Thursday, April 11, 2019

POLIS BURU DUA WANITA INDONESIA LARIKAN SEUTAS RANTAI



KUALA BERANG, 9 April (Bernama) -- Polis memburu dua wanita warga Indonesia kerana disyaki melarikan seutas rantai bernilai RM8,000 dari sebuah kedai emas di Pekan Kuala Berang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata kejadian tersebut berlaku pada 3 petang Sabtu lepas tetapi hanya disedari pemilik kedai emas berkenaan semalam selepas kerja mengira stok barang dijalankan.

Beliau berkata kedua-dua suspek dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai warga Indonesia berdasarkan cara berpakaian serta dialek pertuturan.

"Dua wanita tersebut berpura-pura masuk mahu membeli barang kemas dan ketika proses jual beli berlangsung, seorang daripadanya mengambil seutas rantai leher lalu disorokkan ke dalam beg tangan yang dibawa bersamanya.

"Pengadu sedikit pun tidak perasan mengenai kejadian itu dan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Berang pada 6.24 petang semalam untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan hebahan imej suspek melalui rakaman CCTV telah diedarkan kepada unit bantuan lain.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek menghubungi polis Hulu Terengganu di talian 09-6811222/09-681241

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment