Wednesday, October 25, 2017

CIKGU GHAZALI MOHD NOR DALAM KENANGAN

DUNGUN: Pagi semalam jam 7.16 pagi saya terima panggilan telefon dari abang dua pupu, Azik Mohd Nor yang mengatakan adiknya Cikgu Ghazali Mohd Nor telah meninggal dunia di rumahnya di Kubang Miang, Pak Sabah, Dungun.

Arwah yang berusia 64 tahun adalah Pengerusi Pekida Dungun dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Serai. Beliau yang rapat dengan saya sejak kecil adalah cucu Cikgu Haji Yusuf Kemasik yang mewarisi ilmu persilatan dari datuknya Cikgu Haji Yusuf yang terkenal pada tahun 1970an. Cikgu Haji Yusuf meninggal di Kemasik pada tahun 1974.

Arwah Abang Li bukan sahaja mewarisi ilmu persilatan dari Cikgu Haji Yusuf malah mewarisi ilmu berubat orang sakit dari jarak jauh.

Ketika saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di Kuala Terengganu dari tahun 1997 hingga 2000 arwah Cikgu Ghazali selalu singgah di pejabat saya. Dah tiga tahun kami tak berjumpa. Setiap kali pergi ke rumahnya di Kubang Miang tak pernah arwah ada di rumah.

Kebetulan ketika panggilan telefon diterima pagi semalam saya dalam perjalanan dari Semenyih ke Kuala Berang menguruskan jualan tanah di Kuala Embong kepada menantu saya. Bila selesai urusan di Pejabat Tanah Hulu Terengganu pada jam 3 petang, kami tiga beradik dengan menantu bergegas ke rumah arwah di Dungun.

Kami sampai ketika jenazahnya sedang dicium oleh anak cucunya. Saya sempat melihat wajah arwah Abang Li buat kali terakhir. Beliau yang meninggal pada jam 6 pagi semalam dalam tidur lambat dikebumikan selepas asar kerana menunggu anaknya yang duduk di Pulau Pinang sampai.

Jenazahnya dibawa ke masjid Pak Sabah dan ia disolatkan selepas solat asar berjemaah dan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Buaya, Kuala Dungun. Menjelang PRU 1999, beliau turut melobi jadi calon BN bagi DUN Bukit Besi kerana beliau banyak mengajar dalam DUN tersebut dan menjadi guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Dendang dalam DUN tersebut. Tetapi beliau tiada rezeki jadi YB sebaliknya beliau dikenali sebagai Pengerusi Pekida Daerah Dungun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah buat arwah Abang Li.

No comments:

Post a Comment