Monday, March 6, 2017

PROJEK PEMULIHARAAN UMT BERJAYA TINGKATKAN JUMLAH PENDARATAN PENYU

DUNGUN, 5 Mac (Bernama) -- Pantai peranginan di Terengganu termasuk Rantau Abang di sini pernah mencatat pendaratan penyu belimbing sebanyak 10,000 sarang pada tahun 1950-an.

Ketika itu, Rantau Abang begitu meriah dan padat dengan kunjungan ribuan pengunjung namun ia semakin mencatat penurunan ekoran pendaratan penyu kadang-kala kurang daripada 50 sarang.

Penurunan drastik pada awal tahun 1990-an itu telah mendorong Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memulakan usaha penyelidikan dan pemuliharaan penyu yang menjadi ikon negeri.

Projek yang dijalankan sejak 24 tahun lalu itu diterajui Unit Penyelidikan Penyu UMT (SEATRU) dengan stesen penyelidikan yang terletak di Chagar Hutang, Pulau Redang.

Ketua Penyelidik SEATRU, Profesor Madya Dr Juanita Joseph berkata ketika projek itu dimulakan pada tahun 1993, Pulau Redang merekodkan kurang daripada 500 sarang dengan anggaran 100 ibu penyu sahaja mendarat di pulau itu.

"Ketika itu, telur penyu perlu dibeli daripada pemajak telur penyu berlesen dengan harga RM120 untuk setiap sarang sama ada penyu agar atau penyu karah.

"Jumlah sarang yang dapat dibeli untuk projek pemuliharaan penyu UMT ini agak terhad menggunakan dana yang ada, namun ia tidak menjadi penghalang untuk penyelidik meneruskan usaha mereka dalam misi memastikan projek pemuliharaan ini berjaya," katanya ketika ditemui Bernama.

Pada tahun 2005, kerajaan negeri Terengganu telah mengisytiharkan tiga pantai utama di Pulau Redang sebagai santuari penyu iaitu pantai Chagar Hutang, pantai Mak Simpan dan pantai Mak Kepit.

Serentak dengan pengisytiharan itu, pengutipan telur penyu untuk dijual telah dimansuhkan dan pengeraman 100 peratus telur penyu yang ada di Pulau Redang dapat dilakukan.

Dr Juanita berkata pengeraman dibuat secara semula jadi yang mana ancaman telur dan anak penyu yang baru menetas dikawal sepenuhnya melalui penyelidikan rapi oleh UMT dan teknik pemuliharaan yang mengikut prosedur saintifik.

"Hasil kerja keras dan usaha penyelidik SEATRU terbukti berjaya dengan cemerlang apabila data persarangan penyu menunjukkan populasi haiwan itu di Pulau Redang mula meningkat pada tahun 2010 iaitu 18 tahun selepas kerja menyelidik dijalankan.

"Paling menggembirakan apabila buat kali pertama, persarangan penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang mencapai jumlah 1,000 sarang. Ia terus meningkat hampir tiga kali ganda iaitu 1,500 sarang pada tahun lepas berbanding hanya 500 sarang ketika projek ini dimulakan," katanya.

Dalam tempoh 24 tahun penyelidikan itu berjalan, UMT telah melindungi lebih 13,000 sarang penyu dan telah berjaya melepaskan sejuta anak penyu ke laut.

Ditanya sama ada kejayaan projek pemuliharaan dan penyelidikan penyu UMT itu mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan Rantau Abang sebagai lokasi pendaratan terkenal penyu belimbing di Terengganu, Dr Juanita berkata perkara itu agar sukar dan mustahil berlaku.

"Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa penyu belimbing di Rantau Abang hampir pupus sepenuhnya kerana sarang terakhir direkodkan ialah pada tahun 2010 dan semua telur tidak menetas sejak tahun 2000, mungkin disebabkan tiada atau kurang penyu jantan.

"Ketika ini, penyu belimbing banyak terdapat di bahagian Lautan Atlantik di sekitar perairan Amerika Syarikat, Mexico dan French Guiana manakala di bahagian Lautan Pasifik pula, jumlahnya juga semakin menurun," ujarnya.

Tambah Dr Juanita setakat ini, hanya 10 peratus telur berjaya dieram namun jumlah itu sangat kecil dan tidak mencukupi untuk masa depan dan pihaknya akan berusaha untuk memastikan 100 peratus telur berjaya dieram kerana kadar kematian anak penyu sangat tinggi.

Malah hanya satu daripada 1,000 anak penyu yang dilepaskan ke laut berjaya hidup dan kembali semula ke pantai asalnya untuk menetas.

"Tahap matang penyu ialah antara 20 hingga 50 tahun dan kerana lambat matang, kebanyakan penyu akan mati. Sebab itu kita perlu melepaskan lebih banyak anak penyu ke laut hasil projek pemuliharaan yang dilakukan.

"Peluang untuk penyu belimbing kembali ke Rantau Abang sangat tipis namun untuk penyu agar, harapan itu masih ada. Apa yang boleh kita lakukan ialah meneruskan pemuliharaan ini semaksimum mungkin agar kenangan sejarah penyu di Terengganu mampu ditatap generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment