berapa jumlahnya," katanya.

Beliau yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bahri memainkan peranan utama dalam siasatan kes SRC, bekas anak syarikat 1MDB, memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas 2 tahun lagi.

Unit BOK kemudiannya ditukar kepada bahagian siasatan khas dengan gred penjawat awan diturunkan ke C.

Monday, May 21, 2018

SIAPAKAH MENTERI PERTAMA YANG AKAN DIGUGURKAN MAHATHIR?

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Anggota Kabinet yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan boleh digugurkan dan digantikan dengan anggota Parlimen lain yang lebih layak, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Katanya, urusan melantik menteri-menteri Kabinet bukanlah satu tugas mudah dan pastinya tidak akan ada Kabinet yang sempurna serta tidak sunyi daripada kritikan orang ramai.

"Memang tidak ada perfect Cabinet. Sentiasa ada saja cacat celanya. Kita pilih macam mana pun ada orang tak puas hati. Yang saya pilih ni pun saya tahu ramai yang tak puas hati. Tapi nak satisfy everybody (puaskan hati setiap orang) pun tak mungkin.

"Jadi kita akan cuba. Kalau (prestasi) tidak satisfactory (memuaskan), kita kena gugur dan kita pilih lain. Tetapi kita kena bagi peluang supaya ramai orang baharu masuk (menyandang jawatan dalam Kabinet) dan wanita pula, tuntutan mereka kita kena ambil kira. Jadi, tak mudah mengisi jawatan Kabinet," katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan selepas upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia 13 menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Dr Mahathir berkata beliau kini boleh mengadakan mesyuarat Kabinet walaupun masih ada lagi jawatan menteri yang belum diisi.

Menurutnya, jumlah akhir menteri Kabinet mungkin akan mencecah 28 orang setelah ditambah wakil daripada Sabah dan Sarawak.

Diminta mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap pemilihan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Dr Mahathir berkata: "Dia seorang professor, seorang intelektual, dan seorang lulusan bidang agama tetapi bahasa Inggerisnya baik.

"Kita kalau pilih yang lama saja ataupun yang ada 'connection' saja pun tak boleh juga. Kita kena bagi kat orang lain... kita cuba.

"Tapi ramai daripada menteri yang kita pilih tidak ada pengalaman. Jadi kita kena ada bantuan daripada pakar," tambahnya.

Ulasan saya, majoriti menteri yang dilantik Dr Mahathir tiada pengalaman kecuali Tan Sri Muhyiddin Yasin dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali. 

Maka menteri baharu perlu tunjuk prestasi yang cemerlang dalam masa 100 hari atau enam bulan dari sekarang kerana harapan rakyat kepada mereka amat tinggi. Agaknya siapakah menteri yang pertama digugurkan Dr Mahathir kelak? Sama sama kita tunggu.

-- BERNAMA

Sunday, May 20, 2018

MB AKAN TEMUI PM MENGENAI ROYALTI MINYAK


KUALA NERUS, 20 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu menunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kaedah penyaluran royalti minyak dan gas kepada rakyat negeri itu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jaminan Dr Mahathir itu sangat dialu-alukan dan beliau menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai sesuatu yang sangat positif dalam hubungan kerajaan negeri Terengganu dan persekutuan.

"Saya mewakili rakyat Terengganu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada perdana menteri atas jaminan berhubung penyaluran royalti minyak itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Bazar Ramadan Batu Enam di sini hari ini.

Isu royalti minyak dan gas Terengganu terus menjadi perhatian ramai apabila Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang menegaskan rakyat Terengganu tetap menerima manfaat royalti itu namun ia tidak diberi secara terus kepada kerajaan negeri pimpinan PAS ketika ini, Ahmad Samsuri berkata itu hanyalah pandangan peribadi beliau.

Ditanya mengenai kewajaran untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, Ahmad Samsuri berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkannya secara lebih serius dengan mengambil kira impak positifnya terhadap ekonomi dan rakyat Terengganu.

"Bagi saya, projek ini wajar diteruskan kerana ia boleh menjana pertumbuhan ekonomi negeri terutama di kawasan yang akan terlibat sebagai hentian laluan kereta api ini.

"Saya berharap projek-projek yang baik seperti ini akan diteruskan asalkan tidak memberi bebanan kepada negeri dan rakyat negeri," katanya.

-- BERNAMA


Saturday, May 19, 2018

ZURAIDA TUMPU KEPADA PELUANG PERUMAHAN YANG SEIMBANG

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, yang dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata peluang perumahan yang seimbang untuk Bumiputera di kawasan bandar besar adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

Selain itu, katanya, hak golongan minoriti, orang asal dan warganegara lain agar mereka juga meninkmati kediaman selesa akan turut diberi perhatian.

Zuraida merupakan antara 13 menteri dinamakan dalam barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

"Alhamdulillah saya menerima berita pelantikan sebagai menteri Kabinet yang diumumkan sebentar tadi dengan penuh rasa rendah diri dan bersyukur.

"Kini saya berpeluang untuk meneliti segala dasar dan pelaksanaan kementerian terbabit dengan lebih mendalam. Saya yakin banyak penambahbaikan dan cadangan dengan substantif dapat dilaksanakan, " katanya dalam kenyataan akhbar.

Friday, May 18, 2018

AZMIN PILIH MB SELANGOR ATAU MENTERI HAL EHWAL EKONOMI?

SHAH ALAM, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secepat mungkin bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin berkata beliau hanya mengetahui mengenai lantikan itu selepas dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya hari ini.

"Saya ucap terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah beri kepercayaan kepada saya untuk terajui sebuah kementerian yang kanan. Sudah tentulah beban tugas yang amat besar memandangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara pada hari ini.

"Namun saya telah menyembah maklum pada Sultan Selangor sebentar tadi tentang maklumat ini dan saya telah persembahkan pada tuanku bahawa saya akan adakan pertemuan dengan perdana menteri secepat mungkin malam ini juga atau selewat-lewatnya esok, untuk dapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai skop tugas diamanahkan kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Sultan Selangor bersama rakyat di Dewan Muzakarah dan Syarahan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini.

Menurut Mohamed Azmin hasil pertemuannya dengan perdana menteri nanti akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor esok bagi memutuskan di manakah tanggungjawab dan peranan yang perlu beliau mainkan, sama ada kekal di Selangor atau ke peringkat persekutuan.

Katanya, beliau sebelum ini pernah dimaklumkan oleh perdana menteri untuk memainkan peranan di peringkat persekutuan tetapi tidak dimaklumkan untuk memainkan peranan di peringkat kementerian.

Ditanya sama ada beliau boleh memegang dua portfolio, Mohamed Azmin menjawab:" Sudah tentu tidak boleh."

Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan nama sembilan lagi anggota Parlimen Pakatan Harapan yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan, termasuk Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

-- BERNAMA

Thursday, May 17, 2018

PH TELAH DILULUSKAN PENDAFTARANNYA

PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) telah diluluskan sebagai sebuah parti gabungan empat parti yang sah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, yang dinamakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri, berkata permohonan PH sebagai parti gabungan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.

PH adalah gabungan parti politik iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM.

"Pada malam ini saya ingin umumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, suatu keputusan yang telah lama kita tunggu-tunggu, walaupun tanpa penglibatan saya kerana saya belum mengangkat sumpah, tetapi tindakan dilakukan melalui peringkat Ketua Setiausaha kementerian yang telah memaklumkan bahawa pendaftaran Pakatan Harapan telah diluluskan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. di Padang Timur, di sini, malam ini.

Turut hadir isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, PH telah bertanding di bawah lambang PKR dengan menggabungkan calon-calon daripada PKR, PPBM, Amanah dan DAP.

Sebelum ini dilaporkan PH tidak dapat didaftarkan kerana PPBM didakwa gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan RoS dalam masa yang ditetapkan.

Pada PRU14, PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baharu dengan menamakan pengerusinya, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Muhyiddin berkata PPBM juga telah kembali menjadi sebagai satu parti yang sah selepas pendaftarannya turut diluluskan RoS hari ini.

Sementara itu Wan Azizah berkata beliau bersyukur kerana rakyat memberi sokongan penuh kepada PH selain menyambut kebebasan Anwar dengan penuh semangat.

"Syukur Ramadan ini disambut dengan kebebasan Anwar. Anwar sebelum ini dipenjara dan dizalimi," katanya.

Beliau juga tidak menyangka ceramah malam ini mendapat liputan meluas media khususnya TV3 serta media lain.

Pada program sama, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memohon supaya media memberi liputan adil kepada semua parti walaupun terhadap pembangkang kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat isu rakyat.

"Saya juga minta sahabat-sahabat dalam PH sedar bahawa setiap sen yang anda belanjakan itu adalah wang rakyat dan saya minta supaya sahabat-sahabat sedar bahawa yang mengangkat kita bukan tokoh parti atau individu-individu tertentu tetapi rakyat," tambahnya.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, pada asalnya dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan serta-merta hari ini selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

-- BERNAMA

Wednesday, May 16, 2018

HANAFIAH JADI EXCO KEBAJIKAN WANITA DAN PERPADUAN


KUALA TERENGGANU, 16 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan senarai 11 portfolio baharu untuk membantu kelancaran pentadbiran negeri.

Beliau berkata terdapat beberapa penambahbaikan tugasan dibuat terhadap Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berbanding portfolio terdahulu.

"Saya sendiri akan mempengerusikan portfolio Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli manakala Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Satiful Bahari Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

"Selain itu, ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar manakala ADUN Bukit Payong Mohamad Nor Hamzah mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan," katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di Wisma Darul Iman hari ini.

Selain itu, ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, ADUN Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran) serta ADUN Alor Limbat Ariffin Deraman (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat).

Selain itu, ADUN Chukai Hanafiah Mat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional serta ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO).

Manakala ADUN Kuala Berang Dr Mamad Puteh (Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau) serta ADUN Kota Putera Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja.

PAS Terengganu berjaya membentuk kerajaan negeri setelah memenangi 22 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas.

-- BERNAMA


Tuesday, May 15, 2018

KEHADIRAN RAZIF PERMULAAN YANG BAIK UNTUK BEKERJASAMA


KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini hadir ke majlis penyerahan tugas kepada penggantinya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.

Kedua-dua mereka dilihat berbual santai hampir 15 minit sebelum upacara menandatangani dokumen penyerahan tugas.

Turut hadir Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A Rahman Yahya dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.

Ahmad Samsuri berkata kehadiran bekas menteri besar itu adalah satu permulaan baharu yang baik ke arah kerjasama kedua-dua pihak dalam memacu Terengganu menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Beliau juga mengulangi pendirian untuk meneruskan dan menambah baik program-program bermanfaat untuk rakyat yang telah diperkenalkan kerajaan negeri kepada rakyat sebelum ini.

Ditanya sama ada PAS Terengganu akan bekerjasama dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri dalam menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat, beliau berkata PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan untuk rakyat.

"Apa yang perlu difahami ialah politik itu sendiri tujuannya untuk menyelesaikan masalah, bukannya mencari masalah.

"Kehadiran bekas menteri besar hari ini adalah detik bersejarah untuk negeri. Saya amat menghargai kedatangan beliau," katanya yang menyifatkan Ahmad Razif sebagai pemimpin berjiwa besar.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata beliau sedia memberi sumbangan tenaga atau idea kepada kepimpinan negeri yang baharu.

"Bagi pihak saya, tak ada masalah, insya-Allah kita akan saling bekerjasama, pilihan raya umum pun sudah berlalu. Sekarang ini masa untuk sama-sama berganding bahu untuk memperjuangkan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Monday, May 14, 2018

KERAJAAN PAS AKAN TERUS TUNTUT ROYALTI MINYAK


KUALA TERENGGANU, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan teguran daripada semua pihak dalam menjalankan tanggungjawap yang diamanahkan.

Ahmad Samsuri, 48, yang merupakan Menteri Besar ke-15 menganggap permulaan tugasnya hari ini bukan sahaja untuk kebaikan di dunia tetapi juga di akhirat.

"Perasaan saya bercampur baur, ada rasa gembira, teruja untuk memulakan tugas sebagai Menteri Besar namun sudah tentu ada perasaan takut tidak dapat melaksanakan amanah ini dengan sempurna kerana kita perlu menjawabnya di akhirat kelak," katanya

"Sekiranya kami laksanakan dengan baik dan betul, maka ikutlah, namun sekiranya kami lakukan kesilapan dan kesalahan, maka tegurlah supaya kami boleh jalankan kewajipan dengan sempurna.

"Ini kerana apa yang paling penting ialah rakyat sebagai penerima objektif paling besar dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat hajat bersama kakitangan Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan terus menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat kerana ia penting untuk pembangunan negeri.

Katanya, isu tersebut sudah lama diperjuangkan oleh PAS bukan sahaja di peringkat kepimpinan negeri malah di peringkat pusat.

"Tuntutan terhadap royalti minyak adalah antara komitmen berterusan yang akan terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri. Persoalan royalti adalah persoalan penting kepada negeri Terengganu.

"Tetapi kami akan lakukan dengan cara berhemah dan akan adakan perbincangan lebih lanjut selepas ini," katanya.

Mengenai lantikan pegawai kerajaan negeri, Ahmad Samsuri berkata ia akan dibincangkan kemudian selepas menilai dari pelbagai sudut dan keperluan.

Sementara itu, lantikan exco dan portfolio kerajaan negeri akan ditentukan Rabu ini selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

-- BERNAMA

Sunday, May 13, 2018

AHMAD SAID BIMBANG MASA DEPAN PENDUDUK KEMAMAN

KEMAMAN, 13 Mei (Bernama) -- Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan sebahagian besar anggotanya merasakan parti tersebut telah berada di penghujung jalan dan sukar untuk bangkit semula selepas rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata pengunduran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dianggap terlewat kerana bekas perdana menteri itu sebenarnya sudah maklum kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN sebelum PRU14.

"Pengunduran Najib dari parti adalah satu tindakan yang agak lewat kerana kita dapati setelah beliau melihat suasana politik di Malaysia ketika itu beliau sepatutnya mengambil keputusan mengundurkan diri lebih awal sebelum pilihan raya.

"Sebab Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri kini) telah mengeluarkan kenyataan sekiranya Najib tidak mengundurkan diri bermakna BN akan kalah dan kita nampak itu yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika mengulas pengunduran Najib dari parti di kediamannya di Telok Kalong, di sini hari ini.

"Bila ada tanda-tanda penentangan dan orang tak perlukan sepatutnya biar kita berundur lebih awal... sekarang nasi dah jadi bubur bukan mudah untuk bangkit kembali setelah apa yang berlaku," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman.


Ahmad berkata UMNO Bahagian Kemaman bimbang mengenai masa depan penduduk Kemaman terutama penyokong-penyokong BN apabila beliau sahaja menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, pada PRU14, 9 Mei lalu.

Katanya, beliau kini memikirkan daripada mana sumber atau peruntukan yang dapat diberikan kepada rakyat Kemaman selepas BN kini bukan lagi kerajaan yang memerintah.

"Dulu pada tahun 1999 kita kalah pada kerajaan negeri (PAS) tetapi kerajaan pusat masih kita (BN) yang memerintah dan kerajaan pusat masih menyalurkan peruntukan dan sebagainya (kepada rakyat Terengganu dan Kemaman).

"Tapi hari ini kita kalah dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat (Pakatan Harapan) ... di mana tempat untuk kita bergantung untuk mendapatkan peruntukan," katanya.

Saturday, May 12, 2018

BERSIHKAN SPRM TERLEBIH DAHULU CADANG BAHRI

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin mahu kerajaan Pakatan Harapan membersihkan dahulu SPRM sebelum SPRM diarah membersihkan negara.

Katanya, kalau tukang cuci berserabut macam mana dia nak cuci keadaan sekeliling.

"Makin kotor adalah,"katanya kepada blog ini melalui whastaspp.

Beliau gembira dengan kejatuhan kerajaan pusat BN yang telah menganaiyai ramai orang.

"Saya hanya mengadu kepada Allah setiap malam ketika tahajud dan saya yakin usaha siasatan saya akan bangkit semula pada suatu hari nanti,"katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu siasatan menyeluruh mengenai 1MDB.

Beliau yakin Dr Mahathir ikhlas mahu menghapuskan rasuah yang sudah menjadi barah dalam jabatan kerajaan.

"Saya tetap dengan pendirian saya bahawa kamu ada kuasa tetapi saya ada Allah,"katanya lagi yang pernah diarah tukar dari SPRM ke Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh 24 jam pada 7 Ogos 2015.

Namun demikian arahan pertukaran  itu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Zabidi dibatalkan serta merta oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang bergegas pulang dari luar negara.

Bahri menyiasat kes SRC yang mendapat pinjaman dari KWAP yang skop siasatannya dikecilkan terbatas kepada kes yang melibatkan saksi-saksi dalam negara sahaja kerana terpaksa dipercepatkan kerana beliau telah menjangkakan  gangguan dari sasaran  yang menggunakan PDRM yang secara membuta tuli  sentiasa mengikut telunjuk pihak berkuasa.

"RM43 juta telah masuk ke akaun sasaran dan siasatan  menemui bukti  dan saksi saksi yang mencukupi untuk menuduh sasaran di mahkamah," katanya.

Katanya lagi, beliau benar-benar bersendirian kerana Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassaim dimasukkan ke hospital dan nombor dua pula Datuk Shukri berada di Amerika Syarikat.

"Di situlah timbulnya slogan tauhid "kamu ada kuasa aku ada Allah" kerana saya bersendirian dan diganggu semahunya oleh sang penguasa," katanya lagi.

Beliau berharap siasatan SRC dibuka semula oleh kerajaan baharu. Beliau yang dilamar oleh beberapa parti politik supaya bertanding dalam PRU baru baru ini menolak tawaran tersebut kerana beliau amat takut untuk menerima amanah di dalam bidang yang beliau bukan pakar dan beliau amat mempercayai satu kerugian kepada negara selama ini kerana melantik para kroni memegang jawatan yang mereka jahil dan bukan pakar dalam bidang tersebut.

"Saya berharap kerajaan baru ini tidak sesekali melantik mana-mana manusia di suatu tempat yang dia bukan ahli dalam bidang berkenaan. Itu mengarut,"tegasnya lagi.

Friday, May 11, 2018

MB TERENGGANU PERTAMA YANG ADA PhD




MARANG, 11 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon semua pihak agar menegur membantu dan membimbingnya serta barisan exco kerajaan negeri yang baharu, sekiranya tersilap dalam melaksanakan amanah memimpin negeri.









Beliau berkata kemenangan PAS di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini hanyalah langkah pertama dalam pergerakan parti itu manakala langkah yang lebih besar adalah bagaimana untuk mengisi kemenangan tersebut, sesuai dengan amanah dan perintah Allah serta Nabi Muhammad saw.




"Matlamat kita, untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan kita redha kepada Allah dan begitulah Allah redha dengan kita. Saya sendiri datang sebagai orang kampung, tidak pernah terfikir akan diberi amanah tersangat berat ini.




"Saya pernah menjadi setiausaha cawangan parti di negeri yang PAS tidak kuat, sebab itulah bimbingan dan panduan daripada semua sangat-sangat diperlukan," katanya dalam ucapan sulungnya selepas Kuliah Dhuha Masjid Rusila di sini, hari ini.




Beliau telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu yang baharu, malam tadi.




Ahmad Samsuri, 48, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, memenangi PRU14 dengan 13,851 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, yang meraih 7,823 undi dan calon PKR Zarawi Sulong (729 undi).




Beliau merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS sejak 2008 dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selain bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa.




Beliau berkata jawatan Menteri Besar, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Anggota Dewan Negara, ADUN dan ketua parti pada pelbagai peringkat adalah amanah berat yang tidak mampu dipikul tanpa kerjasama dan bantuan daripada semua.




"Kita harus letak strategi, cara, kaedah yang sesuai dengan amanah yang diperintahkan Allah dan dengan itu ada beberapa perkara yang ingin dilaksanakan, selain memenuhi manifesto PAS yang dirangka," katanya.




Ahmad Shamsuri berkata antaranya adalah membina hidup rakyat dengan membangun jati diri, berkhidmat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan latar belakang berkonsepkan adil untuk semua, mencari jalan penyelesaian atas kelemahan salah urus pentadbiran lepas dan perkongsian ekonomi dengan rakyat.




"Kita ingin membawa Terengganu sebagai model yang bersih, maju dan berkat serta sejahtera. Akhirnya, kita akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan kembali royalti minyak Terengganu dan hasil daripada telaga minyak Bertam yang ditiadakan daripada kewangan kerajaan negeri sebelum ini," katanya.




-- BERNAMA




SALLEH AKUR DENGAN KEPUTUSAN PRU

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai sesuatu 'yang tidak mudah untuk diterima dan pastinya sangat menginsafkan'.

Dalam catatan di blognya hari ini beliau juga berkata ia juga membuatkan seseorang itu untuk bermuhasabah dan terus bertenang ketika berdepan dengan kekalahan.

"Pada 9 Mei 2018, rakyat telah bersuara dan kita harus mematuhi kehendak rakyat dalam semangat 'suara rakyat adalah suara keramat'," catat beliau.

Salleh juga berkata dalam politik tidak ada kuasa yang lebih hebat daripada kehendak rakyat, dan mereka (calon pilihan raya) harus terima apa jua keputusan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengizinkan beliau untuk berkhidmat kepada negara sebagai Menteri Komunikasi dan Multi Media.

Pada 9 Mei lalu, Dr Salleh selaku calon BN bagi parlimen Kota Belud kalah kepada calon Warisan, Isnarasiah Munirah Majilis dengan majoriti 4,263 undi. Salleh mendapat 19,167 undi manakala Isnarasiah mendapat 23,429 undi. Dalam pertandingan empat penjuru itu, calon PAS, Awang Laiman Ikin mendapat 1,410 undi manakala calon Harapan,Miasin@Ainaduddin Mion mendapat 2,092 undi.

Yang peliknya semua calon BN di bawah parlimen Kota Belud menang di Tempasuk, Kadamaian dan Usukan. Malah jika undi BN di ketiga tiga DUN dicampur semua dapat 23,337 undi. Ini bermakna ada pengundi yang mengundi BN di peringkat DUN tetapi tidak undi BN di peringkat parlimen yang mana Salleh tidak mendapat 4,170 undi dari jumlah undi tiga DUN.

Salleh adalah penyokong kuat Datuk Seri Najib Tun Razak maka ada juga pengundi BN yang terpengaruh dengan kempen Warisan yang mahu melihat kekalahan Salleh dengan memberi undi kepada BN di peringkat DUN tetapi mengundi Warisan sekutu Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat parlimen.

Jika semua pengundi di peringkat DUN mengundi Salleh ini bermakna Salleh kalah 92 undi sahaja kepada calon Warisan tersebut.

Wednesday, May 9, 2018

TERENGGANU MOLEK DAH TAPI CALON YANG DOK MOLEK

KUALA TERENGGANU, 10 Mei -- PAS berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu apabila memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) semalam.

Dua puluh dua DUN yang dimenangi ialah Air Putih; Kemasik; Chukai; Sura; Rantau Abang; Paka; Bukit Payong; Pengkalan Berangan; Rhu Rendang; Alor Limbat; Ajil; Manir, Kuala Berang; Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Tepuh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Kota Putera dan Jabi.

Barisan Nasional pula menang baki 10 kerusi di Kijal, Langkap, Telemong, Hulu Besut, Kuala Besut, Jerteh, Batu Rakit, Seberang Takir, Permaisuri dan Bukit Besi.

PKR yang bertanding di semua 32 kawasan DUN pula gagal memenangi walau satu kerusi malah kehilangan DUN Bandar yang dimenangi sebelum ini kepada PAS.

PRU kali ini bukan sahaja menyaksikan keputusan luar jangka terhadap calon popular di negeri ini tetapi juga di beberapa kawasan DUN yang dikuasai BN buat sekian lama, turut dirampas PAS.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 2,163 manakala malah satu lagi kerusi parlimen, Setiu jatuh ke tangan PAS apabila calon BN, Datuk Mohamad Jidin Shafie kalah pada Shaharizukirnain Abd Kadir dengan majoriti 2,802 undi.

DUN Ajil dan DUN Air Putih yang menjadi kubu kuat BN sejak beberapa penggal juga terlepas ke tangan PAS.

Kenapa BN Terengganu tewas? Bagi saya, Terengganu molek dah tapi calon-calon BN yang tak molek. Faktor calon mengekalkan 17 muka lama pemenang PRU 2013 punca utama rakyat menolak BN. Yang memberi kemenangan kepada PAS bukan kerana PAS kuat tetapi ahli Umno yang muak dan meluat dengan calon BN yang sama. Ahli Umno yang memangkah PAS.

Senario yang sama berlaku pada tahun 1999. Orang Umno mengundi PAS pada PRU tersebut menyebabkan PAS menang tetapi mereka kembali semula menyokong BN pada PRU 2004 yang menyebabkan kerajaan PAS tumbang.

Dapatkah mereka menjatuhkan kerajaan PAS pada PRU 2023? Bagi saya Umno Terengganu perlu menukar semua ketua bahagian kerana ahli Umno sudah muak dengan pemimpin yang sama. Mereka tidak ambil ikhtibar kekalahan BN pada tahun 1999 dahulu mengulangi kesilapan yang sama mementingkan kroni. Maka Umno perlu berubah jika mahu menumbangkan PAS lima tahun akan datang.

Tuesday, May 8, 2018

ZAHARI MAT TETAP KEMPEN UNTUK BN WALAUPUN TIDAK TERPILIH CALON




JERTEH: Tidak terpilih sebagai calon bagi DUN Hulu Besut tidak mematahkan semangat Zahari Mat,34,  untuk berkempen memenangkan penyandang jawatan, Nawi Mohamad.

"Saya masih muda dan bagi saya tak kesah tidak dicalonkan asalkan BN menang besar di Hulu Besut," katanya kepada todayterengganu.

Beliau turut berkempen dari PDM ke PDM untuk mempastikan Ketua Umno Bahagian Besut itu dipilih semula sebagai wakil rakyat Hulu Besut.

Zahari Mat amat popular di Hulu Besut tetapi oleh kerana pucuk pimpinan membuat keputusan mengekalkan semua calon yang menang pada PRU13 maka nama beliau tercicir.

"Bagi saya jadi calon tidak penting. Yang penting saya terus berkhidmat untuk penduduk Hulu Besut,"katanya lagi.

Nawi Mohamad pernah membuat kenyataan akhbar bahawa jika beliau tidak terpilih sebagai calon beliau tetap berkempen untuk BN.

Pada PRU 2013, Nawi menang dengan majoriti 1,574 undi mengalahkan calon PAS, Solahuddin.

Zahari yakin BN dapat mengekalkan lima kerusi di Besut empat DUN dan parlimen Besut pada 9 Mei esok.

Sunday, May 6, 2018

"SEA FELDA" BERI MANFAAT KEPADA 452 PESERTA


KUALA NERUS, 6 Mei (Bernama) -- Projek Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) atau "Sea Felda", sebuah kawasan pembangunan bersepadu khusus untuk golongan nelayan di Seberang Takir di sini, bakal memberi manfaat kepada 452 peserta AKN, atau hampir 2,000 penduduk tempatan, termasuk ahli keluarga mereka.

Projek bernilai RM180 juta itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, di Kampung Seberang Pak Abu hari ini.

Ahmad Razif berkata projek yang akan dilaksanakan di kawasan seluas 22 ekar itu dijangka siap secara keseluruhannya pada tahun 2020.

Ia merangkumi pembangunan sebuah kawasan komersial, perikanan dan perumahan berbentuk 'town house' yang berdaya maju bagi meningkatkan taraf hidup warga nelayan, katanya ketika majlis pelancaran projek itu yang mendapat kerjasama daripada Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John turut hadir di majlis itu.

Ahmad Razif berkata buat permulaan, pihak ECERDC akan menjalankan fasa satu projek berkenaan iaitu membina kawasan perumahan berbentuk 'townhouse' itu di tapak seluas 8 ekar di Kampung Batin.

"Bagi menjayakan projek ini, kerajaan Persekutuan telah pun memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi membina 200 buah rumah mampu milik jenis townhouse yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air berkeluasan sekurang-kurangnya 850 kaki persegi di bawah fasa yang pertama ini," katanya.

"Peserta yang layak membeli rumah ini akan dipilih melalui sistem Rent-To-Own dan ditawarkan dengan kadar harga yang amat rendah iaitu kira-kira RM68,000 seunit, dengan kos selebihnya dibiayai oleh pihak Kerajaan.

"Harga ini sememangnya jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa," katanya.

Sehubungan dengan itu Ahmad Razif menggesa rakyat khususnya penduduk di Kuala Nerus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

-- BERNAMA

Saturday, May 5, 2018

TUN MAHATHIR TAK PATUT KATA "MATI KATAK"



KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama)-- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini berkata istilah, 'mati katak', tidak seharusnya diucapkan seseorang yang kononnya bergelar negarawan.

"'Mati katak' adalah kata-kata yang cukup menghina bagi merujuk kepada seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan melakukan dosa yang amat besar dan akan dimasukkan ke dalam neraka," kata Salleh dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan mereka yang meninggal dunia dalam peristiwa Memali pada 1985 mengalami 'mati katak''.

Awal hari ini, PAS menyelar kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu dan kemudian Dr Mahathir memohon maaf kepada keluarga mereka yang maut dalam peristiwa itu kerana menggunakan bahasa kasar bagi menerangkan tentang kematian mereka.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima permohonan maaf oleh Dr Mahathir itu.

"Dr Mahathir tidak mahir tentang perkara berkaitan agama. Beliau sepatutnya bertanya kepada mereka yang mempunyai ilmu tentang perkara itu.

Malah, kami (PAS) telah duduk bersama-sama, berbincang dan mendapati mangsa mati syahid."Beliau tersilap cakap. Saya telah mendengar ucapan permohonan maaf beliau dan kami menerimanya, kata Hadi kepada pemberita pada program 'Sembang Santai Bersama Ayoh Chik' di Kuala Ibai di sini hari ini.

-- BERNAMA


PEMBANGKANG CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN

KUANTAN, 5 Mei (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Shabery Cheek menyifatkan pembangkang sebagai pihak yang bercakap tidak serupa bikin apabila bercadang mengenakan pelbagai caj kepada nelayan di Selangor.

Shabery berkata tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri kononnya menjanjikan pelbagai tawaran percuma kepada rakyat termasuk hendak menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberikan tol percuma kepada rakyat.

"Itu menunjukkan sebuah kerajaan tidak boleh hidup jika semua benda percuma semata-mata, kerajaan memerlukan pendapatan hasil caj kepada rakyat.

"Namun dalam hal ini amat malang sekali apabila caj dikenakan kepada golongan nelayan yang kita tahu berpendapatan rendah tatkala semua perkara hendak diberikan percuma kepada rakyat...ia bertentangan sekali dengan apa yang dikatakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Jalinan Kasih bersama nelayan Parlimen Indera Mahkota di Pasar Nelayan Balok di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Untong Keri.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Indera Mahkota Datuk Dr Johan Mat Sah dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah Datuk Suhaimi Jusoh.

Katanya hal itu berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan BN yang sentiasa menitikberatkan kebajikan dengan memberikan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada mereka termasuk program pinjaman mudah kepada nelayan bagi pembelian bot dan peralatan baharu atau meningkatkan keupayaan bot sedia ada.

Selain itu pemberian elaun sara hidup kepada nelayan pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan; bantuan infrastruktur dan latihan modal insan melalui program azam tani dan ?touch point'.

Sebelum ini kerajaan negeri Selangor bercadang untuk mengenakan bayaran lesen pendudukan sementara (TOL) ke atas jeti nelayan dan caj penggunaan joran nelayan di Selangor.

Bagaimanapun ia mendapat tentangan lebih 5,700 orang di 52 jeti nelayan di Selangor kerana membebankan mereka dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan nelayan supaya memilih calon BN memandangkan ia merupakan anak tempatan sedangkan pembangkang mempertaruhkan calon luar yang datang dan pergi tanpa memperjuangkan kebajikan rakyat di situ.

-- BERNAMA

Friday, May 4, 2018

BN TERENGGANU YAKIN MENANG BESAR PADA 9 MEI INI

DUNGUN, 4 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekali gus mengulangi sejarah kemenangan yang dicipta pada Pilihan Raya Umum ke-11.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata keyakinan itu berdasarkan situasi politik terkini negeri yang dilihat lebih menyebelahi parti itu berbanding parti lain, selain gerak kerja parti yang tersusun.

"Kita berkeyakinan penuh pilihan raya umum (PRU) kali ini kerana kita lihat sokongan pengundi terhadap BN semakin baik...saya juga nampak PRU14 kali ini seolah-olah macam PRU pada 2004 dahulu ketika kita menang besar.

"Saya yakin dan percaya tak mustahil kita mengulangi sejarah pilihan raya 2004 yang mana kita kalah dengan 4-28 (pada 1999) dan kita rampas semula 28-4 (pada 2004). Insya-Allah kita akan ulangi kejayaan ini," katanya selepas menghadiri Program Santai bersama pemimpin di Padang Astaka Dungun, malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga calon Parlimen Dungun Datuk Din Adam.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata beberapa isu yang timbul sebelum ini juga telah diselesaikan dan jentera parti negeri dilihat bekerja kuat demi kemenangan.

"Saya rasa tidak ada sebab kalau kita tidak dapat ambil balik kawasan Pas menang dengan majoriti rendah termasuk tempat yang kita tidak jangka (menang) macam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura ini, saya nampak momentum pengundi makin hari makin baik, " katanya.

Beliau berkata kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut memberi keuntungan kepada BN apabila dapat mengurangkan permasalahan dalam parti.

"Ada untungnya bila ada parti pribumi (PPBM) ini yang mana kita lihat orang yang tak setia dengan parti dan rasa mereka sudah tak sesuai dengan BN, mereka ada pilihan untuk pergi ke pribumi," katanya.

Pada 1999, tsunami politik menyaksikan Pas berjaya menawan Terengganu selepas menang kesemua lapan kerusi parlimen di negeri ini.

BN pula hanya menang empat daripada keseluruhan 32 kerusi DUN iaitu di DUN Telemong, Ajil, Seberang Takir dan Kemasik, bagaimanapun pada 2004 BN kembali menawan Terengganu selepas memenangi lapan kerusi parlimen dan 28 daripada 32 kerusi DUN di negeri ini.

-- BERNAMA

Thursday, May 3, 2018

PASTIKAN BN MENANG UNTUK DAPATKAN EXCO WANITA

MARANG, 3 Mei (Bernama) -- Calon wanita Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah bersedia untuk menggalas sebagai exco kerajaan negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita BN Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata masanya telah tiba untuk kerajaan Terengganu mempunyai exco daripada kaum wanita berdasarkan kekuatan calon wanita BN dan bilangan anggota wanita yang ramai.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan BN Terengganu (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) kerana telah mencatat sejarah untuk kaum wanita apabila dua calon Wanita UMNO diangkat sebagai calon untuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

"Saya datang ke sini (Terengganu) adalah untuk berjumpa dengan jentera-jentera BN di sini dan memberi semangat serta sokongan kepada calon-calon dan jentera. Saya juga ingin meminta kepada semua pengundi di Terengganu, berilah undi anda kepada BN," beliau memberitahu wartawan pada program 'Jelajah Cakna Rakyat' ke DUN Bukit Payung di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, wanita yang juga berperanan sebagai pejuang politik harus diberi hak dan tempat melalui penglibatan mereka dalam kerajaan negeri untuk menyuarakan hasrat, idea dan pendapat mereka dalam pembangunan negeri serta negara.

Pada PRU kali ini, BN Terengganu mempertaruhkan dua calon wanita iaitu Toh Puan Zaitun Mat Amin sebagai calon di DUN Bukit Payung manakala Zainun Abu Bakar sebagai calon di DUN Sura, yang bakal berhadapan dengan saingan tiga penjuru daripada PAS dan PKR.

"Sekiranya calon kita ini menang untuk kedua-dua DUN pada PRU14, mereka ini akan menjadi lambang kejayaan wanita di negeri ini. Hari ini, kita dapat lihat kehebatan wanita Terengganu dalam bidang keusahawanan contohnya selain rajin dan berdisiplin tinggi," katanya.

Beliau berkata setiap undi yang diberi untuk BN adalah pelaburan untuk masa hadapan negara dan negeri Terengganu, untuk generasi akan datang.

Melihat peluang calon wanita BN keseluruhannya, Shahrizat berkata penerimaan calon wanita di bawah BN adalah sangat baik berdasarkan pengalaman dan keikhlasan calon-calon berkhidmat untuk rakyat di kawasan yang ditandingi.

"Calon-calon wanita BN ini berpengalaman dan bagi calon yang muda, mereka membawa bersama kepakaran mereka ke dalam parti dan mereka amat serius menerima tawaran untuk menjadi wakil rakyat.

"(Semangat) mereka ini bukan bersifat acah-acah, main-main atau bermusim. Mereka mempunyai rekod prestasi yang baik dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, May 2, 2018

KAK NUN CALON SURA YANG BUKA KELAS TRENGKAS PERTAMA DI TERENGGANU

DUNGUN, 2 Mei (Bernama) -- Pada tahun 1970-an, kebanyakan remaja perempuan yang berusia antara 17 hingga 19 tahun sudahpun berkahwin dan memiliki keluarga sendiri, namun calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Datuk Zainun Abu Bakar memilih untuk membantu masyarakat.

Ramai yang tidak tahu bahawa Zainun atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Kak Nun adalah wanita pertama di Terengganu yang membuka kelas khas untuk kursus penulisan trengkas pada tahun 1974.

Wanita berusia 65 tahun itu berkata sebaik tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 1972, beliau mula mengikuti kursus tersebut di Institut Trengkas Kebangsaan yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata ketika itu, tidak ramai yang menyedari kepentingan menguasai penulisan trengkas ini untuk memudahkan laluan mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.

"Sebab itu, bila habis belajar, Kak Nun balik ke Dungun dan mulakan perniagaan pertama iaitu Institut Perdagangan Malaysia dengan fokus utama ialah mewujudkan kelas trengkas untuk membantu lebih ramai golongan muda menguasai kemahiran tersebut....kebetulan pula industri minyak dan gas baru hendak berkembang di Kerteh, Kemaman pada masa itu yang memerlukan ramai pekerja dengan kemahiran tertentu.

"Alhamdulillah, selama hampir 20 tahun kelas trengkas dibuka, Kak Nun mempunyai hampir 10,000 pelajar iaitu pelajar lelaki kebanyakannya menyertai sektor perbankan dan kerajaan manakala pelajar perempuan pula diterima masuk dalam bidang kesetiausahaan dan pentadbiran pejabat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain Zainun, BN Terengganu turut mempertaruhkan seorang lagi calon wanita di DUN Bukit Payong di Parlimen Marang iaitu Toh Puan Zaitun Mat Amin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau yang telah menabur bakti kepada masyarakat sejak 44 tahun lalu, tetap gigih mahu terus menyumbang kepada penduduk dan bertekad mahu terus membantu lebih ramai rakyat kawasan DUN Sura sekiranya menang dalam PRU14 ini.

"Kak Nun aktif berpolitik sejak berusia 19 tahun. Minat untuk membantu orang ramai, terutama yang dalam kesusahan sentiasa membara dalam jiwa apatah lagi yang membabitkan bidang pendidikan...sebab itu Kak Nun tidak kenakan bayaran kepada pelajar yang berasal daripada keluarga miskin. Harapan Kak Nun biarlah ilmu kemahiran itu menjadi saham akhirat untuk Kak Nun.

"Melalui Pergerakan Wanita UMNO Dungun, Kak Nun berpeluang merasai denyut nadi rakyat iaitu tumpuan kami ialah ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan keluarga miskin," katanya yang mempunyai Diploma Bahasa Inggeris (Komunikasi Perniagaan) dan Eksekutif Sains Kesetiausahaan dari Stamford College.

Bendahari Wanita UMNO Negeri, yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun itu berkata aktiviti turun padang mendekati masyarakat setiap kali ada kematian dan musibah atau hadir ke kenduri-kendara bukanlah satu perkara asing bagi dirinya.

"Ia memang rutin harian Kak Nun untuk terus berdamping dengan rakyat. Sebelum ini pun, beberapa PRU lepas, Kak Nun memang kerja kuat berkempen untuk memastikan kemenangan calon BN dan alhamdulillah kali ini, mereka yang lain termasuk pemimpin veteran pula menyokong Kak Nun untuk menang di Sura," katanya.

Isteri kepada kontraktor Abdullah Abdul Latif ini berkata antara manifestonya untuk pengundi DUN Sura ialah menyediakan lebih banyak perumahan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda selain menyediakan tiga kenderaan wakaf untuk kegunaan mereka.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai calon BN untuk merampas semula kerusi DUN Sura yang kini dikuasai pembangkang, ibu kepada tiga anak ini berkata gerak kerja yang diatur sejak menjadi Pegawai Penyelaras DUN itu pada 2015 memberi satu kelebihan buatnya.

"Kami sudah kenal pasti bacaan sikap lebih 24,761 pengundi dalam DUN Sura ini iaitu lebih 21,000 adalah pengundi Melayu, 2,000 pengundi Cina dan 89 pengundi India.

"Insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada BN kali ini berdasarkan pendekatan kita bersama pengundi yang telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 1, 2018

PH HANYA MAHU TEST MARKET

KUALA NERUS, 1 Mei (Benama)-- Penglibatan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Terengganu seolah-olah hanya untuk 'test market' dan tidak menampakkan kesungguhan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar itu berkata kehadiran calon PH yang terdiri daripada PKR, Amanah dan PPBM itu juga tidak mampu menyaingi calon BN yang telahpun dikenali rakyat.

"Rakyat boleh menilai sendiri sebenarnya kekuatan PH. Saya nampak di Terengganu ni PH hanya sekadar untuk mencuba dan kita tidak perlu bimbang atau khuatir.

"Kita yakin bahawa kerjaaan BN akan dapat dipertahankan untuk PRU14 ini sama ada di peringkat negeri atau kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Siswa Generasi Terengganu (Kad Gen-T) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aieni Mokhtar.

Ahmad Razif merupakan calon BN Seberang Takir dalam PRU ini berkata, setakat ini beliau berpuashati dengan persiapan jentera BN tetapi masih perlu diperbaiki dan diperkukuhkan.

Sementara itu, ketika melancarkan Kad Gen-T beliau berkata kad tersebut membolehkan mahasiswa mendapat potongan harga di mana-mana syarikat atau kedai milik kerajaan negeri termasuk hotel, antara lima peratus hingga 50 peratus.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 15 buah syarikat atau hotel telah menyediakan kemudahan potongan melalui kad Gen-T dan sebagai permulaan seramai 40,000 mahasiswa anak Terengganu diberi kad berkenaan.

"Untuk permulaan, setiap kad ini mengandungi RM100. Lepas ini kita akan dapatkan lagi kedai-kedai atau restoran seperti KFC atau kedai-kedai makanan ringan bagi menangani isu kenaikan harga kepada siswa," katanya.

-- BERNAMA