Friday, April 19, 2019

LELAKI TIPU 14 ORANG BELI TIKET PENERBANGAN MURAH RM51,800

BUTTERWORTH, 19 April (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 3 Jun depan untuk pengurusan kes seorang lelaki yang berdepan 18 pertuduhan menipu 14 orang mangsa berhubung penjualan tiket penerbangan murah melibatkan wang berjumlah RM51,800.

Majistret M. Kalairasi menetapkan tarikh itu untuk membolehkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syeqal Che Murad menyerahkan dokumen di samping memberi masa kepada tertuduh, Muhammad Fahmiezul Helmi Abdull Majid, 27, untuk melantik peguam.

Pada 15 Mac lalu, Muhammad Fahmiezul Helmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu memperdayakan 14 mangsa itu dengan menawarkan penjualan tiket penerbangan murah ke pelbagai destinasi dalam dan luar negara, antaranya Sabah, Korea, Australia, Indonesia serta India.

Tertuduh yang juga seorang peniaga dalam talian didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Cempedak 5, Tasek Gelugor di antara 10 Dis 2017 dan 6 Mei tahun lepas, berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM32,000 dengan seorang penjamin, namun dia gagal membayar wang jaminan itu, menyebabkan dia ditahan di penjara sementara menanti tarikh pengurusan kes berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment