Wednesday, October 4, 2017

NENEK 73 TAHUN GIGIH MAHU LESEN MEMANDU

KUALA NERUS, 4 Okt (Bernama) -- Walaupun berusia 73 tahun, Fatimah Hassan kelihatan bersungguh-sungguh melalui ujian pemanduan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Pengajarnya Roslan Mansur, 60, turut tidak senang duduk sepanjang anak muridnya itu melalui ujian tersebut.

Namun apakan daya, Fatimah akhirnya diisytihar gagal dalam ujian litar meskipun berjaya ketika ujian jalan raya.

Ketika ditemui kemudiannya, beliau berkata beliau bertekad mahu mengulangi ujiannya minggu depan.

Beliau memberitahu Bernama beliau begitu bertekad mahu mendapat lesen memandu bagi memudahkan beliau bergerak ke sana ke mari.

"Keinginan untuk mengambil lesen memandu mula timbul apabila saya mempunyai masalah untuk bergerak ke klinik setiap bulan bagi pemeriksaan kesihatan yang memerlukan saya sentiasa menerima rawatan secara berkala kerana mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Anak-anak duduk jauh dan semua mereka bekerja menyebabkan mereka susah untuk membawa saya ke klinik atau masjid. Jadi kalau saya mempunyai lesen sendiri, mudah untuk saya bergerak tanpa perlu bantuan sesiapa," katanya yang sebelum ini pernah memiliki lesen memandu sejak 1977 tetapi tamat tempoh pada 2010.

Fatimah memberitahu beliau langsung tidak memandu sejak suaminya meninggal pada 2014.

Sementara itu Roslan berkata beliau terpaksa menukar teknik pengajarannya bagi membolehkan Fatimah memahaminya dengan lebih mudah.

"Saya perlu mengajar dan menegur kesilapannya dengan lembut seperti melayan emak sendiri kerana disebabkan faktor umurnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment