Thursday, March 30, 2017

SELEPAS 12 TAHUN KERAJAAN PERSEKUTUAN BARU BAYAR RM10 JUTA PAMPASAN KUSZA

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Jumlah tuntutan pampasan dari kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ialah sebanyak RM183,102,298.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur & Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata setakat ini, kerajaan negeri sudah menerima bayaran sebanyak RM10 juta.

"Memang ada jadual pembayaran itu di mana kerajaan negeri dijangka menerima RM61 juta pada tahun ini manakala bakinya sebanyak RM112, 02,298 lagi akan diterima pada 2018," katanya.

Ir Rosli (BN-Kemasik) berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Teluk Pasu) dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri DUN) Terengganu semalam.

Terdahulu, menjawab soalan Hanafiah Mat (PAS-Chukai) berkenaan status terkini projek pembinaan pasar dan Terminal Bas Chukai, Rosli berkata Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah membuat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 melalui Rolling Plan Kedua.

Beliau berkata pelan asal projek pembinaan pasar dan terminal bas itu pada tahun 2004 ialah sebanyak RM50 juta dan pengambilan balik tanah juga telah selesai dilakukan pada waktu itu.

"Namun berlaku sedikit pertukaran di antara Kementerian Pengangkutan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas itu... disebabkan permohonan terlalu besar (RM50 juta), reka bentuk saiz projek itu terpaksa diminimumkan.

"Saya tegaskan di sini projek itu tetap menjadi keutamaan kerajaan selaras dengan status Chukai sebagai pusat bandar di Kemaman yang berkembang pesat, menjadi tumpuan pelabur dalam banyak industri," katanya.

Menjawab soalan tambahan Hanafiah sama ada kerajaan negeri tahu terdapat pembangunan perumahan berhampiran tapak projek seluas 5.2 hektar itu, Rosli berkata ia dalam pengetahuan MPK.

"Jadi sekarang kita menunggu peruntukan KPKT dan pemaju yang mahu membangunkan projek perniagaan komersial kelas A berhampiran tapak pasar dan terminal bas Chukai itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment