REMBAU 7 April - Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak gentar dengan hasrat Dr. S. Streram untuk 'mengebumikan' kerjaya politiknya di Rantau.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, beliau akan terus mempertahankan Rantau kerana dilahir dan dibesarkan di kawasan tersebut.
"Saya tak akan lari dari Dr. Streram, saya akan lawan. Dia cakap besar, kita lawan dan pada 13 April nanti, kita tengok siapa menang dan siapa kalah.
"Dia cakap lebih-lebih nak kebumikan 'Mohamad Haji Hasan' di Rantau, ingat senang nak kebumikan saya.
"Kalau umur panjang atau pendek, saya memang nak dikebumikan di Rantau di sebelah kubur arwah emak saya. Tetapi bukan Dr. Streram yang kebumikan saya. Itu Allah yang akan tentukan," katanya ketika berkempen di Kampung Sri Lalang di sini malam tadi.
Timbalan Presiden UMNO itu menzahirkan rasa kesal dengan tuduhan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau tidak berbuat apa-apa bagi membangunkan negeri ini sepanjang 14 tahun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
"Dia tak nampakkah semasa penamaan calon di Sendayan baru-baru ini. Dulu Sendayan itu macam hutan pekak. Masa saya kecil dulu, kalau cikgu dipindahkan ke Sendayan menangis lima hari lima malam, tak mahu pergi sebab jauh. Hari ini Sendayan sudah dibangunkan begitu cantik sekali.
"Semakin lama dia bercakap, orang nampak pembohongan dan fitnah dia. Cukup-cukuplah memfitnah saya. Dia patut sedar sebab dia pernah kena fitnah, dia sepatutnya tahu betapa pedihnya kena fitnah," katanya
No comments:
Post a Comment