Tuesday, April 2, 2019

TDM LANTIK ZAINAL ABIDIN SHARIF GCEO YANG BAHARU

KUALA TERENGGANU, 2 April (Bernama) -- Kumpulan TDM Berhad, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu melantik Zainal Abidin Shariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu.

Menurut satu kenyataan, pelantikan Zainal Abidin berkuatkuasa semalam bagi mengisi kekosongan selepas penamatan kontrak Datuk Mohamat Muda pada 31 Januari lalu.

Zainal Abidin, 52, menyertai TDM Berhad berdasarkan pengalaman selama 28 tahun dalam sektor korporat khususnya berkaitan pengurusan operasi, transformasi kewangan, tadbir urus, cukai dan audit yang diyakini mampu menerajui pertumbuhan konsisten TDM.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Pengerusi TDM Berhad, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata beliau yakin dengan kewibawaan Zainal Abidin kerana sebelum ini pernah bertugas dengan Persatuan Penanam Gabungan selaku Ketua Eksekutif.

"Lebih jauh lagi kami akan lancarkan Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) dan Rancangan Pembangunan Perniagaan (BDP) dan inisiatif lain bagi mengukuhkan Kumpulan untuk pertumbuhan mampan pada masa depan.

"Pengalamannya dalam industri perladangan dan kepakarannya dalam mengatasi perubahan pengurusan, adalah kemahiran penting untuk memacu TDM dalam rancangan VCP & BDP untuk pencapaian agresif mengikut sasaran yang ditetapkan oleh lembaga pengarah," demikian menurut kenyataan tersebut.

Zainal Abidin merupakan lulusan Sarjana Kewangan dari RMIT University, Melbourne, Australia pada 2006.

TDM Berhad yang ditubuhkan pada 1965 dan tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia, dengan sektor perladangannya menguruskan 16 ladang kelapa sawit dan tiga buah kilang komoditi idi Terengganu dan Indonesia.

Di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd pula, TDM mempunyai rangkaian hospital pakar iaitu Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) di Selangor, Kuantan Medical Centre (KMC) di Pahang, Taman Desa Medical Centre (TDMC) di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) di Terengganu

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment