KUALA TERENGGANU, 25 Mac (Bernama) -- Polis Terengganu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan individu yang menyebarkan berita palsu kes rogol dan cabul di Pulau Perhentian dan Pulau Redang.
Menyifatkan berita palsu itu sebagai tuduhan liar, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Idris Abdullah berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara tersebut dilakukan oleh mereka yang mahu mensabotaj Tahun Melawat Terengganu 2017.
"Ia mula tersebar apabila pulau-pulau peranginan di Terengganu dibuka semula kepada pelancong setelah lama ditutup sejak akhir tahun lalu berikutan musim tengkujuh.
"Perbuatan ini dikhuatiri boleh menjejaskan sektor pelancongan di Terengganu kerana butiran dalam laporan itu agak menakutkan bagi sesiapa yang membacanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Polis ke-210 di sini Sabtu.
Idris mengulangi bahawa siasatan polis mendapati berita yang disebarkan itu tidak berlaku.
Beliau mengulas perkongsian sebuah portal berita yang memetik 'pendedahan' individu menggunakan nama 'Cheryl Wong' kononnya berlaku kes rogol dan cabul yang berleluasa di pulau peranginan tersebut selain penggunaan ilmu hitam oleh pemandu pelancong.
Mengulas lanjut, Idris berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, polis hanya menerima satu laporan kes cabul di Pulau Kapas serta satu kes rogol di Pulau Perhentian yang berlaku tahun lepas.
"Namun, modus operandinya tidak sama kerana mangsa tidak dicalit dengan minyak dagu atau losyen seperti yang tersebar dalam laporan itu, sebaliknya kes rogol berlaku apabila mangsa yang mabuk dirogol pekerja pusat hiburan manakala kes cabul pula berlaku ketika aktiviti snorkeling di perairan Pulau Kapas," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta pelancong wanita agar tidak bimbangkan keselamatan mereka jika mahu ke pulau-pulau peranginan di Terengganu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment