Monday, April 15, 2019

EMPAT MP PH TAK HADIR PUNCA USUL KERAJAAN MENGENAI MA63 KALAH

NILAI, 15 April (Bernama) -- Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menjelaskan beliau tidak hadir sidang Parlimen untuk pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) baru-baru ini kerana beliau diminta oleh Kabinet untuk mewakili Malaysia pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ke-206 di Paris, Perancis.

Maszlee, yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam, berkata ketidakhadiran beliau pada sidang Parlimen itu disebabkan beliau menghadiri mesyuarat di Paris itu ada dilaporkan media.

Namun, mesyuarat di Paris itu tidak mendapat sebarang liputan media kerana beliau tidak membawa bersama wartawan atau rombongan yang besar.

“Minggu lepas saya telah diminta oleh Kabinet mewakili Malaysia ke Mesyuarat Majlis Eksekutif Unesco ke 206 di Paris... saya tidak dapat hadir (mesyuarat berkenaan) Malaysia 1963 (MA 63),” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di sini, hari ini.

“Kita sudah wakili kerajaan untuk sampaikan beberapa pendirian Malaysia kepada Unesco. Dan selepas pulang dari mesyuarat itu, saya telah terima jemputan dari Putera Mahkota Ajman YM Sheikh Ammar Humaid Al Nuaimi, dalam rangka kita untuk mendapatkan biasiswa bagi pelajar Malaysia belajar di Gulf Medical University.

“Saya telah ke sana untuk mendapatkan pembiayaan pelajar kita dan telah lakukan beberapa usahasama untuk bawa pelajar dari sana ke Malaysia,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan seramai empat Anggota Parlimen Pakatan Harapan tidak menghadiri proses pengundian sewaktu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak yang antaranya ialah Dr Maszlee.

Perkara itu menyebabkan kerajaan PH kekurangan empat undi bagi mendapat sokongan majoriti 148 dalam usaha meminda Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata Kabinet telah bersetuju untuk menukar nama Program Permata Negara (PERMATA) kepada Genius dengan pengisian program yang akan ditingkatkan kualitinya.

“Pertukaran nama tersebut diputuskan oleh kabinet untuk memberikan satu jenama baharu, ‘rebranding’ agar ianya lebih berdaya saing, bersemangat... tetapi ada beberapa program di bawah PERMATA yang diberikan kepada Universiti Sains Islam Malaysia dan ada program disekalikan.

“Terdapat beberapa program akan dipertingkatkan dari segi kualitinya meskipun fungsi dan peranan asalnya masih lagi sama.

Beliau dalam pada itu juga berkata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang mencadangkan agar sekolah berusia lebih 15 tahun dilakukan audit keselamatan merupakan satu cadangan yang baik dan akan dipertimbangkan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment