Tuesday, March 7, 2017

TUJUH PELAJAR UMT CEDERA SELEPAS VAN REMPUH LEMBU

DUNGUN, 7 Mac (Bernama) -- Tujuh pelajar dan seorang kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) cedera selepas van mereka merempuh seekor lembu di kilometer 336.9, LPT2 Paka-Kuala Dungun di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu pemandu van Nissan Urvan terbabit, Jaafar Mamat, 55, cedera di kaki dan dada manakala dua pelajar iaitu Nuraini Omar Radzi, 22, patah kaki kanan dan Zulizah Ochi, 22, cedera di kepala dan dada.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Lima lagi pelajar terbabit ialah Muhammad Bahri Abd Talib, 23, Nur Hamiza Mohd Alias, 22, Nur Hidayah Azis, 21, Nasorriah Nasir, 29, dan Wan Nur Hanani Wan Md Yusof, 21, yang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Dungun.

Akibat rempuhan ke atas lembu itu, dilaporkan van yang dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment