Sunday, October 15, 2017

SWASTA DIGALAK BUKA MAKMAL MADU KELULUT

KEMAMAN, 15 Okt (Bernama) -- Pihak swasta digalak membuka makmal atau pusat pemprosesan madu kelulut bagi menghasilkan madu berkualiti dan mampu menjana keuntungan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mempunyai kaedah dan kajian terbaik serta telah mencipta beberapa jenis mesin teknologi terkini untuk membantu mereka yang berminat.

"Mardi akan mainkan peranan kerana bukan semua mesin boleh dibeli secara terus, ada di antaranya dicipta oleh Mardi. Ia berharga antara RM10,000 hingga RM200,000. Saya galakkan ia turut dibangunkan oleh pihak swasta supaya lebih meluas."

"Jika hanya Mardi yang uruskan, kebetulan permintaan tinggi, ia dibimbangi berlaku ketidakcukupan tenaga kerja dan melambatkan urusan pengusaha dalam mendapatkan madu yang telah diproses," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Makmal Pemprosesan Madu Kelulut Kemaman, hari ini.

Makmal yang pertama kali dibangunkan itu menawarkan perkhidmatan pengeringan madu kelulut, pembungkusan dan analisis ringkas penentuan kualliti madu kelulut.

Kos bagi mewujudkan makmal tersebut kira-kira RM172,000 termasuk pembelian pelbagai peralatan dan mampu memproses 50 kilogram madu sehari.

No comments:

Post a Comment