KEMAMAN: Pada jam 11.27 pagi Khamis saya menerima whatsapp dari Tengku Azman Tengku Hashim yang mengatakan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman, Haji Yahya Mohamad, 61, baru saja meninggal dunia di Hospital KPJ Kuantan.
Saya terus buat keputusan untuk balik ke Kemaman kerana arwah adalah kawan baik saya. Saya terpaksa ponteng menghadiri miting dengan KK petang ini di Amoda 88, Loke Yew Kuala Lumpur. Jam 2 petang baru saya bertolak ke Chukai.
Saya sampai di Jabur Kubur pada pukul 6.45 petang. Jenazahnya sedang disolatkan di surau tepi kubur. Saya sempat mengusung kerandanya ke kubur di tengah tanah perkuburan itu. Ramai kawan kawan beliau yang hadir termasuk Tuan Kecil Tuan Tengah, Haji Yahya Mamat, Talaha, Man Cincin, Major (B) Mohamad Awang, Sarjan Mat, Tengku Azman Tengku Hashim, Aziz Mydin, Haji Azmi Karim dan Ir Azmi.
Saya mengenali arwah ketika aktif dalam politik pada tahun 1995. Ketika itu beliau dilantik Ketua Penerangan Umno Bahagian Kemaman manakala saya dilantik Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kemaman.
Sejak itu kami berkawan. Setiap kali arwah datang ke KL arwah cari saya. Setiap kali saya balik ke Kemaman saya cari arwah minum bersamanya dan bercakap politik dengannya.
Beliau disebut sebut sebagai bakal calon DUN Kijal jika Datuk Seri Ahmad Said tidak bertanding selain dari Cikgu Roshaili, Mohamad Fama dan Kamaruddin Ali.
Setiap kali saya balik ke Kemaman saya minum dengannya. Kali terakhir saya minum dengannya di warung depan perpustakaan daerah pada hari Ahad lalu selama dua jam bersembang politik berdua. Tak nampak pun tanda tanda arwah mahu meninggal dunia.
Sebab itu saya terkejut apabila Tengku Azman whatsapp saya arwah baru meninggal. Saya menangis kerana saya kehilangan seorang sahabat yang baik.
Beliau yang juga ahli lembaga pengarah Tati Safety Sdn Bhd bukan sahaja aktif dalam politik malah aktif dalam koperasi sebagai Bendahari Koperasi Pembangunan Kemaman (KPD) dan sebagai Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Daerahn Kemaman. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.
No comments:
Post a Comment