Tuesday, April 16, 2019

HOSPITAL PAKAR DUNGUN SIAP FEBRUARI DEPAN

DUNGUN, 16 April (Bernama) -- Hospital Dungun bernilai RM125 juta yang dijangka siap Februari tahun depan akan menjadi hospital pakar ketiga di Terengganu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Ketika ini, Terengganu mempunyai dua hospital pakar iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman di Bandar Chukai.

"Hospital Dungun yang baharu ini menawarkan 10 kepakaran antaranya pembedahan, obstetrik, ginekologi, pergigian, ortopedik dan anestesiologi.

"Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan membantu mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Dungun sedia ada, Hospital Kemaman dan HSNZ," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan hospital itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh dan Pengarah Hospital Dungun, Dr Farah Najwa Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata kementerian juga berhasrat mahu menaik taraf Hospital Besut sebagai hospital pakar yang keempat di Terengganu tidak lama lagi.

"Ia bermaksud empat dari enam hospital di Terengganu akan berstatus hospital pakar yang akan memberi kemudahan kesihatan terbaik kepada rakyat negeri ini," katanya.

Projek pembinaan Hospital Dungun yang baharu itu kini berada pada tahap 85 peratus. Ia dibina di atas tanah seluas 6.13 hektar dengan kapasiti 110 katil.

Ditanya mengenai Hospital Dungun yang lama pula, Dr Boon Chye berkata hospital yang mempunyai 100 katil itu akan dikekalkan untuk kemudahan rawatan pesakit luar dan pesakit di wad biasa.

"Hospital Dungun yang baharu ini nanti memerlukan 1,000 petugas untuk mengisi pelbagai kekosongan jawatan secara berperingkat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment