Sunday, January 29, 2017

PEGAWAI PERIKANAN LEMAS DI PANTAI CHENDERING

KUALA TERENGGANU, 29 Jan (Bernama) -- Seorang Pegawai Jabatan Perikanan Terengganu dikhuatiri lemas dalam kejadian kira-kira 10 pagi tadi di Pantai Pandak, Chendering, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata Mohd Farid Abdullah, 45, dipercayai mandi seorang diri di pantai itu.

Seorang individu berusia 30 tahun yang berada berdekatan pantai berkenaan melihat mangsa terkapai-kapai tidak jauh dari pantai dan memaklumkan kejadian kepada pihak polis, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.
Idris berkata sebuah motosikal jenis Kawasaki Scrambler dan sepasang selipar ditemukan kira-kira 500 meter dari pesisir pantai dan isteri mangsa mengesahkan kedua-duanya milik mangsa.

Difahamkan mangsa sering berkunjung ke pantai itu untuk mandi dan mangsa juga bercadang membawa isterinya mandi di pantai berkenaan esok.

Beliau berkata operasi mencari dan mengesan mangsa yang melibatkan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela diaktifkan pada 2 petang tadi.

Beliau berkata operasi pencarian dilakukan merangkumi jarak satu hingga dua kilometer di kawasan pantai dan permukaan laut.

"Sehingga kini pasukan belum menemukan sebarang petunjuk dan operasi diteruskan sekalipun berdepan dengan ombak besar dan laut bergelora," katanya.

-- BERNAMA


Saturday, January 28, 2017

KK RAIKAN PERTUKARAN ROSMAN KE UPEN

KEMAMAN: Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan terharu dengan jamuan perpisahan yang diadakan oeh grup whatsapp Kemamang Kite (KK).

Katanya, walaupun beliau akan bertukar ke Kuala Terengganu pada 1 Februari ini tetapi beliau tidak akan melupakan daerah Kemaman yang sudah sebati dengan beliau.

"Saya berharap persahabatan saya dengan ahli-ahli KK terus terjalin walaupun saya sudah bertukar jawatan,"katanya ketika berucap di majlis perpisahan beliau yang dianjurkan oleh grup whatsapp KK. Rosman dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya admin KK, Mat Dalam Awang menyampaikan salam penaung KK, Datuk Mohamed Rahim Husin yang tidak dapat hadiri majlis tersebut kerana sibuk dengan urusan menunaikan umrah di Mekah.

Mat Dalam berharap Rosman dapat membantu ahli-ahli KK jika mereka berurusan dengan UPEN kelak.

"KK menghargai sumbangan beliau ketika bertugas sebagai Pegawai Daerah Kemaman yang mana beliau banyak membantu KK," katanya lagi.

Thursday, January 26, 2017

APM TERENGGANU TEMPATKAN PARAMEDIK DAN AMBULAN DI LPT2

KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu menempatkan pasukan paramedik dan ambulans di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Lt Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata Op LPT2 itu, yang melibatkan 20 petugas paramedik, dijalankan dalam dua fasa dengan fasa pertama bermula hari ini hingga 29 Jan dan fasa kedua bermula 2 Feb hingga 5 Feb.

"Kita akan tempatkan pasukan paramedik dan ambulans di susur keluar Tol Bukit Besi, Dungun dan susur keluar Tol Cheneh, Kemaman bagi membantu mereka yang berada dalam kecemasan dan kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Op LPT2, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menjalankan Op Selamat dan Op Bantu.

"Op Selamat yang pertama kali diadakan di LPT2 melibatkan kerjasama pihak polis dan bomba di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing dan Ajil," katanya.

Op Bantu pula dijalankan di jalan negeri dan jalan persekutuan bagi memberi bantuan kepada pengguna ketika kecemasan seperti pengguna mengalami masalah kekurangan petrol atau teknikal.

-- BERNAMA

Wednesday, January 25, 2017

DUN BANDAR KEKALKAN CALON MCA

KUALA TERENGGANU, 25 Jan (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar kekal menjadi milik MCA pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Ini adalah komitmen Barisan Nasional (BN) bahawa kerusi DUN Bandar ini kekal pada MCA," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di sekitar Kuala Nerus di sini semalam.

Tuesday, January 24, 2017

TERENGGANU SEDIAKAN RM3 JUTA DANA RAYA CINA

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri menyediakan peruntukan hampir RM3 juta tahun ini sebagai bantuan khas kepada kaum Cina di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 3,200 penerima adalah mereka yang tinggal di Kuala Terengganu dan layak memohon termasuklah warga emas, golongan miskin dan ibu tunggal.

"Dana raya Cina ini adalah sepertimana juga pada perayaan Deepavali dan perayaan lain, kerajaan negeri juga membuka peluang kepada anak-anak perantau yang mengundi di negeri Terengganu.

"Ada antaranya yang tinggal di Lembah Klang, kita masih buka peluang kepada mereka yang belum mendapat dana-dana yang disediakan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga emas yang tinggal di sekitar kampung Cina, di sini semalam.


Mengikut rekod, Terengganu mempunyai kira-kira 6,500 orang kaum itu dan dana yang diperuntukkan ialah sebanyak RM400 setiap seorang bagi kategori warga emas, miskin dan orang kurang upaya manakala RM300 bagi kategori lain yang layak.

Sementara itu, kampung Cina yang majoriti penduduknya adalah kaum Cina merupakan antara penempatan bersejarah di sini dan mempunyai 25 warga emas berusia 80 sehingga 104 tahun.

Antaranya Ting Heng Jin, 104, yang pernah bekerja sebagai tukang dobi di Istana Badariah ketika pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Selain itu, Chang Yep Koon, 100, seorang peniaga; Wee Kwee Siew, 95, suri rumah dan Wee Beng Chin, 90, pesara guru, masih menetap di kampung itu.

-- BERNAMA

Monday, January 23, 2017

KEMAMAN BUKA PUSAT PEMINDAHAN BANJIR UNTUK PESAKIT BERISIKO TINGGI

KEMAMAN, 23 Jan (Bernama) -- Pengurusan Bencana Daerah Kemaman menubuhkan Pusat Pemindahan Transit Khas Mangsa Banjir untuk menempatkan mangsa banjir yang berisiko tinggi.

Pengerusinya, Rosman Roslan berkata pusat pemindahan khas yang dibuka di Dewan Sekolah Menengah Agama Al Falah, Chukai itu dapat menempatkan sekurang-kurangnya 30 pesakit dalam satu-satu masa.

"Pusat ini kita buka sejak Sabtu lalu untuk menempatkan mangsa banjir yang juga pesakit berisiko tinggi dan memerlukan rawatan seperti ibu mengandung, ibu berpantang dan pesakit yang lumpuh.

"Pusat ini dilengkai dengan tilam, katil, meja serta kerusi dan konsepnya seperti bilik rawatan di hospital," katanya kepada Bernama di sini semalam.


Rosman berkata pusat tersebut juga dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan juga agensi lain yang turut terlibat dalam pengurusan bencana daerah tersebut.

"Di sini, doktor dan jururawat akan datang untuk merawat pesakit dan pusat ini juga sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada pesakit dan mengurangkan kesesakan di hospital.

"Kita telah kenal pasti pesakit yang juga mangsa banjir yang terlibat lebih awal dan mereka juga dipindahkan lebih awal sebelum air naik mendadak di kawasan rumah mereka bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan," katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat itu merupakan transformasi menerusi Model Kemaman Siapsiaga dalam memastikan mangsa banjir khususnya pesakit berada dalam keadaan selesa di pusat pemindahan.

Seorang mangsa banjir, Hasnida Hashim, 32, dari Kampung Seberang Tayor yang baru sahaja melahirkan anak 10 hari lalu bersyukur apabila ditempatkan di pusat yang sangat selesa untuk ibu berpantang sepertinya.

"Rumah saya tidak dinaiki air, tetapi kawasan kampung saya dinaiki air dan memang tak ada jalan nak keluar kalau banjir, saya agak risau kerana bayi saya, Hanan Sofiya demam kuning.

"Jadi, jururawat telah menelefon dan beritahu agar saya berpindah, mereka yang datang dan bantu saya berpindah ke pusat pemindahan khas ini," katanya.

Sebaik tiba di pusat pemindahan khas itu, Hasnida seakan tidak percaya kerana pusat itu dilengkapi kemudahan yang sangat selesa seperti di hospital.

"Semuanya lengkap di sini, saya hanya bawa kelengkapan diri dan bayi sahaja. Makanan untuk ibu berpantang pun disediakan, memang sangat selesa, saya bersyukur dan berterima kasih," katanya.

Hasnida berkata bayi perempuannya itu turut menerima rawatan pemeriksaan rutin dua hari sekali di pusat pemindahan khas itu.

-- BERNAMA

Sunday, January 22, 2017

PERKESO BAYAR RM2.95 BILION KEPADA 506,909 PENERIMA FAEDAH PERKESO

KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan sejumlah RM2.95 bilion untuk pembayaran kepada 506,909 penerima faedah Perkeso yang layak sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, sepanjang tempoh itu juga Perkeso mencatatkan lebih 400,000 majikan yang aktif membuat caruman melibatkan 6.4 juta pekerja yang telah berdaftar dengan Perkeso.

"Bagi negeri Terengganu, sejumlah 106,689 pekerja daripada 8,254 majikan aktif telah direkodkan dan daripada jumlah itu 1,300 orang menerima faedah sehingga Oktober tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian pada malam penghargaan Perkeso bersama Media 2017 yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Terengganu Nora Yaacob.

Ismail dalam pada itu berkata, Perkeso juga akan mewujudkan skim perlindungan keselamatan sosial untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan geran kewangan khas kerajaan sebanyak RM60 juta untuk memulakan pelaksanaan skim itu pada pembentangan Bajet 2017 Oktober lalu.

Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso katanya kini sedang mengambil tindakan yang berkaitan, bagi membolehkan rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen yang dijangka pada Mac ini supaya ia dapat dikuatkuasakan untuk pelaksanaan mulai 1 Jun depan.

Pada majlis itu Perkeso mengeluarkan bayaran RM113,000 kepada lima orang penerima faedah Perkeso akibat kemalangan semasa bekerja.

Seorang daripada mereka Mohd Izan Abdul Rashid, 52, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang ketika ditemui berkata beliau menerima faedah Perkeso kerana hilang upaya kekal berjumlah RM10,000 akibat kemalangan semasa bekerja pada Oktober 2015.

"Semasa sedang bekerja membuat rumah, saya telah terjatuh dari bahagian atas setinggi 6.09 meter, sehingga tidak dapat bergerak sejak kejadian itu.

"Saya bersyukur kerana majikan saya telah mendaftar saya dengan Perkeso. Selain RM10,000 yang saya peroleh malam ini, saya juga akan dibayar setiap bulan melalui akaun bank," katanya yang mempunyai empat anak berumur 12 hingga 23 tahun.

Saturday, January 21, 2017

KU LI TINJAU MASJID BAHARU GUA MUSANG



GUA MUSANG 21 JAN. - Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diusulkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan satu perancangan yang baik untuk masa depan negara.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pelan 30 tahun itu merupakan satu perancangan yang baik yang harus dilakukan bukan sahaja bagi negara tetapi juga untuk rakyat.

Bagaimanapun katanya, pe­rancangan itu pasti ada masalah disebabkan perkembangan eko­nomi semasa yang tidak menentu.

“Baguslah untuk masa depan negara supaya dapat ditingkatkan lagi kemajuan dan kerajaan telah cuba membuat unjuran bahawa beberapa aspek kemajuan akan ditingkatkan.

“TN50 akan mengambil kira apa yang akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang. Ini untuk kemajuan 30 tahun akan datang sesudah kita selesai pembangunan dalam rangka perancangan ekonomi negara pada tahun 2020,” katanya kepada pemberita selepas memantau dan mendengar taklimat daripada kontraktor  Datuk Rahim Husin mengenai perkembangan pembinaan masjid baharu ala Masjidilharam. Turut hadir ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff; Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Tuan Mustapha Tuan Soh dan Bendahari UMNO Bahagian Gua Musang, Zamzani Harun.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa hampir sejam mendengar aspirasi generasi muda merangkumi pelbagai topik dalam sesi sulung Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

RUMAH ADUN JABI PUN DINAIKI AIR

BESUT, 21 Jan (Bernama) -- Selama ini Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar sering terlibat dalam operasi membantu mangsa banjir di kawasannya, namun malam tadi, beliau sendiri menjadi mangsa.

Ketika sibuk membantu mangsa banjir bersama skuad sukarelawan bencana di 12 kampung termasuk Kampung Oh, Kampung Renek dan Kampung Tok Dor di sini ke pusat pemindahan banjir, Mohd Iskandar terpaksa bergegas peluang ke rumahnya.

Ini selepas beliau menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan dapur rumah mereka di Kampung Jabi telah dinaiki air setinggi 0.3 meter

Friday, January 20, 2017

ROSMAH SAMPAIKAN SUMBANGAN BAKTI KEPADA MANGSA BANJIR DUN LANGKAP








SETIU, 20 Jan (Bernama) -- Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) semalam



menyampaikan sumbangan kira-kira RM88,000 kepada 437 keluarga di beberapa kampung yang dilanda banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap.

Sebanyak 10 buah kampung yang terjejas, iaitu Kampung (Kg) Pelong, Kg Sungai Tong, Kg Langkap, Kg Banggol Stor, Kg Bukit Nenas, Kg Tayor Tengah, Kg Desa Jaya, Kg Pok Ba, Kg Bukit Nyior dan Kg Tok Nandung.

Sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan harian itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut mengiringi beliau ke majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria, ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Nor serta isteri wakil-wakil rakyat Terengganu.

Dalam kunjungan kira-kira sejam itu Rosmah berkesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung dan bertanya khabar serta mendengar keluh kesah mangsa banjir yang mengalami kerugian harta benda dalam bencana itu baru-baru ini.

Sabri ketika ditemui pemberita berkata selain sumbangan yang diberikan Bakti, kerajaan negeri juga menghulurkan bantuan segera berjumlah RM11,000 bagi membaiki tiga buah rumah penduduk yang rosak teruk akibat banjir di Kampung Pelong.

Seorang daripada penerima bantuan itu, Khairil Bariah Razali, 45, berkata kedatangan Rosmah sedikit sebanyak membuktikan sikap prihatin beliau terhadap rakyat yang ditimpa kesusahan.

"Dalam banyak-banyak kawasan yang ditimpa banjir di negeri ini, beliau dengan rela hati datang dari jauh ke Kampung Pelong untuk bersama-sama melihat sendiri keadaan rakyat yang ditimpa banjir.

"Saya rasa terharu dengan sikap rendah hati yang ditonjolkan beliau dan berharap isteri pemimpin-pemimpin yang lain dapat mencontohi sikap beliau ini," katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu warga emas, Harun Said, 80, berkata beliau tidak sangka dapat bertemu kembali dengan isteri perdana menteri hari ini selepas kali terakhir bertemu di Pekan, Pahang, 30 tahun dahulu.

"Pok rasa hari ini sangat istimewa di samping dapat bantuan sumbangan Bakti, Pok dapat jumpa semula Datin Seri (Rosmah).

"Sumbangan yang diberikan amat bermakna buat kami," katanya.




-- BERNAMA












Thursday, January 19, 2017

OPERASI CARI PELAJAR LEMAS DIPERLUAS KE SEMPADAN KELANTAN



KUALA TERENGGANU, 19 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menjejaki seorang pelajar yang dilaporkan hilang di Pantai Bukit Keluang, Besut sejak Jumaat lepas diperluaskan sehingga ke sempadan Kelantan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Azlimin Mat Noor berkata, operasi yang kini memasuki hari keenam melibatkan radius pencarian sejauh 60 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Kita telah melakukan pencarian melibatkan kawasan pesisir pantai, rondaan di laut, selaman dan pelbagai teknik namun usaha mengesan mangsa masih gagal.

"Selain itu kita turut memperluaskan pencarian di kawasan Pulau Perhentian dan Pulau Susu Dara," katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, di sini hari ini.

Sabtu lalu, dua pelajar, Nik Mohd Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, dan Mohammad Izzat Haikal Alias, 12, dari Kampung Raja, Besut, dilaporkan lemas ketika mandi bersama empat lagi rakan mereka dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Bagaimanapun mayat Nik Muhamad Haikal Fitri ditemukan 200 meter dari pantai berkenaan keesokannya.

Azlimin berkata pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk penduduk kampung dan menggunakan teknologi 'dron' untuk mengesan pelajar terbabit.



-- BERNAMA

Tuesday, January 17, 2017

RAWATAN TRADISIONAL UNTUK PULIHKAN LIYA



KEMAMAN - Keluarga gadis cantik yang melecur di wajah akibat tersembam ke dalam minyak panas merancang untuk turut sama mencuba kaedah rawatan tradisional agar Che Hasnor Marlia Che Mat, 22, yang manja dengan panggilan Liya kembali pulih seperti sedia kala.

Abang mangsa, Che Affendi Che Mat, 29, berkata, kaedah rawatan kampung yang ingin dicuba itu adalah sebagai ikhtiar selepas adiknya yang juga satu-satu adik perempuannya dibenarkan keluar daripada hospital.

Katanya, bagaimanapun, tumpuan dia sekeluarga ketika ini lebih kepada perkembangan Liya yang kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Setakat ini kami hanya ihat perkembangannya dulu, soal pembedahan atau yang berkaitan dengannya kami belum fikirkan lagi.

"Cuma kalau dibenarkan balik ke rumah nanti, kalau boleh ikhtiar cara kampung kami akan cuba. Tapi sebelum itu pun kami akan dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu," katanya.


Katanya yang juga pemandu lori tangki Kemaman Bitumen Company (KBC) di Teluk Kalong, setakat ini sel-sel kulit mati di wajah adiknya itu sudah tertanggal kerana setiap hari, wajah adiknya itu dicuci antara sekali atau dua kali.

"Dari kecederaan yang dialami, doktor cakap mungkin Liya terpaksa berada di hospital agak lama," katanya.

Liya melecur keseseluruhan wajahnya selepas tiba-tiba pitam dan muka tersembam ke dalam kuali mengandungi minyak panas ketika sedang menggoreng kuih dalam kejadian di tempat kerjanya di sebuah kedai makan pada jam 8 pagi, 7 Januari lalu.

Dalam kejadian di Yellow Town, Chukai itu, Liya bernasib baik kerana secara kebetulan taukenya berada bersebelahannya dan sempat menariknya dari dalam kuali ketika kejadian malang itu terjadi.

Monday, January 16, 2017

EPIC TANDATANGANI MOU DENGAN CMC ENGINEERING UNTUK TEROKA BIDANG ECRL

KUALA NERUS, 15 Jan (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan CMC Engineering Sdn Bhd bagi meneroka peluang perniagaan dalam projek pembangunan Keretapi Pantai Timur (ECRL).



Pengerusi Syarikat Kumpulan EPIC, Datuk Tengku Muhamad Tengku Mahamut berkata MoU itu adalah inisiatif yang bertujuan untuk mengembang dan mempelbagaikan lagi cabang perniagaan syarikat tersebut.

"Bertepatan masa dengan projek keretapi ECRL yang telah di lancarkan, EPIC melihat potensi dan peluang bagi memberi perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem keretapi khasnya di negeri Terengganu nanti.

"Secara lebih meluas, projek ini akan turut sama melengkapkan sektor pengangkutan dalam negeri dengan pembangunan infrastruktur kemudahan awam yang bakal memberi kelebihan kos yang kompetitif terutamanya melibatkan jenis kargo dalam kuantiti yang besar," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang menyaksikan MoU tersebut.

Tengku Muhamad berkata manfaat lain yang bakal diperoleh daripada projek itu termasuklah pertumbuhan pesat bagi bandar-bandar kecil di sepanjang laluan serta ia akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMC Engineering Sdn Bhd, Hazwan Alif Abdul Rahman berkata projek ECRL akan membuka satu lembaran baharu dari sudut perkilangan, pembuatan, inovasi dan urbanisasi serta merancakkan industri hiliran yang terlibat seperti perumahan dan pelancongan.

"Sebagai syarikat tempatan yang telah 21 tahun berkecimpung dalam industri rel negara dan antarabangsa, CMC Engineering melihat ECRL sebagai satu pemangkin yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi khususnya di Terengganu," katanya.

Menurut Hazwan Alif, syarikat itu juga sentiasa melihat sebarang penerokaan secara holistik dan menyeluruh, selain mendukung aspirasi nasional bagi mewujudkan persekitaran politik, ekonomi dan sosial yang lebih adil dan berkredibiliti.

"CMC Engineering juga terbuka untuk berkongsi teknologi, kepakaran dan pengalaman bagi memaksimumkan keberuntungan dan keberhasilan kerajaan negeri daripada limpahan projek ECRL ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, January 14, 2017

DR WAN RUDIRMAN DILANTIK CEO TERENGGANU INC



KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Terengganu Incorporated Sdn Bhd melantik Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, berkuat kuasa 1 Jan, 2017.

Beliau menggantikan Wan Zalizan Wan Jusoh yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31
Disember 2016.

Menurut Terengganu Inc. dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Wan Ahmad Rudirman mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam penstrukturan semula korporat dan pemulihan Perniagaan.

Beliau memiliki pelbagai kepakaran dan pengalaman bagi menghadapi cabaran yang terbukti menerusi kepimpinan operasi, pembangunan strategik dan pengurusan kewangan.

Sebelum menyertai Terengganu Inc., Wan Ahmad Rudirman merupakan timbalan ketua pegawai eksekutif/pengarah Selia Ekuiti Sdn Bhd dan pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan dalam beberapa syarikat terkemuka di Malaysia.

Antara jawatan tersebut termasuklah pemangku ketua pegawai operasi/pengurus besar kumpulan, perkhidmatan operasi kumpulan KUB Malaysia Bhd, dan ketua, strategi korporat, bahagian perancangan kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd

-- BERNAMA

Wednesday, January 11, 2017

TERENGGANU SETUJU SEGERAKAN PERUNTUKAN RM16 JUTA BAIKI RUMAH MANGSA BANJIR

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Terengganu  bersetuju menyegerakan peruntukan RM16 juta untuk membaiki dan membina rumah baharu dengan keutamaan diberi kepada mangsa banjir di seluruh negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata setiap tahun, RM32 juta diperuntukkan bagi membaiki dan membina rumah baharu di kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan RM1 juta untuk setiap DUN.

"Biasanya ia akan diagih berperingkat untuk dua fasa membabitkan fasa pertama RM500,000 pada Februari dan RM500,000 lagi untuk fasa kedua pada akhir tahun bagi kesemua 32 DUN.

"Namun bagi mempercepatkan proses baik pulih dan menyediakan rumah baharu kepada mangsa banjir, peruntukan ini diagihkan lebih awal berbanding kebiasaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini semalam.
.

Sebanyak RM11,000 diperuntukkan bagi membaik pulih rumah, manakala maksimum peruntukan untuk pembinaan rumah baharu ialah RM40,000.

Ahmad Razif berkata kebiasaannya peruntukan membaik pulih dan membina rumah baharu terbuka kepada keluarga yang memerlukan, namun kali ini keutamaan diberi kepada mangsa banjir.

Mengenai bantuan kewangan RM1,000 kepada mangsa banjir melibatkan RM500 dari kerajaan pusat dan RM500 menerusi kerajaan negeri, Ahmad Razif berkata beliau masih menunggu jumlah rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sedang dikemas kini agar tiada isu berbangkit pada masa hadapan.

"Setakat ini, data diperoleh untuk tempoh 31 Dis 2016 hingga 9 Jan lepas melibatkan 21,218 mangsa daripada 6,055 keluarga yang ditempatkan di 209 pusat pemindahan di lapan daerah.

"Apabila proses kemas kini selesai, bantuan kewangan akan diagih secepat mungkin untuk setiap keluarga yang terlibat," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, January 10, 2017

PMINT SQUARE MULA BEROPERASI MEI INI

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- PMINT Square, sebuah pusat perniagaan di tengah bandar raya ini yang dilengkapi dengan pelbagai komponen termasuk pejabat kerajaan, hotel, ruang niaga dan juga pusat hiburan akan beroperasi sepenuhnya Mei ini.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beberapa komponen terakhir seperti PB Hotel, panggung wayang dan pusat boling kini sedang dalam proses akhir pembinaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai Februari ini.

"Berlaku sedikit kelewatan dalam pembinaan PB Hotel yang sepatutnya ia dijangka siap Februari depan, namun disebabkan terdapat beberapa masalah teknikal, ia hanya dapat disiapkan pada bulan April.

"Buat masa ini saya difahamkan aras bawah akan dibuka pada bulan Februari bagi tujuan tempahan bilik hotel dan promosi kepada para pelancong yang akan berkunjung ke negeri ini.

"Komponen lain seperti pusat boling dijangka dibuka pada bulan depan dan 'cinemaplex' pula akan mula beroperasi pada bulan April," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke bangunan itu di sini Selasa.

Sementara itu, beliau berkata kelewatan operasi PMINT Square tidak menjejaskan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 kerana prasarana berkenaan dibina dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan negeri ini dalam jangka masa panjang.

"Kita guna tagline 'Visit Beautiful Terengganu' untuk TMT 2017 yang memfokuskan kepada tempat-tempat menarik di sekitar negeri ini seperti kawasan peranginan, budaya, program-program menarik dan makanan kita kepada pelancong.

"Kemudahan-kemudahan seperti PMINT Square, hotel-hotel bertaraf lima hingga enam bintang yang sedang dibina dan akan dibina adalah satu bentuk program jangka panjang untuk meningkatkan sektor pelancongan yang akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020," katanya.

-- BERNAMA

Monday, January 9, 2017

KEPENTINGAN NELAYAN DIAMBILKIRA DALAM MEMULIHKAN HAKISAN

KUALA NERUS, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengambil kira kepentingan nelayan dalam memulihkan hakisan di Pantai Kolam, Mengabang Teliput di sini.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kawasan sepanjang 1.5 kilometer itu akan dibaik pulih segera bagi mengelakkan jalan dan kampung berhampiran ditenggelami air laut.

"Hakisan laut (kena atasi), kemudahan kepada nelayan juga kena rancang. Apabila perancangan telah siap nanti Jabatan Pengairan dan Saliran boleh berbincang dengan nelayan di sini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di kawasan pantai itu semalam. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. C Poobalan dan Pengarah Urusan Tulangis Maju Sdn Bhd, Datuk Mohamed Rahim Husin.

Hakisan itu menyebabkan jalan kampung terputus sejak Disember lalu.

Wan Junaidi berkata kerajaan telah melaksanakan benteng pemecah ombak sepanjang 3.5 km bernilai RM73 juta di kawasan berkenan pada 2014 namun hakisan tetap berlaku di kawasan berhampiran.

Beliau berkata JPS akan mengemukakan cadangan untuk projek baharu itu dalam tempoh sebulan.

Projek baharu ini dijangka memerlukan RM80 juta memandangkan kementerian turut merancang untuk membina kawasan pendaratan ikan untuk nelayan, katanya.

-- BERNAMA


Sunday, January 8, 2017

TERENGGANU PUN DAPAT LEBIH RM1 BILION TANGANI BANJIR

Benarkah Terengganu dianaktirikan ketika PM datang melawat majlis banjir di  negeri tersebut  tiga hari lepas? Di kelantan PM dikatakan mengumumkan peruntukan untuk rakyat Tumpat tetapi di terengganu Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan membisu.

PM dikatakan tidak simpati kepada rakyat terengganu sedangkan kelantan diperintah oleh kerajaan PAS. Sebenarnya ia tidak betul kerana kerajaan pusat telah memperuntukkan lebih RM1 bilion dalam Rancangan Malaysia ke 11 untuk mengatasi masalah banjir.

Ratusan juta telah diperuntukkan oleh kementerian sumber asli dan alam sekitar untuk atasi isu banjir di terengganu iaitu pembangunan lembangan Sungai Kemaman sebanyak RM300 juta, projek pemuliharaan muara Sungai Paka sebanyak RM150 juta, projek pemuliharaan muara Sungai Setiu RM150 juta, RTB Kemasik RM60 juta, projek pemuliharaan muara Sungai Merchang sebanyak RM43 juta, projek pemuliharaan ban pantai Lagun Setiu, Gong Batu sebanhyak RM10 juta, sambungan projek pemuliharaan muara Sungai besut RM238 juta, sambungan projek mencegah hakisan pantai Tok jembal sebanyak RM89 juta, sambungan santuari gajah Sungai Deka  sebanyak RM20 juta dan sambungan tebatan banjir Sungai Besut Fasa 1 Sungai Nail sebanyak RM15 juta.

Di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula, ratusan juta diperuntukkan di bawah RMK ke 11 iaitu membina pengairan utama dari empangan Paya peda ke KETARA fasa dua sebanyak RM100 juta, menaiktaraf skim pengaitran daerah Setiu sebanyak RM20 juta, menatiktaraf skim pengairan daerah hulu terengganu sebanyak RM100 juta dan banyak lagi.

perancngan sudah ada maka tidak perlulah PM umumkan satu persatu. Kita patut berterima kasih kepada MB, Datuk Seri Razif yang perihatin dengan masalah banjir yang berlaku sepanjang tahun. Insya allah jika semua projek ini selesai dilaksanakan kelak, masalah baniir tidak akan berlaku lagi.

Oleh itu hanya kelantan yang dapat projek atasi banjir adalah tidak benar. Mungkin pengumuman PM di kelantan itu adalah satu strategi menawan kembali Kelantan dari kerajaan PAS kerana PM tahu rakyat Terengganu tetap setia dengan BN maka pengumuman tidak perlu dibuat.

Saturday, January 7, 2017

NAJIB BERAMAH MESRA DENGAN MANGSA BANJIR KUALA NERUS

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam
meninjau keadaan mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu.

Beliau turut beramah mesra dengan penghuni di dua buah pusat penempatan banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, di sini, dan Sekolah Kebangsaaan Bukit Guntong, Kuala Nerus.

Lawatan pemimpin negara itu yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Seri Shahidan Kassim, ternyata menceriakan mereka yang ditempatkan di situ sejak tiga hari lalu.

Seramai 461 mangsa daripada 112 keluarga ditempatkan di Sek Keb Banggol Peradong manakala seramai 422 orang daripada 96 keluarga di Sek Keb Guntong.

Zubaidah Ali, 52, yang ditemui pemberita berkata kunjungan Najib amat bermakna walaupun hanya sekejap kerana ia melambangkan keprihatinan pemimpin terhadap rakyat.

Dia bersama 10 anggota keluarganya berpindah ke pusat pemindahan Sek Keb Bukit Banggol ekoran rumah mereka di kampung Telari dinaiki air sehingga paras paha.

"Biasanya lihat perdana menteri di televisyen, hari ini dapat jugak tengok dari dekat, malah keramahannya menceriakan kami, biarlah walaupun sekejap," katanya.

-- BERNAMA

Friday, January 6, 2017

PERHILITAN SIASAT KEHADIRAN HARIMAU DI LPT2

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengesahkan menerima laporan berkenaan kehadiran seekor harimau di sekitar Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), berhampiran Bukit Besi, semalam.

Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata bagaimanapun sama ada harimau tersebut berada di situ sepertimana yang diviralkan di media sosial, tidak dapat disahkan.

Sebagai langkah awal pihaknya telah memasang perangkap bagi menjerat haiwan tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia hadir di situ kerana kawasan habitatnya dipenuhi air ekoran hujan lebat dan limpahan air sungai.

"Setakat ini kami telah menerima satu laporan kira-kira 7.30 malam semalam berhubung penemuan harimau di kawasan lebuh raya...jadi kami ambil langkah awal dengan memasang perangkap pagi tadi.

"Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Namun kami tidak tahu sejauh mana kesahihan penemuan haiwan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.


Seekor harimau dikatakan muncul di kawasan LPT2 dan gambar yang dirakam individu tertentu menjadi viral sejak semalam.

-- BERNAMA

Thursday, January 5, 2017

TAHUN VISIT BEAUTIFUL TERENGGANU 2017 TIDAK TERJEJAS WALAUPUN BANJIR



KEMAMAN, 5 Jan (Bernama) -- Sasaran Tahun Melawat Terengganu 2017 tidak terjejas walaupun negeri itu mengalami banjir teruk sejak Sabtu lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kekurangan kehadiran pelancong pada Januari adalah perkara biasa kerana pelancong biasanya akan mula datang pada Mac untuk ke pulau peranginan.

Katanya walaupun masih belum memperoleh jumlah terkini pelancong, beliau yakin keadaan banjir tidak mengganggu industri pelancongan terutama ketika negeri itu menganjur program yang dikenali sebagai 'Visit Beautiful Terengganu 2017'.

"Aset kita tidak terputus dan Kuala Terengganu tidak mengalami banjir teruk. Hotel di Kuala Terengganu juga tidak terjejas. Selalunya ketika ini tidak ramai pelancong kerana mereka datang pada Mac untuk ke pulau.

"Namun di Kenyir masih ada pelancong dan kita dapati keadaan di sana juga tidak begitu terjejas," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir, di sini semalam.

Terengganu sebelum ini menyasarkan seramai 5.5 juta pelancong mengunjungi negeri itu terutama dari China, Vietnam dan juga dalam negara.

Kerajaan negeri telah merangka pelbagai program bagi menarik pelancong termasuk mengadakan persembahan air dengan menggabungkan cahaya lampu berwarna warni di Taman Warisan, mencantikkan bandaraya Kuala Terengganu. Selain itu, ia turut menyediakan pakej menarik untuk pengunjung ke pulau-pulau seperti Pulau Kapas dan Pulau Redang.

-- BERNAMA





Wednesday, January 4, 2017

RAZALI TAK ADA PENGARUH PUN



KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang, Datuk Razali Idris telah mengumumkan keluar parti berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Surat mengenai perkara itu telah dihantar melalui pos ke Badan Perhubungan UMNO Terengganu baru-baru ini.

Razali bagaimanapun tidak menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau mengambil keputusan tersebut.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Marang dan Setiausaha Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Badan Perhubungan UMNO Negeri pernah bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

Pengunduran Razali, seorang tokoh muda yang berpengalaman dilihat sebagai satu kehilangan kepada UMNO Bahagian Marang dan Terenggaanu.

Sumber itu berkata, keputusan Razali itu tidak kaitan dengan penyertaan beliau kepada mana-mana parti politik.

Ulasan saya, tindakan Razali tidak memberi kesan kepada Umno Bahagian Marang kerana beliau tidak pernah menang dalam PRU pun.Beliau kalah teruk kepada Haji Hadi Awang di DUN Ru Rendang dengan majoriti 2,686 undi pada PRU 2008. Haji Hadi mendapat 9,379 undi manakala 6,693 undi.

Oleh  itu ia bukan satu kehilangan besar kepada Umno Bahagian Marang. Kalau beliau jadi calon Bersatu pada PRU akan datang ia tidak mampu menarik undi penyokong BN kecuali Datuk Rahman Bakar yang keluar dari Umno sedikit sebanyak ia mampu menggugat Umno Bahagian Marang.


Tuesday, January 3, 2017

BETAPA CERDIKNYA ADUN PKR



Kerajaan Terengganu mesti bertanggungjawab terhadap kerugian 4,800 orang peserta ekoran dakwaan kes penipuan umrah yang dikaitkan dengan Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT), kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Terengganu.

Azan Ismail mempersoalkan bagaimana YBNT boleh diberi kepercayaan mengendalikan umrah yang didakwanya tidak cukup syarat pengendalian.

Wakil rakyat itu mendakwa badan itu membelakangkan fungsi pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

"Pihak kerajaan negeri Terengganu mestilah bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung oleh 4,800 orang peserta termasuk guru serta ahli keluarga mereka dalam kes kecuaian serta skandal penipuan ini.

"Umrah adalah perkara agama dan sepatutnya pihak berkuasa agama perlu dimartabatkan dalam isu penajaan serta perlu dirujuk kepada pihak MAIDAM dari segi hukum-hakam serta kaedah pelaksanaannya," katanya dalam kenyataan medianya semalam

Menurut laporan Sinar Harian, polis Besut menerima 40 laporan berhubung kes penipuan pakej umrah dipercayai oleh YBNT yang membabitkan lebih 4,000 mangsa dengan nilai RM14.2 juta.

Menurut polis Besut lagi, orang ramai tampil membuat laporan polis selepas dua lelaki- akauntan dan pengarah eksekutif YBNT ditahan reman minggu lalu.

Selain dua lelaki berkenaan, hari ini seorang lagi ditahan reman, iaitu penolong pengarah, ditahan selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Berita Harian pula melaporkan, pihak yang ditahan didakwa melakukan penipuan umrah dengan mengenakan pakej umrah murah.

Peserta umrah dikatakan hanya perlu membayar RM3,000 berbanding pakej bernilai RM6,990, manakala selebihnya dikatakan akan ditaja.

Ulasan saya, kenyataan di atas menunjukkan betapa cerdiknya ADUN PKR. YBNT bukan milik kerajaan Terengganu kenapa kerajaan Terengganu perlu bertanggungjawab terhadap kes penipuan umrah tersebut.

Sebab itu sebelum buat kenyataan ADUN PKR perlu semak adakah YBNT itu milik kerajaan negeri atau tidak. Nampak sangat ADUN PKR kurang cerdik. 

Monday, January 2, 2017

GARA GARA BANJIR, AKAD NIKAH DITANGGUH TIGA JAM



HULU TERENGGANU: Upacara akad nikah bagi sepasang pengantin terpaksa ditangguhkan selama tiga jam kerana pengantin lelaki tersangkut di rumahnya yang dinaiki air sejak awal pagi semalam.

Ini menyebabkan pengantin lelaki dari Kampung Peroh, Ajil tidak dapat pergi ke rumah pengantin perempuan di Santong, Paka.

Ibu pengantin lelaki Noraini Hasan, 60, berkata anaknya Mohd Mahadir Hasanuddin, 30, sepatutnya dijadualkan dinikahkan pada pukul 11 pagi.

"Tapi kawasan rumah kami dinaiki air awal pagi tadi. Jadi kami sekeluarga terpaksa tangguhkan majlis sehingga pukul 1 tengah hari sebab keluarga kami tidak dapat bertolak lebih awal.





Hujan lebat sejak petang kelmarin dan kami tak jangka akan berlaku banjir. Pada awal pagi sungai di kawasan rumah kami mula melimpah dan kawasan sekitar mula dinaiki air.

"Kami agak kelam kabut bila kereta sudah tak boleh keluar sebab keluarga semua masih berada di rumah. Tapi mujurlah anak saya sudah keluar awal dengan turut membawa barang hantaran, kemudian kami menyusul dengan mengharung air dan naik bot untuk ke jalan besar," katanya kepada Bernama.

Noraini berkata tidak sampai dua jam, air mula melimpah dan jalan keluar dari rumahnya dinaiki air sehingga paras pinggang.

Sunday, January 1, 2017

KEHADIRAN TPM CERIAKAN MANGSA BANJIR

KUALA BERANG, 1 Jan (Bernama) -- Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke pusat pemindahan banjir Kampung Bukit Tadok, dekat sini lewat petang semalam, sedikit sebanyak menceriakan mangsa yang resah dengan bencana yang menimpa mereka sejak kelmarin..

Mereka melahirkan rasa teruja dapat berjumpa dan bersembang dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam rangka lawatan ke pusat pemindahan banjir di Kelantan dan Terengganu hari ini.

Esah Osman, 61, berkata beliau tidak menjangka berpeluang menemui pemimpin nombor dua negara itu dengan lebih dekat memandangkan sebelum ini hanya berpeluang melihatnya dari jauh.

"Mak cik memang sangat teruja dapat berjumpa dan bersembang dengan Datuk (Seri) Ahmad Zahid hari ini....pernah mak cik lihat dia tapi dari jauh. Masa itu mak cik pergi ke program yang Datuk Ahmad Zahid hadir di Dungun, tapi dia atas pentas.

"Hari ini, Alhamdulillah mak cik boleh jumpa dan bercakap-cakap dengannya dan menteri besar...mereka memang prihatin, sanggup datang dari jauh walaupun kampung mak cik ditenggelami air," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.




Esah berkata walaupun sedih diuji dengan bencana tersebut, ianya sedikit terubat dengan kedatangan pemimpin itu.

"Saat kita susah macam ini, mereka datang beri semangat dan tunjukkan sikap prihatin...walaupun kena tinggal di pusat pemindahan, mak cik dah bersyukur sangat-sangat sebab ia agak selesa," katanya.

Seorang lagi mangsa, Saadiah Yunoh, 78, berkata beliau juga turut teruja dapat bertemu timbalan perdana menteri dan menteri besar.

"Biasanya mak cik hanya tengok (beliau) di televisyen...tapi hari ini dapat tengok depan-depan. Peramah juga orangnya...beliau sapa dan tanya kami mengenai banjir ini.

"Kampung ini memang setiap tahun dilanda banjir dan boleh dikatakan hampir setiap tahun juga mak cik berpindah ke pusat pemindahan...tapi Alhamdulillah, semuanya lengkap dan selesa. Kami warga emas diberi tilam dan khemah untuk lebih selesa," katanya.

Bagi Jamilah Jusoh, 53, yang kehabisan bekalan ubat kencing manis dan darah tinggi berkata beliau bernasib baik kerana pegawai dan anggota kesihatan sentiasa ada di pusat pemindahan.

"Semalam masa air mulai naik, saya agak risau sebab kehabisan bekalan ubatan...mujurlah hari ini kakitangan kesihatan datang buat pemeriksaan, dapatlah saya ambil ubat," katanya.

-- BERNAMA