Friday, October 20, 2017

KJ PERLU BELAJAR DARI KEBERANIAN NAZRI AZIZ BERDEPAN DENGAN WARTAWAN



KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau mempunyai hak untuk menentukan siapa wartawan yang boleh menghadiri majlisnya.

Mengulas keputusannya, mengarahkan wartawan Malaysiakini beredar dari program MyCorps@Asia Selatan di Kuala Lumpur, semalam, beliau berkata tindakan itu bertujuan memastikan majlis sidang media berjalan lancar.

“Saya berbuat demikian selepas mendapati portal berita itu sering kali melaporkan kenyataan saya secara tidak tepat dan memetik bahagian tertentu sahaja.

“Saya tiada masalah pun dengan portal lain seperti Free Malaysia Today atau Malaysian Insight kerana mereka boleh tulis apa saja dan saya tidak akan meminta portal berkenaan disekat aksesnya,” katanya yang dipetik oleh portal majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Arahan supaya wartawan Malaysiakini beredar itu dikeluarkan selepas pegawai khas Khairy memohon soalan yang mahu diajukan daripada wartawan sebelum sidang akhbar diadakan.

Sejurus kemudian, pegawai itu datang semula ke meja wartawan dan meminta Malaysiakini meninggalkan tempat itu.

Soalan yang ingin diajukan Malaysiakini kepada Khairy adalah seperti berikut:

“Adakah Pemuda Umno akan menggantung dua pemimpin Pemuda Umno Sabah yang ditangkap oleh SPRM baru-baru ini, sementara menunggu siasatan;

“Pandangannya terhadap dakwaan kenyataan anti-Bugis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.”

Portal BN itu turut memetik membidas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng serta mencadangkan kepada mereka untuk mencermin diri sebelum melabelkan orang lain ‘double standard’.

Lim sebelum ini menyifatkan tindakan Khairy mengarahkan wartawan untuk beredar sebagai mengejutkan tetapi ketua pemuda Umno itu berkata anak pemimpin veteran DAP itu, Lim Guan Eng juga melakukan amalan sama.

“Suatu ketika dulu kita sering dengar ada wartawan Utusan Malaysia dan TV3 tidak dibenarkan menghadiri sidang media di DUN Pulau Pinang. Jadi, sekarang siapa sebenarnya yang ‘double standard’ (pilih bulu).

“Memang jelas bahawa saya memang pilih bulu tetapi saya arah pegawai saya meminta wartawan itu meninggalkan majlis secara terhormat dan sopan santun.

“Bukan seperti Kit Siang yang menjerit kepada wakil TV3 dan Utusan Malaysia yang dia tidak suka,” katanya yang dipetik oleh portal majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional.


Ulasan saya, KJ perlu belajar dari keberanian Menteri pelancongan, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz yang berani berhadapan dengan semua wartawan termasuk Malaysiakini.


Nazri tak pernah menyekat wartawan bertanya soalan kerana beliau berani menjawab soalan yang sensitif. Memang hak KJ memilih soalan tetapi menyuruh wartawan Malaysiakini keluar dari majlis adalah satu tindakan yang tidak matang.


Beliau sepatutnya bersikap lebih terbuka dan meraikan perbezaan pendapat. Setiap soalan perlu dijawab supaya rakyat tahu dengan jawapannya sedangkan dua soalan itu bukannya sensitif sangat.

Dalam soal ini, Nazri Aziz lebih gentleman berhadapan dengan wartawan yang bertanya soalan sensitif.

No comments:

Post a Comment