Friday, April 12, 2019

MB SERU PENGUNDI LUAR BALIK MENGUNDI



SEREMBAN, 12 April (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang tinggal di luar kawasan itu pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut, esok.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan dan Menteri Besar turut mengharapkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab seawal mungkin.

"Jadi keluar awal untuk mengundi bagi menyegerakan proses pengundian di samping memberi peluang kepada kita untuk membuat keputusan menentukan calon wakil rakyat yang dipilih pada kali ini," katanya hari ini.

Pengarah PRK DUN Rantau itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) 2018 di sini.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan ribut petir di satu dua tempat pada sebelah petang esok.

Esok, seramai 20,793 pengundi daripada keseluruhan 20,804 pemilih biasa layak mengundi pada PRK berkenaan dengan 11 daripada mereka telah mengundi secara pos.

Pengundian berlangsung selama sembilan jam setengah bermula 8 pagi di 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat pengundi tidak hadir luar negara dan 118 pengundi awal.

Mereka merangkumi 55.51 peratus atau 11,615 pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment