HULU TERENGGANU, 5 Mac (Bernama) -- Kemeriahan 'Visit Beautiful Terengganu 2017' di sekitar Tasik Kenyir mula terasa dengan pembukaan semula air terjun Lasir kepada orang ramai bermula awal minggu ini.
Tinjauan Bernama di Tasik Kenyir hari ini mendapati beberapa rumah bot mula dipenuhi pelancong yang ingin bercuti ke air terjun terkenal itu setelah lama ditutup sejak musim tengkujuh akhir Disember tahun lalu.
Seorang kakitangan swasta, Alias Shah Embong, 43, berkata beliau mengambil peluang datang ke air terjun itu sempena cuti am ulang tahun pertabalan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.
"Kebetulan, sepupu datang dari Kedah untuk bercuti ke Terengganu bermula Jumaat lalu, jadi saya pelawa mereka sekeluarga datang ke sini untuk melihat keindahan Tasik Kenyir.
"Pengusaha rumah bot mencadangkan kami ke air terjun Sungai Lasir yang boleh dikunjungi sekarang, memang berbaloi ke sini sebab air terjunnya sangat cantik dan belum tercemar, walaupun mengambil masa hampir dua jam perjalanan dari jeti Pengkalan Gawi, kami semua sangat seronok dapat bermandi-manda di sini," katanya kepada Bernama.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Nuzul Hidayat Sulaiman, 25, berkata keindahan air terjun Lasir yang masih belum terusik menggamit beliau dan keluarga untuk datang berkunjung ke situ meskipun menetap di Johor Bahru.
"Saya selalu dengar kawan-kawan yang berasal dari Terengganu berkata tidak lengkap kunjungan ke Tasik Kenyir jika tidak ke air terjun ini.
"Ternyata keindahan air terjun ini seindah khabar dan rupanya. Hilang penat lelah saya dan keluarga memandu jauh kira-kira 500 kilometer dari Johor," katanya.
Sementara itu pemilik rumah bot Arowana Kenyir, Md Zaki A Bakar berkata ini adalah pengunjung terawal diterima oleh pihaknya selepas berakhirnya musim tengkujuh.
"Ketika musim tengkujuh, kami turut menerima tempahan tetapi lebih kepada kaki pancing kerana masa itu musim ikan banyak...tempahan ada tapi paras air meningkat menyebabkan ia tidak selamat untuk aktiviti di air terjun terutamanya," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment