Tuesday, October 3, 2017

KIT SIANG ANGGAP PEMBELA PARTI SEBAGAI BADUT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sekali lagi menunjukkan wajah sebenarnya dengan mempersendakan beliau dan menggelarkan beliau serta seorang lagi pemimpin UMNO dari Sabah sebagai "dua badut UMNO".


"Jika seseorang itu membela partinya dan mempertahankan parti daripada pembohongan, fitnah dan serangan akan menjadikan orang itu badut, maka setiap ahli politik di dunia akan menjadi badut bagi partinya sendiri," kata Salleh dalam catatan terkini blognya, sskeruak.blogspot.com.

Beliau memberi respons kepada tindakan Kit Siang yang menggelarkan beliau dan seorang lagi pemimpin UMNO Sabah iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai "dua badut UMNO."

Salleh berkata sejak kebelakangan ini Kit Siang dilihat gemar memberi gelaran nama dan menggunakan pelbagai jenis nama yang menghina terhadap mereka yang tidak sependapat dengannya.

"Baru dua hari lepas beliau mengunjungi pejabat SPRM dan menghamburkan puji-pujian namun hari ini beliau melukakan hati mereka dengan analogi 'tiga monyet' dan meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifi Ahmad, serta para pegawai kanan SPRM supaya mengikuti kursus bahasa Inggeris.

"Jadi, apabila beliau rasa beliau boleh menggunakan SPRM untuk menyakiti UMNO, SPRM adalah sahabatnya dan apabila mereka tidak lagi berguna kepada DAP, mereka adalah 'tiga ekor monyet'," katanya.

Salleh turut bertanya sama ada DAP tidak memecat mana-mana anggota yang gagal akur dengan kehendak parti.

"Apabila orang menyokong parti mereka, anda menggelarkan mereka badut dan apabila mereka tidak akur dengan kehendak parti, anda memanggil mereka pengkhianat dan memecat mereka.

"Kit Siang perlu menyatakan pendiriannya tentang bagaimana beliau mengharapkan pemimpin parti menunjukkan kesetiaan. Bukankah semua pemimpin DAP yang tidak mempersetujui bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi berdiam diri dan tidak berani menentang tindakan itu juga dianggap badut?" katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment