Monday, April 1, 2019

GUNA HAK SEBAGAI RAKYAT MALAYSIA DORONG MALARVIZHI BERTANDING

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau R.Malarvizhi berkata beliau bertanding dalam PRK itu kerana mahu menggunakan haknya sebagai rakyat Malaysia sungguhpun pernah berkhidmat di luar negara.

“Saya rakyat Malaysia. Apabila saya berada di luar negara saya bukan berbangsa India tetapi berbangsa Malaysia,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai penyampai radio di Toronto Kanada selama 25 tahun. Beliau kini seorang suri rumah sepenuh masa.

Malarvizhi berkata walaupun kita berlainan bangsa, namun kita adalah bangsa Malaysia dan bukan ‘penumpang’ seperti yang pernah diungkapkan oleh pemimpin tertentu ketika PRK Semenyih lepas.

“Memang saya ini orang baharu tetapi saya berharap pengundi akan mendengar hasrat saya dalam manifesto yang akan saya lancarkan esok. Jika saya betul, saya berharap mendapat sokongan mereka namun terpulanglah kepada pengundi di Rantau,” katanya semasa tinjauan mesra di Pasar Malam di Rantau, Ahad malam.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dari BN dan dua calon bebas iaitu Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment