Monday, October 16, 2017

GNN SELAMA TIGA HARI CATAT JUALAN RM500,000

KUALA TERENGGANU, 16 Okt (Bernama) -- Penganjuran Gelombang Nelayan Nasional di Kuala Kerteh, Kemaman selama tiga hari bermula Khamis lepas berjaya merekodkan jualan sebanyak RM500,000.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Badrul Hisham Mohd berkata jumlah itu merangkumi jualan produk proses asas tani, empayar makanan kendera saji, buah-buahan dan hasil laut segar.

"Program julung kali diadakan ini juga berjaya mengumpulkan sebanyak 30,000 nelayan dan anggota keluarga mereka dari seluruh negara bagi menyatakan kebanggaan mereka dalam memainkan peranan membekalkan makanan terutama sumber protein untuk negara.

"Ribuan pengunjung turut hadir menyaksikan pelbagai aktiviti rutin harian nelayan sepanjang GNN 2017 berlangsung dan orang ramai kini lebih memahami keperitan dan pengorbanan nelayan dalam menyediakan sumber hasil laut selama ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Mohamad Zawahid Shamsuddin berkata GNN 2017 adalah satu pesta dan perayaan yang disambut gembira oleh nelayan di seluruh negara.

"Idea penganjuran GNN 2017 datangnya daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek susulan kejayaan Gelombang Tani Nasional awal tahun ini.

"Persediaan mula dibuat pada Ogos yang mana kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada lima persatuan nelayan kawasan (PNK) iaitu Dungun, Paka, Kemasik, Kijal dan Kemaman," katanya kepada Bernama.

Pada hari perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Sabtu lepas, sebanyak 768 bot nelayan terlibat dalam GNN 2017 termasuk 21 pengusaha bot laut dalam.

Beliau berkata GNN 2017 adalah satu permulaan terbaik dalam membela nasib golongan nelayan dan penganjuran tahunan GNN akan memberi lebih banyak manfaat untuk mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment