Thursday, October 19, 2017
MAHATHIR DAKWA BUGIS BERHIMPUN DEPAN PEJABATNYA DAPAT DUIT
KEMAMAN 19 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamed menempelak kumpulan masyarakat keturunan Bugis yang berhimpun di pekarangan pejabatnya semalam dengan menyifatkan mereka sekadar mengikut telunjuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yakin mereka mendapat habuan untuk berbuat demikian bagi memberi gambaran kononnya masyarakat tersebut marah dengan kenyataannya yang dianggap menghina mereka.
Beliau bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan secara umum berhubung dakwaan kononnya keseluruhan orang Bugis berketurunan lanun.
“Orang Bugis ini (yang berhimpun di hadapan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya), ini saya yakin dapat duit, buat demonstrasi, kononnya saya kata orang Bugis lanun.
“Orang Bugis tak semua lanun. Raja kita juga ada keturunan Bugis. Saya tak kata raja kita lanun,” ujarnya sambil merujuk kecamannya yang sebenar hanya terarah kepada Najib.
Beliau menyatakan demikian dalam ceramahnya di bandar Cukai di sini malam tadi.
Semalam, lebih 200 masyarakat Bugis berhimpun lebih setengah jam di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana dengan sebilangan daripada mereka membawa sepanduk antaranya tertulis ‘Kami bukan lanun’ dan ‘Mahathir berasal dari mana’ selain melaungkan ‘Kami bukan lanun’.
Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tasman Matto (gambar) dilaporkan mewakili lebih 70,000 ahli persatuan tersebut di seluruh negara mendesak Dr. Mahathir menarik semula kenyataannya.
“Kita juga akan membuat laporan polis di seluruh negara kalau Dr. Mahathir enggan menarik balik kenyataan itu kerana ia ternyata telah mengguris perasaan masyarakat Bugis di negara ini yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat di Malaysia sejak sekian lama,” ujar Tasman.
Dr. Mahathir dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya baru-baru ini menyebut Najib mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan Dr. Mahathir itu telah mendatangkan kemarahan masyarakat Bugis seluruh negara dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis kerana dikatakan menghina mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment