Wednesday, March 1, 2017

YAYASAN TERENGGANU TETAP TAJA PELAJAR KE LUAR NEGARA WALAUPUN KEKANGAN EKONOMI

KUALA TERENGGANU, 1 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) memperuntuk lebih RM29.7 juta untuk menaja 468 pelajar Terengganu ke universiti luar negara termasuk lima yang akan melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Jerman bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penajaan itu diteruskan demi masa depan rakyat meskipun kerajaan negeri berdepan kekangan ekonomi.

Beliau berkata penajaan diberi keutamaan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi.

"Justeru adalah tidak benar dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan negeri sudah menghentikan penajaan pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara kerana hakikatnya program ini tetap diteruskan, cuma jumlahnya berkurangan sedikit daripada kebiasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis penyerahan wang pendahuluan diri kepada lima pelajar tajaan YT dalam bidang kejuruteraan untuk ke Jerman tahun ini.

Lima pelajar berkenaan ialah Ahmad Azharul Azri Amri, Ahmad Nizam Najmi Abd Wahab, Amerul Atiq Yahaya, Abdul Latif Sa'id dan Mahirah Hanim Abdul Rahim yang menerima wang pendahuluan RM36,411.95 seorang.

Ahmad Azharul Azri dan Mahirah Hanim akan melanjutkan pengajian ke Universiti Sprachzentral Leipzig, manakala Ahmad Nizam Najmi, Amerul Atiq dan Abdul Latif masing-masing ke Weilhem, Kassel dan Dusseldorf.

Ahmad Razif berkata setakat Mac ini seramai 17 pelajar ditaja YT untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan aeroangkasa ke universiti terkemuka di Jerman dan United Kingdom.

Mahirah Hanim, 20, mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri di atas penajaan berkenaan.

"Bukan mudah untuk saya dan rakan-rakan meneruskan pengajian ke Jerman kerana program A-Level yang dijalani adalah sangat sukar tapi Alhamdulillah kami semua berjaya melepasi peringkat itu.

"Insya-Allah, kami akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan menghampakan keluarga, ibu bapa yang banyak memberi sokongan kepada kami dan berharap kami dapat berbakti kepada negeri Terengganu apabila sudah berjaya pada masa depan," kata anak sulung dari empat beradik ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment